Ikan bilis mungkin tidak asing lagi daripada masyarakat kita. Tetapi, berapa ramai diantara kita yang tahu akan khasiat ikan bilis ini?
Ikan bilis sinonim dengan masakan sambal tumis dan nasi lemak. Ikan kecil ini menjadi pembekal protein dalam diet harian kita. Ikan bilis telah menjadi makanan ruji sejak beribu tahun dahulu lagi.
Terdapat kira-kira lebih 140 spesies ikan bilis yang boleh didapati di seluruh dunia. Di Malaysia, jenis ikan bilis dikenali berdasarkan lokasi asalan ikan ini. Contohnya, ikan bilis Langkawi, ikan bilis Pulau Pangkor, ikan bilis Sabah dan lain-lain lagi.
Selain menjadi sumber protein dalam makanan harian kita, ikan bilis juga sebenarnya turut mengandungi vitamin dan mineral lain yang bermanfaat kepada kesihatan tubuh badan kita.
Berikut adalah beberapa khasiat ikan bilis untuk kesihatan berdasarkan profil nutrisi dan kajian mengenainya.
1. Kaya dengan Mineral dan Vitamin Penting
Bagi 100 gram ikan bilis kering, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 259 kcal
- Protein: 56.7 gram
- Lemak: 3.1 gram
- Karbohidrat: 1 gram
- Kalsium: 1576 miligram
- Zat besi: 5.3 miligram
- Fosforus: 855 miligram
- Kalium: 679 miligram
- Natrium: 363 miligram
- Vitamin B1: 0.15 miligram
- Vitamin B2: 0.08 miligram
- Vitamin B3: 3.9 miligram
- Vitamin A: 9 mikrogram
Selain mengandungi vitamin dan mineral yang penting, ikan bilis juga merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan asid lemak Omega-3 atau minyak ikan.
2. Baik untuk Kesihatan Jantung
Ikan bilis dilihat berkhasiat untuk kesihatan jantung kerana kandungan Omega-3.
Pengambilan makanan yang kaya dengan Omega-3 atau minyak ikan boleh mendatangkan banyak kebaikan kepada kesihatan jantung dan mengurangkan risiko penyakit jantung.
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan Omega-3 ini boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dan kematian akibat serangan strok.
Selain itu, mereka yang mengambil asid lemak Omega-3 juga boleh membantu menurunkan paras lemak dalam darah (trigliserida), meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) dan menurunkan tekanan darah. [2, 3]
3. Baik untuk Kesihatan Tulang
Khasiat ikan bilis juga boleh dimanfaatkan untuk tulang yang kuat. Khasiat ini disumbang oleh kandungan mineral kalsium yang tinggi dalam ikan ini.
Tulang manusia akan sentiasa mengalami proses pemodelan semula dimana tulang yang tua akan diserap semula dan tulang baru akan dibentuk.
Tulang yang kuat adalah tulang yang mempunyai ketumpatan yang tinggi. Ketumpatan tulang ini merujuk kepada berapa banyak kalsium dan mineral lain terkandung dalam tulang tersebut.
Peningkatan usia akan menyebabkan tulang seseorang itu semakin rapuh dan mudah patah walaupun tanpa kecederaan atau jatuh.
Oleh itu, makanan yang tinggi dengan kandungan kalsium penting bagi mengekalkan tulang yang sihat dan kuat.
4. Membaiki Tisu dan Sel Rosak
Mendapatkan protein yang mencukupi dalam diet harian juga adalah kunci penting untuk mendapatkan badan yang sihat.
Protein mempunyai banyak peranan kepada badan dan salah satu daripadanya adalah membaiki tisu dan sel-sel badan yang rosak.
Peranan ini dimainkan oleh kandungan asid amino perlu (essential amino acid) yang terkandung dalam protein ikan bilis. Asid amino ini juga turut memainkan peranan penting dalam pembentukan otot-otot badan.
Kekurangan asid amino perlu ini boleh memberi kesan negatif kepada seluruh badan termasuklah sistem penghadaman, sistem saraf, sistem imun dan sistem reproduktif.
