Kemurungan atau kecelaruan episod kemurungan major atau kemurungan klinikal adalah kecelaruan mental yang biasa berlaku. Menurut WHO, terdapat lebih 264 juta orang di semua peringkat umur di seluruh dunia mengalami kemurungan.
Kemurungan atau depresi dikategorikan sebagai kecelaruan emosi yang melibatkan rasa sedih, putus harapan dan kemarahan.
Kemurungan biasanya akan memberi kesan kepada aktiviti harian, prestasi kerja dan perhubungan bagi penghidapnya. Malah, ia turut memberi kesan secara negatif terhadap bagaimana cara anda rasa, berfikir dan bertindak.
Seseorang yang mempunyai penyakit atau masalah kesihatan juga akan mendapat kesan yang lebih teruk sekiranya mengalami kemurungan. Antara masalah kesihatan yang mudah terkesan adalah:
- Asma
- Kanser
- Diabetes
- Obesiti
- Penyakit kardiovaskular
- Artritis
Adakah semua kesedihan adalah kemurungan? Tidak. Adalah normal untuk seseorang itu kadangkalanya berasa sedih atau kecewa dalam kehidupan mereka.
Untuk seseorang itu didiagnosis sebagai menghidap masalah kemurungan adalah mereka menunjukkan simptom-simptom kemurungan lebih dari 2 minggu.
Jenis-jenis
Berdasarkan simptom-simptom yang dialami, episod kemurungan boleh dikelaskan kepada biasa, sederhana dan teruk. Terdapat sedikit perbezaan antara kemurungan yang berlaku, ia mungkin disebabkan oleh faktor yang berbeza.
Contohnya seperti:
- Kecelaruan kemurungan berulang-ulang. Kecelaruan ini melibatkan episod kemurungan yang berulang-ulang.
- Kecelaruan bipolar. Depresi jenis ini selalunya melibatkan dua episod iaitu episod mania dan episod kemurungan.
Gejala-gejala Kemurungan
Anda mungkin mengalami kemurungan sekiranya anda mengalami gejala-gejala berikut hampir setiap hari dan sekurang-kurangnya selama 2 minggu.
- Rasa sedih yang berterusan
- Rasa keresahan dan ‘kosong’
- Rasa putus asa
- Rasa bersalah dan tidak berguna
- Tidak lagi berminat akan aktiviti atau hobi yang biasa dilakukan
- Keletihan atau tidak bermaya
- Sukar untuk tidur atau terlebih tidur
- Perubahan pada selera makan
- Perubahan pada mendadak pada berat badan
- Sukar untuk memberi tumpuan atau membuat keputusan
- Sering lupa
- Selalu berfikir untuk membunuh diri atau cuba untuk membunuh diri
- Sakit kepala, kekejangan atau masalah penghadaman tanpa sebab yang jelas dan tidak pulih walaupun setelah dirawat
- Lambat bertindak balas (bercakap, berfikir dan pergerakan)
Pada asasnya, kanak-kanak dan remaja yang mengalami kemurungan akan mengalami gejala-gejala yang sama seperti orang dewasa. Cuma, terdapat sedikit perbezaan seperti:
Kanak-kanak
- Kesedihan atau kerap menangis
- Mudah marah
- Bimbang atau risau
- Sakit
- Suka berpaut
- Turun berat badan atau tidak cukup berat
- Tidak mahu ke sekolah
- Menjauhi rakan-rakan atau adik-beradik
Remaja
- Kesedihan
- Mudah marah
- Berfikir negatif
- Kehadiran ke sekolah merosot
- Sangat sensitif
- Makan atau tidur terlalu banyak
- Cubaan untuk mencederakan diri sendiri
- Tidak berminat untuk melakukan aktiviti harian yang selalu dilakukan
- Menjauhi aktiviti sosial
Faktor yang Menyumbang Kepada Kemurungan
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kecelaruan mental ini. Kemurungan boleh berpunca daripada interaksi kompleks antara faktor genetik, biologi,psikologi dan persekitaran.
