Apa itu Hipertensi atau Tekanan Darah Tinggi?
Hipertensi atau tekanan darah tinggi adalah satu keadaan apabila tekanan darah anda sentiasa tinggi dari keadaan biasa.
Tekanan darah ditentukan oleh jumlah darah yang dipam jantung dan jumlah rintangan kepada aliran darah dalam arteri anda.
Semakin banyak darah yang dipam jantung dan semakin sempit arteri anda, semakin tinggi tekanan darah anda.
Tekanan darah dibaca dalam unit milimeter merkuri (mm Hg). Ia mempunyai dua nombor.
- Tekanan sistolik (nombor di atas): Nombor pertama, atau atas, mengukur tekanan dalam arteri anda apabila jantung anda berdegup.
- Tekanan diastolik (nombor di bawah): Nombor kedua, atau bawah, mengukur tekanan dalam arteri anda antara degupan.
Anda boleh mengalami tekanan darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa sebarang simptom-simptom.
Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal meningkatkan risiko kesihatan yang serius, termasuk serangan jantung dan strok.
Bacaan Tekanan Darah
| Kategori | Tekanan Darah Sistolik (mmHg) | Tekanan Darah Diastolik (mmHg) |
|---|---|---|
| Optima | <120 | <80 |
| Normal | <130 | <85 |
| Tinggi Normal | 130-139 | 85-89 |
| Hipertensi Tahap 1 (ringan) | 140-159 | 90-99 |
| Hipertensi Tahap 2 (sederhana) | >160 | >100 |
| Hipertensi Tahap 3 (kecemasan) | >180 | >120 |
Tanda atau Simptom-simptom Hipertensi
Kebanyakan orang yang mempunyai tekanan darah tinggi tidak mempunyai tanda atau simptom-simptom, walaupun bacaan tekanan darah mencapai tahap yang berbahaya.
Segelintir orang yang mengalami tekanan darah tinggi mungkin mengalami sakit kepala, sesak nafas atau perdarahan hidung, tetapi tanda dan simptom-simptom ini tidak khusus dan biasanya tidak berlaku sehingga tekanan darah tinggi mencapai tahap yang teruk atau mengancam nyawa.
Punca
Terdapat 2 jenis tekanan darah tinggi iaitu:
1. Hipertensi Primer
Bagi kebanyakan orang dewasa, penuaan dan tabiat tidak sihat seperti tidak cukup bersenam adalah punca yang menyebabkan tekanan darah tinggi primer.
Tekanan darah tinggi jenis ini, cenderung berkembang secara beransur-ansur selama bertahun-tahun.
2. Hipertensi Sekunder
Sesetengah orang mengalami tekanan darah tinggi yang disebabkan oleh masalah kesihatan lain. Jenis tekanan darah tinggi ini, dipanggil hipertensi sekunder, cenderung muncul secara tiba-tiba dan menyebabkan tekanan darah yang lebih tinggi daripada hipertensi primer.
Antara masalah kesihatan yang boleh menyebabkan hipertensi sekunder adalah:
- Penyakit buah pinggang (ginjal)
- Masalah tiroid
- Apnea tidur obstruktif
- Kecacatan dalam saluran darah semasa sejak lahir
- Ubat-ubatan tertentu seperti pil perancang, dekongestan atau ubat pelega kesakitan.
- Penyalahgunaan dadah
Faktor Risiko
Terdapat juga beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada tekanan darah tinggi. Contohnya seperti:
- Usia: Peningkatan usia.
- Keturunan: Tekanan darah tinggi cenderung untuk berlaku dalam keluarga.
- Mempunyai berat badan berlebihan atau obes: Lebih berat badan anda, lebih banyak darah yang perlukan untuk membekalkan oksigen dan nutrien ke tisu badan anda.
- Tidak aktif: Orang yang tidak aktif cenderung mempunyai kadar denyutan jantung yang lebih tinggi.
- Merokok: Merokok boleh meningkatkan tekanan darah anda buat sementara waktu. Bahan kimia dalam tembakau juga boleh merosakkan lapisan dinding arteri anda.
- Pemakanan yang tinggi garam (natrium): Terlalu banyak natrium dalam pemakanan boleh menyebabkan badan anda mengekalkan cecair, yang meningkatkan tekanan darah.
- Pemakanan yang rendah dengan kalium (potassium): Kalium membantu mengimbangi jumlah natrium dalam sel-sel anda. Keseimbangan kalium yang betul adalah penting untuk kesihatan jantung yang baik.
- Minum alkohol: Alkohol boleh merosakkan jantung.
- Tekanan (stres): Tahap tekanan yang tinggi boleh menyebabkan peningkatan sementara terhadap tekanan darah.
Rawatan
Mengubah gaya hidup anda boleh membantu mengawal dan menguruskan tekanan darah tinggi. Doktor mungkin mengesyorkan agar anda membuat perubahan gaya hidup termasuk:
- Makan makanan yang menyihatkan dan kurang dengan garam
- Melakukan aktiviti fizikal yang kerap
- Mengekalkan berat badan yang sihat atau menurunkan berat badan jika anda mempunyai berat badan berlebihan atau obes
- Jauhi daripada meminum alkohol
Sekiranya perubahan gaya hidup tidak mencukupi, doktor mungkin akan menyarankan ubat-ubatan untuk merendahkan tekanan darah anda.
