Pantang larang makanan yang boleh dan tidak boleh dimakan adalah penting untuk dipatuhi oleh pesakit gout bagi mengurangkan kesakitan dan mencegah serangan gout.
Sesetengah makanan harus dielakkan terus dan sesetengah makanan pula masih boleh dimakan tetapi pada kadar yang sederhana dan terkawal.
Gout adalah salah satu bentuk keradangan sendi (artritis) yang berlaku apabila terlalu banyak asid urik yang terkumpul dan terbentuk pada sendi-sendi badan. Gout menyebabkan sakit, bengkak dan keradangan pada sendi.
Bagaimana Makanan Boleh Mencetuskan Gout?
Sekiranya anda menghidap gout, sesetengah makanan boleh mencetuskan gout dengan meningkatkan paras asid urik dalam badan.
Makanan yang boleh mencetuskan gout ini terdiri daripada makanan yang tinggi dengan purina (purine) iaitu sebatian semulajadi yang terdapat dalam makanan.
Badan menghasilkan asid urik selepas ia mencernakan sebatian purina tersebut. [1]
Bagi individu yang sihat, mereka tidak mempunyai masalah untuk menyingkirkan asid urik yang berlebihan daripada badan.
Tetapi bagi pesakit gout, mereka tidak dapat menyingkirkan lebihan asid urik dengan berkesan. Akibatnya asid urik ini akan berkumpul dan mencetuskan gout.
Dalam mencari penyelesaian masalah ini, pengkaji mendapati pengurangan pengambilan makanan yang tinggi dengan kandungan purina dan pengambilan ubat untuk gout boleh mencegah serangan gout. [2]
Justeru itu, pesakit gout harus mengamalkan pantang terhadap makanan-makanan yang boleh mencetuskan gout dan beralih kepada makanan yang boleh dimakan.
Makanan yang Perlu Dielakkan Bagi Pesakit Gout
Pesakit-pesakit gout harus berpantang terhadap makanan-makanan berikut. Makanan ini dikelaskan sebagai tinggi dengan purina kerana mengandungi purina lebih daripada 200 miligram bagi setiap 100 gram makanan tersebut.
Antara makanan yang tinggi dengan purina adalah: [3]
1. Organ haiwan
- Hati lembu
- Hati ayam
- Hati babi
2. Sesetengah cendawan
- Cendawan shiitake kering
3. Sesetengah Ikan
- Ikan bonito (keluarga ikan aya)
- Gnomefish (bahagian kulit)
- Ikan sardin
- Monkfish
- Ikan bilis (kering)
4. Makanan Laut
- Udang kril
- Udang halus
- Udang sakura (kering)
5. Suplemen
- Spirulina
- Madu ratu lebah (royal jelly)
- DNA/RNA
- Chlorella (alga hijau)
- Yis bir
Selain itu, terdapat juga makanan yang dikelaskan sebagai kumpulan makanan yang sederhana tinggi dengan kandungan purina iaitu pada kadar 100-200mg purina bagi setiap 100 gram makanan tersebut.
Pesakit gout harus mengawal pengambilan makanan seperti ini. Elakkan makan makanan ini secara berlebihan.
Antara makanan-makanan ini adalah: [3]
6. Produk Legum
- Kacang soya kering
- Natto (kacang soya difermentasi) – tempe mungkin memberi kesan yang sama
7. Daging & Organ
- Jantung lembu
- Tengkuk lembu
- Tulang kaki lembu
- Daging peha lembu (sebelah atas)
- Hempedal ayam
- Kaki ayam
- Jantung ayam
- Kulit ayam
- Kepak ayam
- Jantung babi
- Buah pinggang babi
- Daging batang pinang babi
- Lidah babi
8. Ikan
- Ikan barakuda (ikan alu-alu)
- Ikan halibut
- Ikan karp
- Ikan kembung
- Ikan tamban
- Ikan tenggiri
- Ikan salmon
- Ikan tuna / Ikan aya
9. Makanan Laut
- Kepah
- Ketam
- Sotong
- Sotong kurita
- Tiram
- Landak laut
- Udang karang (lobster)
10. Penambah Rasa atau Suplemen
- Sos tiram
11. Minuman
- Alkohol/arak
- Minuman berkarbonat
- Minuman jus buah-buahan
Makanan yang Boleh Dimakan Bagi Pesakit Gout
Walaupun diet gout banyak mengehadkan makanan yang biasanya dimakan, tetapi masih banyak pilihan makanan yang masih boleh dimakan oleh pesakit gout.
Makanan-makanan ini dikelaskan sebagai rendah purina kerana mengandungi purina kurang daripada 100 miligram bagi setiap 100 gram makanan tersebut.
Berikut adalah makanan-makanan yang rendah purina yang selamat dimakan oleh pesakit gout:
1. Buah-buahan
Semua buah-buahan boleh dimakan oleh pesakit gout. Buah ceri boleh mengurangkan risiko serangan gout. [4]
2. Sayur-sayuran
Hampir kesemua sayur-sayuran boleh dimakan.
3. Kekacang
Semua jenis kekacang boleh dimakan.
4. Legum
Semua jenis legum boleh dimakan, cuma hadkan pengambilan produk daripada kacang soya.
5. Bijiran penuh
Bijiran penuh seperti beras perang, oat, barli atau quinoa boleh dimakan.
6. Produk tenusu
Semua produk tenusu adalah selamat dimakan terutamanya susu rendah lemak.
7. Telur
8. Herba atau rempah
Semua jenis herba dan rempah.
9. Minuman
Teh, kopi, teh hijau dan air kosong.
10. Minyak
Minyak berasaskan tumbuhan seperti minyak zaitun, minyak kelapa atau minyak sawit boleh dimakan.
Pesakit gout juga masih boleh mengambil makanan seperti daging lembu, daging kambing, daging ayam atau ikan. Tetapi, mereka harus mengehadkan pengambilan makanan jenis ini sekitar 110-170 gram sehari.
Rumusan
Serangan gout boleh berlaku apabila penghidap gout mengambil makanan yang tinggi dengan purina. Makanan seperti ini boleh menyebabkan peningkatan asid urik dalam badan yang seterusnya mencetuskan serangan gout.
Oleh itu, pesakit gout harus mengamalkan pantang terhadap beberapa jenis makanan yang tinggi dengan kandungan purina.
Bagi makanan yang mengandungi purina pada kadar sederhana pula, pesakit gout masih boleh mengambil makanan ini tetapi mestilah pada kadar yang sedikit dan terkawal.
Rujukan
- So, A., & Thorens, B. (2010). Uric acid transport and disease. The Journal of clinical investigation.
- Zhang, Y. et al. (2012). Purine-rich foods intake and recurrent gout attacks. Annals of the rheumatic diseases.
- Kaneko, K. et al (2014). Total Purine and Purine Base Content of Common Foodstuffs for Facilitating Nutritional Therapy for Gout and Hyperuricemia. Biol. Pharm. Bull. 37(5): 707-721.
- Zhang, Y. et al. (2012). Cherry consumption and decreased risk of recurrent gout attacks. Arthritis and rheumatism.
Iskandar Zulkarnain ialah pengasas dan penulis kepada laman HeloMedik. Beliau berkelulusan sarjana sains (MSc) dan telah menamatkan kursus dalam Standford Introduction to Food and Health oleh Standford University, Healthy Practices: Nutrition, Physical Activity and Community and Family Participation oleh University of Colorado dan The New Nordic Diet - from Gastronomy to Health oleh University of Copenhagen.