Penyakit ini boleh berlaku di semua peringkat umur termasuklah kanak-kanak, remaja, orang dewasa serta orang tua.
Beberapa keadaan atau peristiwa yang menjadi faktor risiko termasuklah:
- Sejarah keluarga yang pernah mengalami penyakit yang sama
- Trauma dan tekanan
- Masalah kesihatan
- Mengalami satu peristiwa yang besar dalam hidup seperti kehilangan kerja dan kehilangan orang tersayang
- Perubahan hormon dalam badan
Terapi dan Rawatan
Kemurungan boleh dirawat walaupun bagi kes yang teruk. Apa yang penting adalah mendapatkan rawatan seawal mungkin. Jangan biarkan penyakit ini terus menjadi beban dalam hidup anda.
Psikoterapi dan ubat-ubatan boleh digunakan untuk merawat penyakit ini. Sekiranya dua rawatan ini tidak berjaya, terdapat rawatan lain yang boleh dimanfaatkan seperti terapi rangsangan otak dan terapi cahaya.
Rawatan perubatan
Doktor mungkin akan mempreskripsikan ubat-ubat berikut:
- Ubat antidepresi
- Ubat antikeresahan
- Ubat antipsikotik
Psikoterapi
Terapi ini melibatkan terapi perbualan atau percakapan dengan ahli terapi atau kaunselor. Terapi ini juga turut dikenali sebagai terapi psikologi.
Antara jenis-jenis psikoterapi yang boleh merawat penyakit ini termasuklah:
- Terapi kelakuan kognitif
- Terapi interpersonal
- Terapi penyelesaian masalah
Terapi Rangsangan Otak
Sekiranya rawatan lain tidak mampu untuk mengurangkan simptom-simptom depresi, terapi elektrokonvulsif (ECT) boleh dicuba. Terapi ini dikatakan boleh melegakan keadaan depresi yang teruk.
Terapi rangsangan otak yang lain yang boleh digunakan untuk merawat depresi ini termasuklah repetitive transcranial magnetic stimulation (rTMS) dan vagus nerve stimulation (VNS).
Kaedah Alternatif
Beberapa perubahan dalam kehidupan harian penghidap depresi sebenarnya boleh memberi impak yang positif. Antara aktiviti atau perkara yang boleh dilakukan adalah:
- Bersenam. Melakukan aktiviti fizikal selama 30 minit 3 hingga 5 hari seminggu dapat menambah baik emosi seseorang kerana senaman boleh meningkatkan penghasilan hormon endorfin.
- Jauhi bahan terlarang. Jauhi barang terlarang seperti dadah dan arak. Dadah dan arak mungkin melegakan buat sementara waktu, tetapi pada jangka masa panjang bahan-bahan ini akan menyebabkan gejala depresi dan keresahan semakin teruk.
- Jaga kebajikan diri sendiri. Amalkan kehidupan yang sihat seperti mengamalkan pemakanan yang sihat, tidur yang mencukupi, bersenam atau melakukan hobi yang diminati seperti berkebun atau memelihara haiwan peliharaan.
Rujukan
- National Institute of Mental Health. 2018. Depression. https://www.nimh.nih.gov/health/topics/depression/index.shtml [diakses pada 28 Julai 2020].
- WHO. 2020. Depression. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/depression [diakses pada 28 Julai 2020].
- Valencia Higuera & Kimberly Holland. 2020. Everything You Want to Know About Depression. https://www.healthline.com/health/depression [diakses pada 28 Julai 2020].
- Mayo Clinic Staff. 2018. Depression (major depressive disorder). https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/depression/diagnosis-treatment/drc-20356013 [diakses pada 28 Julai 2020].
- Ranna Parekh. 2017. What is Depression? https://www.psychiatry.org/patients-families/depression/what-is-depression [diakses pada 28 Julai 2020].