Kebelakangan ini, minuman matcha semakin mendapat perhatian dan populariti. Matcha latte, teh matcha, puding matcha, matcha fudge dan lain-lain lagi. Tetapi, adakah anda tahu apa khasiat teh matcha atau matcha ini?
Apa itu Matcha?
Matcha adalah salah satu bentuk teh hijau yang telah diminum di Jepun dan China sejak beratus tahun dahulu. Seperti teh hijau, matcha juga datangnya daripada pokok teh, Camellia sinensis daripada varieti Tencha.
Walau bagaimanapun, ia ditanam secara berbeza dan mempunyai profil nutrien yang unik.
Petani membesarkan pokok teh ini dengan cara yang berbeza di mana ketika 20 hingga 30 hari sebelum dituai, pokok teh tersebut ditutup bagi mengelakkan pancaran terus cahaya matahari.
Kaedah ini boleh meningkatkan penghasilan klorofil, kandungan asid amino dan menyebabkan daun teh mempunyai rona warna hijau gelap.
Apabila telah dituai, bahagian batang dan urat daun akan dibuang dan daun tersebut akan dihancurkan menjadi serbuk yang halus dikenali sebagai matcha.
Seperti teh hijau, teh matcha turut mempunyai pelbagai khasiat yang disumbang oleh kandungan nutrien-nutrien di dalamnya.
Antaranya adalah:
1. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Matcha turut kaya dengan pelbagai antioksidan seperti katekin, kuersetin, rutin, asid fenolik dan vitamin C.
Antioksidan-antioksidan ini menyumbang kepada pelbagai khasiat teh matcha dalam meningkatkan kesihatan anda.
2. Boleh Membantu Meningkatkan Fungsi Otak
Teh matcha juga boleh membantu meningkatkan fungsi otak seperti fungsi daya fikir, memori dan mencegah penyakit kemerosotan neuro.
Peningkatan usia adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemerosotan daya fikir dan meningkatkan risiko kepada penyakit kemerosotan neuro seperti Alzheimer atau Parkinson.
Teh matcha mengandungi kafein yang mempunyai kesan antiradang dan boleh mencegah penyakit kemerosotan neuro. Kesan positif ini dikaitkan dengan pengurangan pemendapan amiloid-β di dalam otak. [1]
Selain itu, kandungan epigallocatechin gallate (EGCG) dalam matcha boleh meningkatkan fungsi daya fikir, meningkatkan kepekaan insulin dan mengurangkan penghasilan amiloid-β di dalam otak, seterusnya mengurangkan keradangan neuro dan mencegah penyakit kemerosotan neuro. [2]
Kosa kata
Amiloid-β: Amiloid beta adalah sejenis protein yang dihasilkan di dalam otak dan menjadi punca kepada penyakit Alzheimer sekiranya berada pada tahap yang berlebihan.
3. Berpotensi Mencegah Kanser
Teh matcha juga didapati berpotensi dalam membantu mencegah dan merawat kanser.
Khasiat teh matcha ini boleh dilihat di dalam beberapa kajian yang melibatkan kandungan antioksidan di dalamnya.
Matcha tinggi dengan kandungan epigallocatechin gallate (EGCG) iaitu sejenis katekin yang mempunyai ciri-ciri antikanser yang kuat.
Satu kajian tabung uji mendapati EGCG dalam matcha boleh membantu membunuh sel-sel kanser prostat. [3]
Terdapat juga kajian yang mendapati pengambilan EGCG boleh merencatkan pertumbuhan dan pembiakan sel-sel kanser pundi hempedu dan duktus hempedu serta mengurangkan risiko kepada kanser duktus hempedu. [4, 5]
4. Baik untuk Kesihatan Jantung
Penyakit jantung adalah penyebab utama yang menyebabkan kematian di seluruh dunia. Kira-kira satu per tiga kematian bagi mereka yang berumur 35 tahun ke atas adalah disebabkan penyakit jantung.
Kajian terhadap teh hijau iaitu minuman yang mempunyai profil nutrien yang sama dengan matcha mendapati meminum minuman tersebut boleh melindungi jantung.
Hal ini demikian kerana teh hijau boleh membantu menurunkan paras kolesterol total, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida. [6]
Satu kajian lain yang dijalankan terhadap haiwan yang terdedah kepada asap rokok mendapati pemberian EGCG dapat mengurangkan peningkatan penanda kecederaan jantung dan peningkatan lipid (lemak dan kolesterol).
Kajian ini turut menyimpulkan bahawa EGCG menunjukkan kesan perlindungan terhadap otot jantung dengan mencegah keradangan melalui pengurangan tekanan oksidatif. [7]
5. Boleh Mencegah Jangkitan Virus
Meminum teh matcha juga boleh membantu anda mencegah atau merawat jangkitan virus termasuklah virus COVID-19.
Sebatian EGCG yang terkandung dalam matcha menunjukkan aktiviti antivirus terhadap virus SARS-CoV-2 (COVID-19). [8]
Terdapat juga kajian yang menunjukkan sebatian katekin yang terdapat dalam teh matcha turut mempamerkan aktiviti antivirus terhadap virus HBV, herpes simpleks, adenovirus, HIV, influenza, rotavirus dan lain-lain. [9]
6. Boleh Membantu Merendahkan Gula Darah
Terdapat juga kajian yang mendapati matcha atau teh matcha boleh membantu merendahkan paras gula darah yang mungkin bermanfaat kepada pesakit diabetes atau kencing manis.
