Spirulina adalah antara suplemen yang popular di dunia. Terdapat banyak kebaikan spirulina untuk kesihatan. Sekiranya anda bercadang untuk menggunakan suplemen ini, ketahui dengan lebih lanjut mengenai kebaikan spirulina dalam artikel ini.
Spirulina adalah sejenis alga biru-hijau atau lebih tepat sejenis sianobakteria. Orang-orang Aztec di Mexico dan orang yang tinggal di kawasan Lake Chad di Afrika telah menggunakan spirulina sejak berabad lamanya.
Spirulina adalah organisma yang membesar di dalam air masin dan air tawar. Spirulina biasanya diusahakan dalam tasik atau kolam-kolam.

Berikut adalah 11 kebaikan spirulina untuk kesihatan yang turut disokong oleh kajian sains.
1. Tinggi dengan Protein Berkualiti
Spirulina padat dengan pelbagai nutrien yang termasuklah makronutrien seperti protein. Bagi satu sudu besar (7 gram) serbuk spirulina kering terdapat sebanyak 4 gram protein. [1]
Protein di dalam spirulina dianggap sebagai protein berkualiti tinggi kerana mengandungi ke semua asid amino perlu (essential amino acid).
Dos harian yang biasa bagi spirulina adalah sekitar 1-3 gram tetapi ada juga yang menggunakan sehingga 10 gram sehari.
2. Mempunyai Ciri-ciri Antioksidan dan Antiradang
Spirulina juga turut didapati mempunyai ciri-ciri antioksidan dan antiradang.
Ciri-ciri antioksidan spirulina ini penting bagi melindungi sel-sel sihat dan DNA daripada rosak akibat pengoksidaan. Kerosakan akibat pengoksidaan boleh menyebabkan keradangan yang berpanjangan.
Keradangan yang berpanjangan boleh menyumbang kepada penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung atau diabetes.
Ciri-ciri antioksidan ini disumbang oleh sebatian aktif utama iaitu fikosianin. Fikosianin ini juga turut membuatkan spirulina berwarna biru-hijau.
Fikosianin menunjukkan kesan antioksidan dan antiradang yang mengagumkan dengan melawan radikal bebas dan menghalang penghasilan molekul isyarat radang. [2]
3. Boleh Menurunkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risiko kepada serangan jantung atau strok. Pengambilan makanan seperti spirulina boleh membantu menurunkan dan mengawal paras kolesterol dalam badan.
Kajian terhadap 25 individu yang menghidap diabetes jenis 2 mendapati pengambilan 2 gram spirulina sehari boleh merendahkan paras kolesterol total, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida serta meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik). [3]
Satu kajian lain turut mendapati pengambilan 1 gram spirulina sehari oleh mereka yang menghidap kolesterol tinggi boleh mengurangkan trigliserida sebanyak 16% dan kolesterol jahat (kolesterol LDL) sebanyak 10%. [4]
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Selain itu juga, spirulina juga didapati berpotensi mencegah kanser.
Kebaikan spirulina ini dapat dibuktikan dalam satu kajian yang dijalankan terhadap 87 pesakit yang menghidap lesi yang berkaitan dengan kanser mulut yang dipanggil fibrosis submukus mulut.
Dalam kalangan pesakit yang mengambil 1 gram spirulina sehari selama setahun, 45% daripadanya mendapati lesi mereka telah hilang berbanding 7% bagi kumpulan yang mengambil plasebo. [5]
5. Boleh Menurunkan Tekanan Darah
Pengambilan spirulina juga boleh membantu menurunkan tekanan darah.
Kesan spirulina terhadap tekanan darah dapat dilihat dalam satu kajian yang dijalankan terhadap 36 individu yang menunjukkan pengambilan spirulina pada dos 4.5 gram sehari boleh menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik. [6]
6. Boleh Melegakan Gejala Resdung
Resdung boleh merujuk kepada dua keadaan dalam perubatan iaitu rinitis alergi atau sinusitis.
Rinitis alergi dicetuskan oleh alergen seperti debunga, bulu haiwan atau debu. Rinitis alergi menyebabkan keradangan pada saluran hidung.
Spirulina terkenal sebagai rawatan alternatif yang boleh merawat gejala-gejala rinitis alergi atau resdung.
