Kecelaruan bipolar yang sebelum ini dikenali sebagai kemurungan manik adalah kecelaruan mental yang menyebabkan perubahan ketara pada emosi, tenaga, tumpuan, kadar aktiviti dan keupayaan untuk menjalani tugasan harian.
Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar akan menunjukkan pola emosi turun naik yang ekstrem dalam perasaan gembira dan sedih.
Ada masanya mereka akan berasa sangat gembira dan bertenaga dan ada masanya mereka berasa sangat sedih dan rasa tidak berguna. Keadaan ini dikenali sebagai episod manik dan kemurungan.
Manik atau mania adalah bentuk gangguan mental yang dicirikan dengan kelakuan yang tidak terkawal.
Dalam keadaan episod mania, golongan bipolar ini akan berasa gembira yang berlebihan, bertenaga, terlampau teruja dan boleh membawa kepada penyalahgunaan dadah atau delusi.
Jenis Kecelaruan Bipolar
Terdapat 3 jenis kecelaruan bipolar. Ketiga-tiganya melibatkan tahap perubahan emosi, tenaga dan aktiviti.
1. Kecelaruan bipolar I
Kecelaruan jenis ini dicirikan oleh episod manik yang boleh berterusan sehingga seminggu. Episod kemurungan juga turut boleh berlaku yang kebiasaannya boleh berterusan sehingga 2 minggu.
Episod kemurungan yang bercampur dengan episod manik juga boleh berlaku bagi kecelaruan bipolar jenis ini.
2. Kecelaruan bipolar II
Kecelaruan jenis ini dicirikan oleh episod kemurungan dan episod hipomanik. Tetapi tidak sehingga terjadinya episod manik.
Hipomanik adalah keadaan seperti manik tetapi kurang ekstrem atau teruk jika dibandingkan dengan manik.
3. Kecelaruan siklotimik
Kecelaruan jenis ini dicirikan oleh gejala hipomanik dan gejala kemurungan yang berlaku paling kurang 2 tahun. Setahun berlaku ketika remaja dan kanak-kanak. Namun, gejala-gejala ini tidaklah sampai kepada peringkat episod hipomanik dan episod kemurungan.
4. Lain-lain
Terdapat juga mereka yang mengalami gejala-gejala kecelaruan bipolar tetapi tidak padan dengan ketiga-tiga kategori yang dinyatakan di atas.
Terdapat juga kecelaruan bipolar yang disebabkan oleh dadah, arak dan masalah kesihatan seperti penyakit strok, sklerosis dan penyakit Cushing.
Gejala-gejala Kecelaruan Bipolar
Gejala-gejala kecelaruan bipolar boleh dibahagikan kepada manik, hipomanik dan kemurungan.
Gejala-gejala Manik dan Hipomanik
Manik dan hipomanik mempunyai gejala yang sama tetapi berbeza dari segi tahap keseriusannya. Manik atau mania akan menyebabkan masalah yang lebih ketara di tempat kerja, sekolah atau dalam aktiviti sosial.
Manik dan hipomanik mempunyai gejala-gejala berikut:
- Lebih aktif dan bertenaga
- Kegembiraan melampau (abnormal)
- Kurang keperluan untuk tidur
- Banyak bercakap dan bercakap laju
- Penilaian yang teruk
- Nafsu syahwat yang meningkat
- Membuat perancangan yang tidak realistik
- Tidak berselera untuk makan
- Penyalahgunaan dadah dan arak
- Mempunyai tahap keyakinan diri, harga diri dan kepentingan diri yang tinggi
- Mudah berasa jengkel
- Merasakan mereka boleh melakukan banyak perkara dalam satu masa
Gejala-gejala Kemurungan
Episod kemurungan akan memperlihatkan gejala-gejala yang menjejaskan aktiviti harian termasuklah ketika berada di tempat kerja, sekolah atau ketika aktiviti sosial.
Episod kemurungan ini juga akan menjejaskan perhubungan. Episod kemurungan juga didapati berlangsung lebih lama berbanding episod manik.
Episod kemurungan mempunyai gejala-gejala berikut:
- Rasa sedih, putus harapan, kesugulan, ketidakupayaan dan tidak dapat merasai kegembiraan
- Hilang minat terhadap hampir semua aktiviti yang biasa dilakukan
- Penurunan berat badan yang ketara walaupun tidak berdiet
- Selera makan yang meningkat atau berkurang
- Insomnia atau banyak tidur
- Keletihan atau tidak bertenaga
- Tidak dapat memberi tumpuan atau fokus
- Berfikir, merancang atau mencuba untuk membunuh diri
Punca yang Menyebabkan Kecelaruan Bipolar
Walaupun bipolar adalah antara masalah kesihatan yang biasa berlaku, namun para doktor dan pengkaji masih tidak mengetahui dengan jelas penyebab kepada kecelaruan ini.
