Cendawan shiitake ialah cendawan yang berwarna cerah hingga coklat gelap. Rasa dan khasiat cendawan shiitake ini telah menjadinya popular di serata dunia. Artikel ini akan merungkai khasiat-khasiat yang terkandung dalam cendawan shiitake.
Nama saintifik bagi cendawan shiitake ialah Lentinula edodes. Cendawan ini berasal dari kawasan pergunungan Jepun, Korea dan China. Masyarakat di negara China telah mengusahakan tanaman cendawan ini sejak 1 000 hingga 1 200 tahun dahulu lagi.
Cendawan ini dikenali sebagai dongo atau shanku bagi masyarakat di China. Kemudian, ia tersebar ke negara Jepun dan mendapat namanya sebagai shiitake. Kini, cendawan ini telah banyak ditanam secara komersial di banyak negara di seluruh dunia.
Masyarakat terdahulu menggunakan cendawan shiitake sebagai makanan atau bahan dalam perubatan tradisional.
Berikut adalah beberapa khasiat cendawan shiitake untuk kesihatan berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.
1. Mengandungi Nutrien Penting
Bagi 100 gram cendawan shiitake mentah terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori: 34 kcal
- Protein: 2.24 gram
- Lemak: 0.5 gram
- Karbohidrat: 6.8 gram
- Serat: 2.5 gram
- Gula: 2.4 gram
- Kalsium: 2 miligram
- Zat besi: 0.4 miligram
- Magnesium: 20 miligram
- Fosforus: 112 miligram
- Kalium: 304 miligram
- Zink: 1.03 miligram
- Tembaga: 0.14 miligram
- Mangan: 0.23 miligram
- Selenium: 5.7 mikrogram
- Folat: 13 mikrogram
- Vitamin D: 0.4 mikrogram
- Vitamin B1: 0.02 miligram
- Vitamin B2: 0.22 miligram
- Vitamin B3: 3.9 miligram
- Vitamin B5: 1.5 miligram
- Vitamin B6: 0.29 miligram
2. Boleh Membantu Menguatkan Sistem Imun
Cendawan shiitake boleh membantu menguatkan sistem imun mereka yang memakannya.
Ini berdasarkan satu kajian, individu yang makan 5 gram atau 10 gram cendawan shiitake setiap hari boleh meningkatkan ketahanan (keimunan) badan dan paras keradangan menurun. [2]
Selain itu, kajian terhadap haiwan mendapati cendawan shiitake boleh menambah baik fungsi sistem imun yang lemah selari dengan peningkatan usia.[3]
Ini menunjukkan cendawan ini berpotensi untuk meningkatkan fungsi sistem imun bagi mereka yang berusia.
3. Baik Untuk Kesihatan Jantung
Cendawan shiitake juga baik untuk kesihatan jantung. Khasiat ini dilihat melalui kandungan beta-glukan, sterol (ergosterol) dan eritadenine.
Beta-glukan boleh membantu merendahkan kolesterol, sterol boleh membantu mencegah penyerapan kolesterol dalam usus dan eritadenine pula boleh membantu merencatkan enzim yang menghasilkan kolesterol.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang menghidap kolesterol tinggi mendapati cendawan shiitake boleh membantu menurunkan paras jumlah kolesterol, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida.
Selain itu, cendawan ini turut mengurangkan pengumpulan lemak dalam hati dan mengurangkan pembentukan plak di dinding arteri. [4]
4. Boleh Melawan Kanser
Cendawan shiitake juga turut mempunyai kesan antikanser. Kandungan polisakarida dalam cendawan ini didapati mempunyai aktiviti-aktiviti antikanser dan antitumor. [5]
Lentinan iaitu sebatian polisakarida yang terkandungan dalam cendawan shiitake ini didapati boleh merencatkan pembiakan dan pemerebakan sel-sel kanser leukimia. [6]
Selain itu, kajian makmal juga mendapati cendawan shiitake juga boleh merencat tumbesaran dan membunuh sel-sel kanser payudara dan darah manusia. [7]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk mengetahui kesan antikanser cendawan ini terhadap kanser dalam badan manusia.
5. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria dan Virus
Cendawan shiitake juga berkhasiat dalam melawan jangkitan yang melibatkan bakteria dan virus.
Kandungan asid oksalik dalam cendawan shiitake dilihat mempunyai sifat antibakteria terhadap bakteria jenis Staphylococcus aureus iaitu bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan. [8]
Selain itu, cendawan shiitake juga turut didapati mempunyai kesan antivirus terhadap virus imunodefisiensi manusia (HIV). [8]
Kebanyakan kajian ini melibatkan sebatian yang diasingkan daripada cendawan shiitake dan diuji dalam tabung uji. Kemungkinan besar ia tidak mendatangkan kesan yang sama terhadap manusia melalui pemakanan cendawan ini.