Kajian yang melibatkan 127 orang penghidap rinitis alergi mendedahkan bahawa pengambilan 2 gram spirulina mengurangkan gejala-gejala seperti bersin, hidung tersumbat, gatal atau lelehan hidung dengan ketara. [7]
7. Boleh Merawat Anemia
Kebaikan spirulina yang seterusnya adalah membantu merawat anemia. Anemia ialah keadaan kekurangan sel-sel darah merah atau hemoglobin dalam darah anda.
Kajian yang melibatkan individu yang mempunyai sejarah anemia mendapati pengambilan spirulina boleh meningkatkan kandungan hemoglobin dalam sel-sel darah merah dan meningkatkan sistem imun. [8]
8. Boleh Menguatkan Otot
Senaman boleh mencetuskan kerosakan pengoksidaan yang menyumbang kepada kelesuan otot.
Pengambilan makanan yang mempunyai ciri-ciri antioksidan boleh membantu mengurangkan kerosakan tersebut.
Spirulina termasuk dalam kumpulan makanan yang mempunyai ciri-ciri antioksidan. Kesan spirulina ini dapat dilihat dalam kajian yang mendapati spirulina meningkatkan ketahanan dan masa untuk seseorang berasa lesu. [9]
9. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Spirulina juga didapati boleh membantu menurunkan paras gula darah.
Kajian klinikal terhadap penghidap diabetes jenis 2 menunjukkan pengambilan 2 gram spirulina sehari boleh mengurangkan paras gula darah dengan ketara. [3]
Analisis terhadap 8 kajian juga turut menyokong bahawa pengambilan spirulina boleh menurunkan paras gula darah. [10]
10. Menguatkan Sistem Imun
Spirulina juga kaya dengan vitamin yang boleh membantu menguatkan sistem imun seperti vitamin C, E dan B6.
Kajian mendapati bahawa spirulina juga meningkatkan pengeluaran sel darah putih dan antibodi yang boleh melawan virus dan bakteria dalam badan anda. [8,11]
11. Baik untuk Kesihatan Otak
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa spirulina turut mempunyai kesan yang positif terhadap kesihatan otak dan boleh mencegah penyakit-penyakit berkaitan otak seperti Parkinson dan Alzheimer. [12]
Kesan perlindungan ini dipercayai disumbang oleh ciri-ciri antioksidan dan antiradang spirulina.
Dimana Boleh Dapatkan Spirulina Ini?
Spirulina ini boleh dibeli di farmasi, kedai-kedai jamu atau secara atas talian.
Rumusan
Spirulina adalah sejenis alga biru-hijau yang mempunyai pelbagai kebaikan yang luar biasa terhadap kesihatan.
Kebaikan spirulina ini termasuklah boleh membekalkan protein berkualiti tinggi, membantu menurunkan paras kolesterol, mempunyai ciri-ciri antioksidan dan antiradang, berpotensi mencegah kanser dan lain-lain lagi.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Seaweed, spirulina, dried.
- Romay, C. h. et al. (2003). C-phycocyanin: a biliprotein with antioxidant, anti-inflammatory and neuroprotective effects. Current protein & peptide science.
- Parikh, P. et al. (2001). Role of Spirulina in the Control of Glycemia and Lipidemia in Type 2 Diabetes Mellitus. Journal of medicinal food.
- Mazokopakis, E. E. et al. (2014). The hypolipidaemic effects of Spirulina (Arthrospira platensis) supplementation in a Cretan population: a prospective study. Journal of the science of food and agriculture.
- Mathew, B. et al. (1995). Evaluation of chemoprevention of oral cancer with Spirulina fusiformis. Nutrition and cancer.
- Torres-Duran, P. V. et al. (2007). Antihyperlipemic and antihypertensive effects of Spirulina maxima in an open sample of Mexican population: a preliminary report. Lipids in health and disease.
- Cingi, C. et al. (2008). The effects of spirulina on allergic rhinitis. European archives of oto-rhino-laryngology.
- Selmi, C. et al. (2011). The effects of Spirulina on anemia and immune function in senior citizens. Cellular & molecular immunology.
- Kalafati, M. et al. (2010). Ergogenic and antioxidant effects of spirulina supplementation in humans. Medicine and science in sports and exercise.
- Hatami, E. et al. (2021). The effect of spirulina on type 2 diabetes: a systematic review and meta-analysis. Journal of diabetes and metabolic disorders.
- Khan, Z. et al. (2005). Nutritional and Therapeutic Potential of Spirulina. Current pharmaceutical biotechnology.
- Trotta, T. et al. (2022). Beneficial Effects of Spirulina Consumption on Brain Health. Nutrients.