Pradiabetes ialah keadaan apabila paras gula dalam darah lebih tinggi daripada normal, tetapi belum cukup tinggi untuk dikategorikan sebagai diabetes.
Walaupun sering tidak menyebabkan sebarang gejala yang jelas, pradiabetes merupakan isyarat penting bahawa seseorang mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami diabetes jenis 2 pada masa hadapan.
Berita baiknya, pradiabetes bukan bermakna seseorang pasti akan mendapat diabetes. Perubahan gaya hidup, khususnya pemakanan yang lebih sihat, aktiviti fizikal dan pengurusan berat badan, boleh membantu menurunkan paras gula darah serta mencegah atau melambatkan perkembangan kepada diabetes jenis 2.
Apa itu Pradiabetes?
Dalam keadaan normal, hormon insulin membantu membawa glukosa daripada darah masuk ke dalam sel untuk digunakan sebagai tenaga.
Pada sesetengah individu, badan mula kurang bertindak balas terhadap insulin. Keadaan ini dikenali sebagai rintangan insulin.
Akibatnya, glukosa lebih sukar masuk ke dalam sel dan mula terkumpul dalam darah. Pada peringkat awal, pankreas mungkin menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengimbangi keadaan tersebut.
Lama-kelamaan, mekanisme ini mungkin tidak lagi mencukupi dan paras gula darah meningkat.
Menurut American Diabetes Association (ADA), pradiabetes boleh dikenal pasti melalui:
| Ujian | Julat Bacaan |
|---|---|
| HbA1c | 5.7% hingga 6.4% |
| Gula darah puasa | 5.6 hingga 6.9 mmol/L |
| Toleransi glukosa oral (2 jam) | 7.8 hingga 11.0 mmol/L |
Apakah Tanda-tanda Pradiabetes?
Salah satu perkara yang menyebabkan pradiabetes sukar dikesan ialah kebanyakan orang tidak mengalami gejala yang jelas.
Malah, seseorang mungkin hanya mengetahui dirinya mengalami pradiabetes selepas menjalani pemeriksaan darah.
Sesetengah individu mungkin mengalami tanda seperti mudah letih, kerap berasa lapar atau perubahan berat badan, tetapi tanda-tanda ini tidak khusus kepada pradiabetes.
Oleh itu, pemeriksaan paras gula darah merupakan cara yang lebih tepat untuk mengenal pasti keadaan ini.
Siapa yang Berisiko Mengalami Pradiabetes?
Risiko pradiabetes meningkat apabila seseorang mempunyai faktor tertentu, termasuk berat badan berlebihan atau obesiti, khususnya lemak berlebihan di bahagian abdomen.
Tekanan darah tinggi, paras kolesterol atau trigliserida yang tidak normal serta sejarah keluarga diabetes juga boleh meningkatkan risiko.
Kurang melakukan aktiviti fizikal dan mengamalkan corak pemakanan yang tinggi kalori, gula tambahan serta makanan ultra-proses turut dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi.
Wanita yang pernah mengalami diabetes gestasi juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami diabetes jenis 2 pada masa hadapan.
Oleh sebab pradiabetes sering tidak mempunyai gejala, individu yang mempunyai faktor risiko wajar berbincang dengan doktor mengenai keperluan menjalani pemeriksaan gula dalam darah.
Bagaimana Pradiabetes Didiagnosis?
Beberapa ujian darah boleh digunakan untuk mengesan pradiabetes.
Ujian HbA1c mengukur purata paras gula dalam darah sepanjang kira-kira dua hingga tiga bulan sebelumnya. Bacaan 5.7% hingga 6.4% berada dalam julat pradiabetes. Kelebihan ujian ini ialah seseorang biasanya tidak perlu berpuasa sebelum mengambil darah.
Ujian gula darah puasa pula mengukur paras glukosa selepas seseorang berpuasa, biasanya semalaman. Bacaan 5.6 hingga 6.9 mmol/L berada dalam julat pradiabetes berdasarkan kriteria ADA.
Doktor juga boleh menggunakan ujian toleransi glukosa oral (OGTT). Dalam ujian ini, paras gula diukur selepas berpuasa dan kemudian selepas seseorang meminum larutan glukosa. Bacaan dua jam antara 7.8 hingga 11.0 mmol/L menunjukkan toleransi glukosa terganggu, iaitu salah satu bentuk pradiabetes.