6. Mencegah Kecacatan Kognitif
Kognitif ialah proses mental yang terlibat dalam mengetahui, belajar, membuat keputusan dan memahami sesuatu.
Kecacatan kognitif boleh berlaku selari dengan peningkatan usia dan diburukkan lagi jika seseorang itu mengalami penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi atau kolesterol tinggi.
Kajian terhadap haiwan mendapati kandungan beta-glucan dalam cendawan shiitake boleh mencegah kecacatan kognitif yang disebabkan diet yang tinggi dengan kandungan lemak. [9]
Kajian-kajian termasuk kajian klinikal masih diperlukan untuk melihat khasiat ini terhadap manusia.
Khasiat-khasiat Lain
Terdapat beberapa kajian awal yang menunjukkan potensi-potensi cendawan shiitake terhadap kesihatan.
- Mengurangkan kerosakan hati. Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak cendawan shiitake yang diperkaya dengan vitamin D boleh mengurangkan kerosakan hati dan mengurangkan keradangan. [10]
- Mungkin boleh menguatkan tulang. Kajian terhadap haiwan yang mengalami simptom-simptom osteoporosis mendapati kumpulan yang diberikan kalsium dan cendawan shiitake yang didedahkan dengan sinaran UV mempunyai ketumpatan tulang yang lebih tinggi. [11]
- Berpotensi mencegah pereputan gigi. Terdapat kajian awal yang mendapati cendawan shiitake juga berpotensi digunakan sebagai bahan yang boleh mencegah pereputan gigi melalui sifat antibakterianya. [12]
Risiko
Secara umumnya, cendawan shiitake ini selamat untuk dimakan.
Tetapi mungkin sesetengah orang yang mempunyai alahan atau sensitif terhadap cendawan ini akan mengalami ruam atau lepuh akibat daripada memegang atau makan cendawan yang mentah atau kurang masak.
Tindak balas yang dipanggil dermatitis shiitake ini dipercayai disebabkan oleh lentinan, iaitu polisakarida dalam cendawan ini. [13]
Rumusan
Cendawan shiitake adalah cendawan yang mempunyai sejarah penggunaan yang cukup lama. Seperti cendawan enoki, cendawan shiitake juga digunakan sebagai sumber makanan dan perubatan tradisional.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa cendawan shiitake mempunyai banyak khasiat dan potensi dalam dunia perubatan dan kesihatan. Walau bagaimanapun, kajian-kajian klinikal masih terhad.
Namun, anda masih boleh memanfaatkan nutrien seperti vitamin dan mineral yang terkandungan dalam cendawan ini untuk kesihatan secara amnya.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Dai, X. et al. (2015). Consuming Lentinula edodes (Shiitake) Mushrooms Daily Improves Human Immunity: A Randomized Dietary Intervention in Healthy Young Adults. Journal of the American College of Nutrition.
- Xu, X. et al. (2015). Lentinula edodes-derived polysaccharide rejuvenates mice in terms of immune responses and gut microbiota. Food & function.
- Yang, H. et al. (2013). Lentinus edodes promotes fat removal in hypercholesterolemic mice. Experimental and therapeutic medicine.
- Huang, X., & Nie, S. (2015). The structure of mushroom polysaccharides and their beneficial role in health. Food & function.
- Patel, S., & Goyal, A. (2012). Recent developments in mushrooms as anti-cancer therapeutics: a review. 3 Biotech.
- Fang, N., et al. (2006). Inhibition of growth and induction of apoptosis in human cancer cell lines by an ethyl acetate fraction from shiitake mushrooms. Journal of alternative and complementary medicine.
- Lindequist, U. et al. (2005). The pharmacological potential of mushrooms. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Pan, W. et al. (2021). β-Glucan from Lentinula edodes prevents cognitive impairments in high-fat diet-induced obese mice: involvement of colon-brain axis. Journal of translational medicine.
- Drori, A. et al. (2016). Extracts from Lentinula edodes (Shiitake) Edible Mushrooms Enriched with Vitamin D Exert an Anti-Inflammatory Hepatoprotective Effect. Journal of medicinal food.
- Lee, G. S. et al. (2009). Dietary calcium and vitamin D2 supplementation with enhanced Lentinula edodes improves osteoporosis-like symptoms and induces duodenal and renal active calcium transport gene expression in mice. European journal of nutrition.
- Avinash, J. et al. (2016). The Unexplored Anticaries Potential of Shiitake Mushroom. Pharmacognosy reviews.
- Stephany, M. P. et al. (2016). Shiitake Mushroom Dermatitis: A Review. American journal of clinical dermatology.