Kecelaruan Spektrum Autisme atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai Autism spectrum disorder (ASD) adalah kecelaruan perkembangan yang mempengaruhi komunikasi dan tingkah laku.
Kecelaruan ini biasanya terbentuk seawal usia 2 tahun bagi kanak-kanak dan boleh didiagnosis pada sebarang peringkat umur. Istilah spektrum ini merujuk kepada kecelaruan ini mempunyai simptom-simptom dan tahap keterukan yang pelbagai.
Kecelaruan Spektrum Autisme akan menyebabkan masalah dalam interaksi bersama masyarakat, rakan-rakan di sekolah dan juga tempat kerja.
Asasnya, tiada penawar untuk menyembuhkan kecelaruan ini tetapi sekiranya rawatan berterusan diberikan, ia dapat menambah baik kualiti hidup penghidapnya.
Simptom-simptom Kecelaruan Spektrum Autisme
Penghidap ASD menghadapi masalah dengan komunikasi, interaksi sosial, minat yang terhdan dan kelakuan yang berulang-ulang.
Bagi sesetengah kanak-kanak, tanda-tanda awal boleh dilihat pada awal usia. Contohnya seperti berkurang temuan mata (eye contact), kurang bertindak balas terhadap panggilan namanya atau sikap tidak peduli terhadap pengasuh.
Ada juga kanak-kanak yang pada awal usiannya adalah normal tetapi secara tiba-tiba bertukar menjadi agresif atau hilang skil percakapan yang telah diperolehinya.
Sesetengah kanak-kanak dengan autisme ini mempunyai kesukaran untuk belajar dan mempunyai kepintaran yang rendah hingga normal.
Manakala, ada sesetengah kanak-kanak autisme ini mempunyai kepintaran normal hingga tinggi. Mereka cepat belajar cuma mereka sukar untuk berkomunikasi dan mengaplikasikannya dalam kehidupan harian mereka.
Berikut adalah simptom-simptom yang biasa dilihat bagi penghidap Kecelaruan Spektrum Autisme:
Interaksi dan Komunikasi Sosial
- Temuan mata yang sedikit atau tidak konsisten.
- Cenderung untuk tidak memandang atau mendengar orang lain.
- Sukar atau lambat untuk bertindak balas terhadap panggilan namanya.
- Mempunyai ekspresi muka, pergerakan dan isyarat yang tidak sama dengan apa yang dikatakan.
- Mempunyai nada suara yang tidak lazim didengar dan mungkin menggunakan suara nyanyian atau suara seperti robot.
- Tidak berminat untuk dipeluk atau dipegang. Lebih suka bermain sendirian dan berada dalam dunianya sendiri.
- Sukar untuk memahami soalan mudah.
- Tidak boleh memulakan perbualan atau kekal dengannya.
Kelakuan berulang-ulang:
- Mengulangi perkataan atau ayat.
- Mempunyai minat yang kuat terhadap topik tertentu seperti nombor, perincian atau fakta.
- Terlalu fokus terhadap objek yang bergerak atau bahagian objek.
- Mudah kecewa apabila terdapat sedikit perubahan pada rutin mereka.
- Kurang atau terlebih sensitif terhadap cahaya, bunyi, pakaian atau suhu.
- Melakukan aktiviti yang boleh mencederakan diri seperti menghantukkan kepala atau mengigit.
Disebalik kekurangan yang dihadapi, penghidap ASD juga mempunyai kelebihan. Contohnya:
- Cemerlang dalam matematik, sains,seni dan muzik.
- Mampu belajar sesuatu perkara secara terperinci dan mengingati maklumat pada jangka masa yang lama.
- Menjadi pelajar yang kuat dari segi pendengaran dan visual.
Punca dan Faktor Risiko
Punca sebenar Kecelaruan Spektrum Autisme tidak diketahui tetapi pengkaji percaya beberapa faktor risiko yang boleh menyebabkan penyakit ini. Antaranya ialah:
- Mempunyai ahli keluarga yang menghidap ASD.
- Mempunyai ibu bapa yang tua semasa dilahirkan.
- Mempunyai kondisi genetik tertentu seperti sindrom Down, sindrom X rapuh dan sindrom Rett.
- Lahir dengan berat lahir yang amat rendah.
Rawatan dan Terapi
Walaupun tiada penawar untuk ASD ini, tetapi matlamat rawatan adalah untuk memaksimumkan kemampuan penghidap ASD dengan mengurangkan simptom-simptom dan menyokong perkembangan serta pembelajaran.
Antara pilihan rawatan adalah:
1. Terapi komunikasi dan kelakuan
Terapi jenis ini menangani kesukaran yang dialami oleh penghidap ASD ini seperti kesukaran sosial, bahasa dan tingkah laku.
2. Terapi pendidikan
Program pendidikan yang distruktur dengan baik dan dirumus khas untuk kanak-kanak ASD biasanya boleh menambah baik skil sosial, komunikasi dan tingkah laku kanak-kanak ASD ini. Program ini biasanya disertai pakar-pakar bagi penyakit ASD ini.
3. Terapi keluarga
Terapi ini melibatkan ibu bapa dan ahli keluarga. Mereka diajar cara untuk bermain dan berinteraksi dengan anak-anak autisme mereka. Kaedah ini dapat meningkatkan skil interaksi sosial, komunikasi dan skil kehidupan harian kepada kanak-kanak tersebut.
4. Ubat-ubatan
Ubat-ubatan hanya digunakan untuk mengawal beberapa simptom yang melibatkan kanak-kanak tersebut menjadi hiperaktif, masalah kelakuan yang teruk, agresif, kemurungan atau keresahan.
Rujukan
- National Institute of Mental Health. (2018). Autism Spectrum Disorder. NIMH [diakses pada 10 September 2020].
- Mayo Cinic Staff. (2018). Autism spectrum disorder. MayoClinic. [diakses pada 10 September 2020].