5. Baik untuk Kesihatan Mata
Kandungan vitamin A atau retinol dalam ikan bilis juga berkhasiat untuk kesihatan mata.
Vitamin A memainkan peranan penting dalam mengekalkan kornea mata yang jernih. Selain itu, vitamin ini juga merupakan salah satu komponen kepada rodopsin, iaitu sejenis protein yang terdapat dalam mata yang membolehkan anda melihat di kawasan yang kurang cahaya. [4]
Kekurangan vitamin A boleh menyebabkan penyakit mata iaitu xerophthalmia iaitu penyakit mata yang bermula dengan rabun malam.
6. Membantu Menambah Sel Darah Merah
Ikan bilis juga merupakan makanan yang boleh membekalkan zat besi kepada tubuh badan manusia.
Zat besi berperanan penting dalam membantu menghantar oksigen daripada paru-paru ke seluruh anggota badan.
Di samping itu juga, zat besi turut mempunyai peranan dalam proses sintesis DNA dan juga pengangkutan elektron. [5]
Kekurangan zat besi boleh menyebabkan penyakit anemia iaitu sejenis penyakit kekurangan sel darah merah.
Penyakit anemia akibat kekurangan zat besi adalah jenis yang paling lazim berlaku, berpunca daripada kekurangan pengambilan zat besi dalam pemakanan harian.
Golongan seperti wanita hamil, wanita usia subur, mereka yang sering menderma darah, bayi yang lahir pramatang atau mereka yang mempunyai diet yang buruk adalah golongan yang berisiko tinggi mengalami penyakit anemia.
7. Rendah dengan Merkuri
Sebagai ikan yang mengandungi Omega-3 atau minyak ikan, ikan bilis mempunyai kelebihan berbanding ikan tenggiri, ikan tuna atau ikan todak kerana rendah dengan merkuri.
Merkuri ialah logam berat yang terkandung dalam air, tanah atau udara.
Manusia boleh terdedah kepada merkuri melalui banyak cara dan salah satu daripadanya melalui makan makanan laut seperti ikan yang tinggi dengan merkuri.
Sesetengah ikan terutamanya ikan bersaiz besar mengandungi kepekatan merkuri yang tinggi akibat daripada pencemaran air dan makan ikan kecil yang turut mengandungi merkuri.
Terdedah kepada merkuri boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan manusia terutamanya yang berkaitan dengan otak.
Kajian menunjukkan mereka yang terdedah kepada merkuri berisiko tinggi untuk mengalami penyakit seperti Parkinson, Alzheimer, autisme, kemurungan dan keresahan. [6]
Rumusan
Ikan bilis merupakan sumber makanan yang mempunyai pelbagai khasiat kepada manusia.
Walaupun bersaiz kecil, ikan bilis berkhasiat kepada kesihatan jantung, tulang, mata dan lain-lain lagi. Selain kandungan vitamin dan mineral, kandungan asid lemak Omega-3 atau minyak ikan dalam ikan bilis juga turut menyumbang pelbagai manfaat kepada kesihatan manusia.
Walau bagaimanapun, bagi rakyat Malaysia yang lazimnya mengambil ikan ini dalam bentuk kering. Anda harus mengehadkan pengambilan harian ikan ini kerana ikan bilis kering tinggi dengan kadar garamnya.
Rujukan
- MyFCD. Malaysia Food Composition Database. https://myfcd.moh.gov.my/
- Peter, S. et al. (2013). A fish a day, keeps the cardiologist away! – A review of the effect of omega-3 fatty acids in the cardiovascular system. Indian journal of endocrinology and metabolism.
- Cazzola, R. et al. (2007). Age- and dose-dependent effects of an eicosapentaenoic acid-rich oil on cardiovascular risk factors in healthy male subjects. Atherosclerosis.
- National Institutes of Health. (2021). Vitamin A. NIH.
- Abbaspour, N. et al. (2014). Review on iron and its importance for human health. Journal of research in medical sciences.
- Zahir, F., Rizwi, S. J., Haq, S. K., & Khan, R. H. (2005). Low dose mercury toxicity and human health. Environmental toxicology and pharmacology.