Jenis ubat yang dipreskripsi oleh doktor untuk tekanan darah tinggi bergantung pada bacaan tekanan darah dan kesihatan keseluruhan anda.
Antara ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi termasuklah:
- Diuretik
- Angiotensin-converting enzyme (ACE) inhibitors seperti lisinopril (Prinivil, Zestril) dan benazepril (Lotensin)
- Angiotensin II receptor blockers
- Calcium channel blockers seperti amlodipine (Norvasc) dan diltiazem (Cardizem, Tiazac)
Komplikasi
Tekanan darah yang tinggi akan mengakibatkan bebanan kepada organ-organ dalam badan dan boleh menyebabkan kerosakan. Antara komplikasi akibat penyakit ini adalah:
- Serangan strok
- Penyakit jantung
- Perdarahan dan kerosakan pada mata
- Kegagalan fungsi buah pinggang
- Penyakit vaskular periferi
Diet DASH: Pemakanan untuk Mengawal Tekanan Darah
Diet DASH (Dietary Approaches to Stop Hypertension) ialah pelan pemakanan yang dibangunkan untuk membantu menurunkan dan mengawal hipertensi secara semula jadi.
Diet ini turut disokong oleh pelbagai kajian yang menunjukkan manfaatnya terhadap kesihatan jantung, pengurangan risiko strok, diabetes jenis 2, serta membantu mengekalkan berat badan yang sihat.
Prinsip utama diet DASH ialah meningkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan nutrien seperti kalium, magnesium, kalsium, serat dan protein, di samping mengurangkan pengambilan natrium (garam), lemak tepu, gula tambahan dan makanan yang diproses.
Diet ini menggalakkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, kekacang, produk tenusu rendah lemak, ikan, ayam tanpa kulit dan sumber protein tanpa lemak.
Pada masa yang sama, pengambilan daging merah, makanan bergoreng, minuman bergula dan makanan segera perlu dihadkan.
Bagi kebanyakan orang dewasa, diet DASH turut menekankan pengurangan pengambilan natrium kepada sekitar 2,300 mg sehari, manakala individu yang mempunyai tekanan darah tinggi mungkin mendapat manfaat dengan mengehadkannya kepada sekitar 1,500 mg sehari mengikut nasihat doktor atau pakar diet.
Selain itu, penggunaan herba dan rempah ratus sebagai pengganti garam dapat membantu meningkatkan rasa makanan tanpa menambah kandungan natrium.
Diet DASH bukanlah diet yang bersifat sementara, tetapi merupakan corak pemakanan sihat yang boleh diamalkan dalam jangka panjang.
Apabila digabungkan dengan aktiviti fizikal yang mencukupi, kawalan berat badan, tidur yang berkualiti dan tidak merokok, diet ini mampu menyumbang kepada kesihatan kardiovaskular yang lebih baik.
Senaman yang Sesuai untuk Hipertensi
Aktiviti fizikal secara berkala merupakan salah satu kaedah yang berkesan untuk membantu mengawal tekanan darah tinggi (hipertensi).
Senaman dapat meningkatkan kecekapan fungsi jantung, melancarkan peredaran darah dan mengurangkan tekanan pada saluran darah.
Selain itu, senaman juga membantu mengekalkan berat badan yang sihat, mengurangkan stres serta mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok.
Bagi individu yang menghidap hipertensi, senaman aerobik berintensiti sederhana adalah pilihan terbaik.
Contohnya:
- Berjalan pantas
- Berbasikal
- Berenang
- Berjoging ringan
- Menari.
Kebanyakan orang dewasa disarankan melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti aerobik berintensiti sederhana setiap minggu atau kira-kira 30 minit sehari selama lima hari seminggu.
Latihan kekuatan menggunakan pemberat ringan atau jalur rintangan juga boleh dilakukan dua hingga tiga kali seminggu untuk meningkatkan kekuatan otot dan menyokong kesihatan keseluruhan.
Aktiviti seperti yoga dan tai chi turut memberi manfaat kerana dapat membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan keseimbangan.
Sebelum memulakan rutin senaman, individu yang mempunyai tekanan darah tinggi yang tidak terkawal atau penyakit jantung perlu mendapatkan nasihat doktor.
Mulakan senaman secara beransur-ansur, lakukan pemanasan sebelum bersenam dan penyejukan selepas tamat aktiviti.
Elakkan senaman yang terlalu berat secara mengejut atau menahan nafas ketika mengangkat beban kerana ia boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah buat sementara waktu.
Dengan amalan senaman yang konsisten dan gaya hidup sihat, tekanan darah dapat dikawal dengan lebih baik.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). High blood pressure (hypertension). MayoClinic.
- Cleveland Clinic medical professional. (2021). High Blood Pressure (Hypertension). Cleveland Clinic





