Gout adalah bentuk artritis yang menyakitkan yang berlaku apabila terlalu banyak asid urik terkumpul dan membentuk kristal di sendi anda. Penjagaan makanan seperti diet gout boleh membantu mengawal gout dengan mengurangkan jumlah purina yang dimakan.
Badan manusia menghasilkan asid urik selepas ia mencernakan sebatian yang dipanggil purina. Purina ini terkandung dalam banyak makanan yang dimakan secara harian.
Diet gout boleh membantu mengurangkan paras asid urik dalam badan, namun ia bukannya penyembuh kepada gout.

Walau bagaimanapun, pemakanan seperti diet gout ini boleh mengurangkan risiko serangan gout yang berulang-ulang dan memperlahankan kerosakan sendi.
Serangan gout biasanya terjadi pada waktu malam dan berkekalan sehingga 3 hingga 10 hari. [1]
Kebanyakan orang yang mengalami keadaan ini mengalami gejala-gejala gout kerana badan mereka tidak dapat mengeluarkan asid urik yang berlebihan dengan cekap.
Ini membolehkan asid urik terkumpul, menghablur dan mendap di dalam sendi. Manakala, sesetengah yang lain pula menghidap gout kerana membuat terlalu banyak asid urik disebabkan oleh faktor genetik atau pemakanan mereka.
Matlamat Diet Gout
Diet gout direka untuk membantu anda:
- Mencapai berat badan yang sihat
- Mempunyai tabiat makanan yang baik
- Mengelakkan makanan yang tinggi purina
- Menambah makanan yang boleh membantu mengawal paras asid urik
Makanan yang Boleh Dimakan
Makanan yang boleh dimakan adalah kumpulan makanan yang rendah dengan purina.
Makanan tersebut dianggap rendah purina apabila ia mengandungi kurang daripada 100 mg purina bagi setiap 100 gram makanan tersebut.
Berikut adalah makanan rendah purina yang boleh dimakan:
- Semua jenis buah-buahan: Buah ceri dilaporkan boleh mencegah serangan gout dan mengurangkan keradangan. [2]
- Kebanyakan sayur-sayuran: Parsli adalah tinggi dengan kandungan purina, namun ia biasanya digunakan pada kadar yang sedikit dalam masakan.
- Kekacang dan legum: Semua jenis kekacang dan legum adalah selamat dimakan.
- Bijian penuh: Contohnya seperti beras perang, barli dan oat.
- Telur
- Herba dan rempah
- Minyak tumbuhan: Contohnya seperti minyak zaitun, minyak kelapa dan minyak kelapa sawit.
- Produk tenusu: Semua jenis produk tenusu adalah selamat dimakan. Utamakan produk yang rendah lemak.
- Suplemen (makanan tambahan): Vitamin C dilaporkan boleh membantu mencegah serangan gout dengan mengurangkan paras asid urik. [3]
Minuman yang Boleh Diminum
Pengambilan air kosong yang kerap juga turut disarankan bagi memastikan anda kekal terhidrat.
Selain itu, minuman-minuman berikut juga adalah boleh diminum bagi pesakit gout:
- Teh
- Teh hijau
- Kopi
Makanan yang Perlu Dihadkan
Selain makanan yang perlu dielakkan, terdapat juga makanan yang perlu dihadkan kerana mengandungi purina pada paras sederhana.
Hadkan saiz hidangan bagi makanan-makanan ini dan utamakan bahagian yang rendah lemak.
Makanan-makanan ini mengandungi purina pada kadar 100-200 mg bagi setiap 100 gram makanan tersebut. [4]
Oleh sebab itu, memakan makanan ini terlalu banyak boleh mencetuskan serangan gout.
- Daging dan organ:
- Daging lembu
- Daging kambing
- Jantung lembu
- Tengkuk lembu
- Tulang kaki lembu
- Daging peha lembu (sebelah atas)
- Dada ayam
- Hempedal ayam
- Kaki ayam
- Jantung ayam
- Kulit ayam
- Kepak ayam
- Jantung babi
- Buah pinggang babi
- Daging batang pinang babi
- Lidah babi
- Semua jenis ikan: Kecuali yang dinyatakan di bahagian makanan yang perlu dielakkan.
