Sekiranya anda ingin mengatasi masalah kekurangan Hb atau hemoglobin secara semula jadi, pemilihan makanan yang betul adalah jawapannya. Terdapat sesetengah makanan yang boleh menaikkan Hb (hemoglobin) dan mengekalkannya pada paras yang normal.
Artikel ini menyenaraikan makanan apa yang patut anda pilih untuk menaikkan Hb anda dan makanan yang perlu dikurangkan pengambilannya.
Hemoglobin (Hb) adalah protein yang dijumpai dalam sel-sel darah merah. Sel-sel ini bertanggungjawab untuk membawa oksigen keseluruh badan manusia.
Tambahan daripada itu juga, hemoglobin turut membawa karbon dioksida keluar daripada sel-sel dan dibawa ke dalam paru-paru. Karbon dioksida kemudiannya dihembuskan semasa seseorang itu bernafas.
Kekurangan hemoglobin juga bermakna badan anda akan mengalami kesukaran untuk melaksanakan fungsi-fungsi tersebut.
Untuk mengatasi masalah kekurangan hemoglobin (Hb) melalui makanan, anda haruslah memilih makanan-makanan berikut:
1. Makanan yang Tinggi Zat Besi
Makanan yang tinggi zat besi (ferum) boleh membantu menaikkan Hb dalam darah anda.
Hal ini demikian kerana, zat besi boleh meningkatkan penghasilan Hb dan turut membantu membentuk lebih banyak sel-sel darah merah.
Makanan yang tinggi dengan zat besi adalah:
- Daging merah
- Hati lembu
- Ayam
- Telur
- Kacang kuda
- Pucuk paku
- Peria
- Bayam
- Ikan bilis
- Kerang
2. Makanan yang Tinggi Folat
Folat atau vitamin B9 adalah vitamin yang diperlukan oleh badan untuk menghasilkan heme iaitu sebahagian daripada sel-sel darah merah yang mengandungi hemoglobin (Hb).
Tanpa folat, sel-sel darah merah tidak dapat matang. Keadaan ini boleh membawa kepada anemia kekurangan folat dan paras hemoglobin yang rendah.
Makanan yang tinggi dengan folat adalah:
- Beras perang
- Beras basmathi
- Buah betik
- Buah ciku
- Buah kiwi
- Buah oren
- Susu soya
- Daun kesum
- Buah labu
3. Makanan yang Tinggi Vitamin C
Sekiranya anda memakan makanan yang tinggi dengan zat besi atau mengambil suplemen zat besi, adalah terbaik sekiranya anda dapat memakan makanan yang tinggi vitamin C pada masa yang sama.
Vitamin C boleh membantu meningkatkan penyerapan zat besi di dalam badan. Sebagai contoh yang mudah, anda boleh memerah limau atau lemon di atas daging merah yang dimasak.
Makanan yang tinggi vitamin C adalah:
- Buah jambu batu
- Buah longan
- Buah betik
- Buah limau
- Limau mandarin
- Pucuk ubi kayu
- Cekur manis
- Kailan
- Sawi
- Pucuk ubi keledek
- Bayam
- Kangkung
- Pucuk gajus
- Daun kadok
- Ulam raja
- Maman
- Brokoli
4. Suplemen Zat Besi
Sekiranya anda perlu menaikkan paras hemoglobin (Hb) dengan banyak, anda mungkin perlu mengambil suplemen zat besi.
Walau bagaimanapun, zat besi yang terlalu banyak atau berlebihan juga boleh menyebabkan “hemochromatosis“. Keadaan ini boleh menyebabkan penyakit hati seperti sirosis atau menyebabkan kesan sampingan seperti loya, muntah atau sembelit.
Anda disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor atau ahli profesional kesihatan untuk mengetahui dos yang selamat bagi anda dan elakkan mengambil lebih daripada 25 miligram zat besi (ferum) dalam satu-satu masa.
Makanan yang Perlu Dielakkan Untuk Ibu Hamil yang Mempunyai Hb Rendah
Selain itu, terdapat juga sesetengah makanan yang boleh menjejaskan penyerapan zat besi dalam badan anda. Oleh itu, anda perlu mengurangkan makanan-makanan tersebut.
Kalsium daripada makanan atau suplemen boleh menyebabkan badan anda sukar untuk menyerap zat besi.
Walau bagaimanapun, kalsium masih penting untuk fungsi-fungsi badan yang lain. Oleh itu, anda tidak harus menolak terus mineral ini daripada diet harian anda.
Sebaliknya, anda mungkin boleh berhenti mengambil suplemen kalsium. Tetapi terus mendapatkan mineral kalsium melalui makanan harian.
Langkah-langkah yang boleh dilakukan adalah tidak memakan makanan tinggi kalsium sebelum anda memakan suplemen zat besi.
Makanan yang tinggi kalsium adalah:
- Susu
- Produk tenusu
- Ikan bilis
- Sardin (dalam tin)
- Kacang badam (almond)
- Kacang dhal
- Tauhu
- Susu soya
Di samping itu juga, terdapat sebatian lain iaitu “phystic acid” yang boleh mengurangkan penyerapan zat besi terutamanya jika anda tidak memakan daging.
Meskipun begitu, kesan ini hanya berlaku semasa waktu makan sahaja dan tidak sepanjang hari. Sekiranya anda tidak memakan daging, elakkan memakan makanan yang tinggi dengan phytic acid dengan makanan yang tinggi zat besi.
Antara makanan yang tinggi dengan phytic acid adalah:
- Kacang Brazil
- Kacang walnut
- Biji bijan
Harus diingat, kalsium dan phytic acid adalah nutrien yang masih diperlukan badan untuk fungsi-fungsi lain. Oleh itu, anda tidak seharusnya menyingkirkan nutrien ini daripada pemakanan (diet) anda.
Rujukan
- Abbaspour, N. et al. (2014). Review on iron and its importance for human health. Journal of research in medical sciences.
- Lands, R., & Isang, E. (2017). Secondary Hemochromatosis due to Chronic Oral Iron Supplementation. Case reports in hematology.