Beberapa faktor yang mungkin menyumbang kepada terbentuknya kecelaruan ini adalah:
- Genetik. Mereka yang mempunyai ahli keluarga terdekat yang mempunyai kecelaruan ini adalah lebih berisiko mendapat kecelaruan yang sama.
- Otak. Keabnormalan pada struktur atau fungsi otak meningkatkan risiko terkena kecelaruan ini.
- Persekitaran. Persekitaran yang menekan, pengalaman pahit dan penyakit boleh menjadi penyumbang kepada terjadinya bipolar ini.
Terapi dan Rawatan Kecelaruan Bipolar
Rawatan untuk kecelaruan bipolar boleh menyelamatkan mereka yang mengalami masalah ini walaupun pada tahap yang teruk. Gabungan rawatan perubatan dan psikoterapi adalah berkesan.
Kecelaruan bipolar harus dirawat secara berterusan kerana penyakit ini adalah penyakit sepanjang hayat. Episod mania dan kemurungan boleh datang kembali setelah satu jangka masa tertentu.
Rawatan perubatan
Ubat-ubatan yang diperlukan akan dipreskripsi berdasarkan gejala yang dialami. Terdapat beberapa ubat-ubatan yang boleh membantu mengurus dan mengurangkan simptom-simptom kecelaruan ini. Antaranya adalah:
- Penstabil emosi: Ubat jenis ini diperlukan untuk mengawal episod manik atau hipomanik. Contohnya seperti litium (Lithobid) dan divalproex sodium (Depakote).
- Ubat antipsikotik: Ubat jenis ini boleh membantu sekiranya simptom-simptom mania dan kemurungan masih berterusan walaupun telah dirawat dengan ubat lain. Contohnya seperti olanzapine (Zyprexa), risperidone (Risperdal) dan quetiapine (Seroquel).
- Ubat antidepresi: Ubat jenis ini akan dipreskripsi untuk membantu menangani gejala kemurungan.
- Ubat antidepresi-antipsikotik: Ubat ini bertindak sebagai ubat untuk merawat kemurungan dan penstabil emosi. Dikenali sebagai Symbyax.
- Ubat antikeresahan: Ubat benzodiazepines boleh membantu keresahan dan memudahkan untuk tidur.
Psikoterapi
Rawatan melalui kaedah psikoterapi melibatkan perbualan atau perbincangan dengan ahli atau pakar terapi . Terapi ini akan membantu penghidap bipolar ini untuk mengenalpasti dan mengubah punca-punca yang menyebabkan kecelaruan yang berlaku.
Terdapat beberapa jenis terapi yang berguna untuk penyakit ini. Antaranya adalah:
- Terapi tingkahlaku kognitif. Terapi ini akan menumpukan kepada mengenalpasti tanggapan, pemikiran, kepercayaan dan tingkahlaku yang negatif dan menggantikannya dengan yang positif.
- Terapi interpersonal dan ritma sosial. Terapi ini menumpukan untuk pesakit bipolar ini mempunyai rutin harian. Rutin harian seperti waktu tidur, waktu makan dan aktiviti lain dipercayai dapat memberi manfaat kepada penghidap bipolar.
- Pendidikan-psiko. Belajar dan memahami mengenai kecelaruan bipolar membolehkan pesakit atau pasangan memahami keadaan penyakit ini.
- Terapi berfokuskan keluarga. Terapi ini membolehkan ahli keluarga atau orang terdekat turut membantu pesakit untuk kekal dalam program rawatan. Selain itu, terapi ini juga membolehkan ahli keluarga mengenalpasti dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati terdapat tanda-tanda perubahan emosi.
Apa yang anda boleh lakukan?
Menjalani kehidupan harian dengan masalah kesihatan mental seperti kecelaruan bipolar sememangnya mencabar. Tetapi dengan sokongan dan cara yang betul, ia dapat meringankan bebanan yang ditanggung sama ada oleh anda, seorang kawan atau orang yang tersayang.
- Dapatkan rawatan dan kekal dengannya.
- Makan ubat sepertimana yang diarahkan.
- Buat temu janji dengan ahli terapi atau kaunselor dan dapatkan rawatan yang sesuai.
- Lakukan aktiviti berstruktur seperti rutin waktu tidur dan makan.
- Dapatkan bantuan sekiranya sukar untuk kekal dengan rawatan anda.
- Jauhi dadah dan arak.
- Bersabar. Kesembuhan memerlukan masa.
- Belajar untuk kenali tanda-tanda awal kepada perubahan emosi.
Rujukan
- National Institute of Mental Health. 2020. Bipolar disorder. [diakses pada 25 Julai 2020].
- Mayo Clinic Staff. 2018. Bipolar disorder. [diakses pada 25 Julai 2020].
- Hansa D. Bhargava. 2020. A Look at Bipolar Disorder. [diakses pada 27 Julai 2020].
- Tondo, L., Vázquez, G. H., & Baldessarini, R. J. (2017). Depression and Mania in Bipolar Disorder. Current neuropharmacology, 15(3), 353–358.