- Makanan laut:
- Kepah
- Ketam
- Sotong
- Sotong kurita
- Tiram
- Landak laut
- Udang karang (lobster)
- Sos atau penambah rasa:
- Sos tiram
- Produk kacang soya:
- Kacang soya
- Kacang soya difermentasi (Natto)
- Tempe
Makanan yang Perlu Dielakkan
Makanan yang perlu dielakkan adalah makanan yang tinggi dengan purina.
Makanan-makanan ini mengandungi lebih daripada 200 mg purina bagi setiap 100 gram makanan tersebut. [4]
Antaranya adalah:
- Organ hati: Seperti hati lembu, hati kambing, hati ayam dan hati babi.
- Ikan:
- Ikan sardin
- Ikan bilis kering
- Ikan mackerel
- Ikan tongkol / aya
- Monkfish
- Gnomefish
- Makanan laut atau kerang-kerangan:
- Udang kril
- Udang halus
- Udang sakura
- Perasa dan suplemen:
- Madu ratu lebah
- Suplemen spirulina
- Suplemen DNA/RNA
- Suplemen chlorella (alga hijau)
- Yis bir (brewer’s yeast)
- Suplemen yis
- Cendawan:
- Cendawan shiitake kering
- Makanan manis:
- Bijirin manis
- Aiskrim
- Gula-gula
- Pastri
- Produk kacang soya:
- Tauhu kering beku (freeze-dried)
- Rumpai laut kering
Minuman yang Perlu Dielakkan
Selain itu, pesakit gout juga turut disarankan untuk mengelak minuman-minuman berikut:
- Minuman manis seperti jus buah dan minuman berkarbonat
- Alkohol termasuklah bir dan likuor
Satu kajian yang diterbitkan dalam The American Journal of Medicine mendapati bahawa mereka yang meminum alkohol seperti wain, bir atau likuor meningkatkan risiko serangan gout.
Satu hingga dua minuman sehari meningkatkan risiko sebanyak 36%, dan dua hingga empat minuman sehari meningkatkannya sebanyak 51%. [5]
Cadangan Menu Diet Gout
Makan makanan diet gout akan membantu anda melegakan kesakitan dan bengkak, sambil mencegah serangan yang akan datang.
Berikut adalah contoh cadangan diet gout:
Sarapan
- 2 biji telur rebus bersama-sama sekeping roti mil penuh (whole mill)
- Secawan kopi atau teh
- Air kosong
Makan Tengah Hari
- Nasi
- Gulai ayam (bahagian peha) atau ayam bakar
- Telur dadar
- Sayur air
- Ulam-ulaman
- Air kosong
Kudapan
- Teh herba
- Secawan buah ceri segar
Makan Malam
- Ikan keli bakar
- Sayur brokoli dan lobak merah digoreng kilas
- Nasi
- Air kosong atau jus oren segar
Rumusan
Gout adalah sejenis penyakit artritis yang menyebabkan sakit, bengkak dan keradangan pada sendi.
Salah satu langkah pengawalan penyakit gout adalah mengawal pemakanan seperti diet gout.
Makanan dan minuman yang selalunya mencetusakan serangan gout adalah organ haiwan, sesetengah jenis ikan, alkohol dan minuman manis.
Sebaliknya, buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan produk tenusu rendah lemak boleh membantu mencegah serangan gout dengan menurunkan paras asid urik.
Pengambilan makanan tambahan seperti suplemen vitamin C juga boleh membantu mencegah serangan gout.
Rujukan
- National Institute of Arthritis and Musculoskeletal and Skin Diseases. Gout.
- Jacob, R. A. et al. (2003). Consumption of cherries lowers plasma urate in healthy women. The Journal of nutrition.
- Choi, H. K. et al. (2009). Vitamin C intake and the risk of gout in men: a prospective study. Archives of internal medicine.
- Kiyoko Kaneko. et al. (2014). Total Purine and Purine Base Content of Common Foodstuffs for Facilitating Nutritional Therapy for Gout and Hyperuricemia. Biological dan Pharmaceutical Bulletin.
- Neogi, T. et al. (2014). Alcohol quantity and type on risk of recurrent gout attacks: an internet-based case-crossover study. The American journal of medicine.