Keputusan ujian perlu dinilai oleh doktor kerana keadaan tertentu, termasuk sesetengah penyakit dan masalah darah, boleh mempengaruhi ketepatan HbA1c.
Adakah Pradiabetes Boleh Kembali Normal?
Ya. Pradiabetes boleh diperbaiki, terutama apabila perubahan gaya hidup dilakukan pada peringkat awal.
Salah satu langkah paling penting ialah menurunkan berat badan jika seseorang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.
Garis panduan ADA 2026 menyarankan sasaran penurunan berat badan sekurang-kurangnya 5–7% daripada berat badan asal bagi individu berisiko tinggi yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.
Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai berat 80 kg boleh menyasarkan penurunan sekitar 4 hingga 5.6 kg sebagai langkah awal.
Namun, seseorang tidak perlu menunggu sehingga mencapai berat badan ideal sebelum mula melakukan perubahan. Penurunan berat badan yang sederhana dan berkekalan sudah boleh memberikan manfaat metabolik.
Apakah Pemakanan yang Sesuai?
Tiada satu jenis diet yang wajib diamalkan oleh semua individu dengan pradiabetes. Corak pemakanan perlu disesuaikan dengan keperluan, budaya dan keadaan kesihatan seseorang.
Secara umum, lebihkan sayur-sayuran, buah-buahan dalam jumlah bersesuaian, kekacang, bijirin penuh, protein tanpa lemak, kekacang dan bijian.
Pada masa yang sama, kurangkan minuman bergula, makanan manis, bijirin halus, makanan ultraproses serta pengambilan daging merah yang berlebihan.
Bagi masyarakat Malaysia, langkah praktikal termasuk mengurangkan minuman seperti teh tarik, kopi atau minuman berperisa yang ditambah gula, mengehadkan nasi atau mi dalam saiz hidangan yang besar dan menambah sayur serta sumber protein dalam hidangan.
Berapa Banyak Senaman Diperlukan?
Aktiviti fizikal membantu meningkatkan sensitiviti insulin dan penggunaan glukosa oleh otot.
Sasaran umum yang disarankan ialah sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana seminggu, seperti berjalan pantas.
Aktiviti ini boleh dibahagikan kepada beberapa sesi sepanjang minggu. Latihan kekuatan juga boleh dimasukkan dalam rutin kecergasan.
Selain senaman khusus, mengurangkan tempoh duduk terlalu lama dan lebih banyak bergerak sepanjang hari juga merupakan langkah yang baik.
Adakah Pradiabetes Akan Menjadi Diabetes?
Tidak semestinya. Namun, pradiabetes meningkatkan risiko untuk mengalami diabetes jenis 2 serta beberapa masalah kardiometabolik lain.
Kajian Diabetes Prevention Program menunjukkan bahawa intervensi gaya hidup yang intensif dapat mengurangkan risiko diabetes jenis 2 dengan ketara dalam individu berisiko tinggi.
Oleh itu, diagnosis pradiabetes sepatutnya dilihat sebagai peluang untuk bertindak lebih awal, bukannya sebagai hukuman bahawa diabetes pasti akan berlaku.
Kesimpulan
Pradiabetes ialah keadaan gula darah yang lebih tinggi daripada normal tetapi belum mencapai tahap diabetes.
Oleh demikian kerana ia lazimnya tidak menyebabkan gejala, pemeriksaan gula darah penting bagi individu yang mempunyai faktor risiko.
Jika anda didiagnosis dengan pradiabetes, jangan panik. Perubahan gaya hidup seperti menurunkan berat badan jika berlebihan, mengamalkan pemakanan seimbang dan melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal seminggu boleh membantu mencegah atau melambatkan diabetes jenis 2.
Pemeriksaan susulan juga penting untuk memantau perubahan paras gula darah dari semasa ke semasa.
Rujukan
- American Diabetes Association Professional Practice Committee for Diabetes* (2026). 2. Diagnosis and Classification of Diabetes: Standards of Care in Diabetes—2026. Diabetes Care.
- American Diabetes Association Professional Practice Committee for Diabetes* (2026). 3. Prevention or Delay of Diabetes and Associated Comorbidities: Standards of Care in Diabetes-2026. Diabetes care.
- American Diabetes Association Professional Practice Committee for Diabetes* (2026). 5. Facilitating Positive Health Behaviors and Well-being to Improve Health Outcomes: Standards of Care in Diabetes—2026. Diabetes Care .
- World Health Organization (WHO).(2024). Diabetes.