Kandungan EGCG boleh menghalang pencernaan kanji seterusnya meminimumkan perembesan glukosa (gula) secara mendadak di dalam saluran usus. [10]
Terdapat juga analisis yang melibatkan 27 kajian mendapati pengambilan teh hijau boleh menurunkan paras gula darah puasa dengan ketara. [11]
7. Baik untuk Kesihatan Hati
Meminum teh matcha atau makanan lain yang dihasilkan daripada matcha juga boleh membantu melindungi hati daripada kerosakan atau penyakit hati berlemak bukan alkohol.
Kajian terhadap haiwan yang menghidap diabetes mendapati pengambilan matcha dalam kalangan haiwan tersebut selama 16 minggu berjaya mencegah kerosakan hati dan buah pinggang. [12]
Analisis yang melibatkan 15 kajian pula mendapati meminum teh hijau boleh mengurangkan risiko kepada penyakit hati. [13]
8. Membantu Mengurangkan Berat Badan
Teh hijau sememangnya terkenal dengan keupayaannya untuk mengurangkan berat badan.
Malah, kajian menunjukkan bahawa ia boleh membantu meningkatkan metabolisme untuk meningkatkan penggunaan tenaga dan meningkatkan pembakaran lemak.
Satu kajian kecil melaporkan bahawa pengambilan ekstrak teh hijau semasa senaman berintensiti sederhana boleh meningkatkan pembakaran lemak sebanyak 17%. [14]
Kajian semula yang melibatkan 11 kajian turut mendapati sebatian katekin atau campuran kafein dan EGCG boleh membantu mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan. [15]
Rumusan
Matcha adalah sejenis serbuk teh hijau yang dihasilkan daripada tumbuhan yang sama dengan teh hijau yang lain iaitu Camellia sinensis.
Matcha kaya dengan antioksidan dan didapati mempunyai pelbagai khasiat kepada kesihatan. Kajian-kajian mendapati matcha atau teh matcha boleh membantu meningkatkan fungsi otak, mencegah kanser, meningkatkan kesihatan jantung dan lain-lain lagi.
Teh matcha juga turut mudah untuk disediakan. Kini, matcha turut dipelbagaikan kegunaannya dalam minuman dan makanan.
Rujukan
- Arendash, G. W. et al. (2009). Caffeine reverses cognitive impairment and decreases brain amyloid-beta levels in aged Alzheimer’s disease mice. Journal of Alzheimer’s disease.
- Ettcheto, M. et al. (2020). Epigallocatechin-3-Gallate (EGCG) Improves Cognitive Deficits Aggravated by an Obesogenic Diet Through Modulation of Unfolded Protein Response in APPswe/PS1dE9 Mice. Molecular neurobiology.
- Siddiqui, I. A. et al. (2008). Green tea polyphenol EGCG sensitizes human prostate carcinoma LNCaP cells to TRAIL-mediated apoptosis and synergistically inhibits biomarkers associated with angiogenesis and metastasis. Oncogene.
- Senggunprai, L. et al. (2014). Quercetin and EGCG exhibit chemopreventive effects in cholangiocarcinoma cells via suppression of JAK/STAT signaling pathway. Phytotherapy research.
- Makiuchi, T. et al. (2016). Association between green tea/coffee consumption and biliary tract cancer: A population-based cohort study in Japan. Cancer science.
- Zheng, X. X. et al. (2011). Green tea intake lowers fasting serum total and LDL cholesterol in adults: a meta-analysis of 14 randomized controlled trials. The American journal of clinical nutrition.
- Gokulakrisnan, A. et al. (2011). Attenuation of the cardiac inflammatory changes and lipid anomalies by (-)-epigallocatechin-gallate in cigarette smoke-exposed rats. Molecular and cellular biochemistry.
- Ohgitani, E. et al. (2021). Significant Inactivation of SARS-CoV-2 In Vitro by a Green Tea Catechin, a Catechin-Derivative, and Black Tea Galloylated Theaflavins. Molecules.
- Xu, J. et al. (2017). A Review of the Antiviral Role of Green Tea Catechins. Molecules.
- Zhang, H. et al. (2018). Effect of tea products on the in vitro enzymatic digestibility of starch. Food chemistry.
- Xu, R. et al. (2020). Effects of green tea consumption on glycemic control: a systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. Nutrition & metabolism.
- Yamabe, N. et al. (2009). Matcha, a powdered green tea, ameliorates the progression of renal and hepatic damage in type 2 diabetic OLETF rats. Journal of medicinal food.
- Yin, X. et al. (2015). The effect of green tea intake on risk of liver disease: a meta analysis. International journal of clinical and experimental medicine.
- Venables, M. C. et al. (2008). Green tea extract ingestion, fat oxidation, and glucose tolerance in healthy humans. The American journal of clinical nutrition.
- Hursel, R. et al. (2009). The effects of green tea on weight loss and weight maintenance: a meta-analysis. International journal of obesity.