Kangkung pernah popular suatu ketika dahulu kerana dipolitikkan dan dikaitkan dengan harga yang murah. Tetapi ramai sebenarnya tidak mengetahui sebenarnya sayur kangkung ini mempunyai khasiat tertentu yang sangat bermanfaat untuk mereka yang memakannya.
Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai khasiat kangkung untuk kesihatan berdasarkan sokongan kajian.
Kangkung ialah sayur berdaun hijau yang boleh dijumpai di negara-negara Asia Tenggara, India, Ceylon, Afrika dan Australia. Kangkung atau nama saintifiknya Ipomoea aquatica atau Ipomea reptans adalah tumbuhan daripada keluarga Convolvulaceae iaitu keluarga yang sama dengan pokok bunga seri pagi dan ubi keledek.

Secara tradisionalnya, kangkung digunakan untuk mengurangkan keradangan, digunakan untuk merawat demam, jaundis, bronkitis, gangguan hati dan sakit hempedu.
Berikut adalah khasiat-khasiat kangkung untuk kesihatan yang turut disokong oleh beberapa kajian.
1. Kaya dengan Pelbagai Nutrien
Seperti kebanyakan sayur lain, sayur kangkung turut mengandungi pelbagai nutrien yang terdiri daripada mineral dan vitamin yang bermanfaat untuk kesihatan.
Bagi 100 gram kangkung mentah, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 19 kcal
- Protein: 2.6 gram
- Karbohidrat: 3.1 gram
- Serat: 2.1 gram
- Kalsium: 77 miligram
- Zat besi: 1.7 miligram
- Magnesium: 71 miligram
- Fosforus: 39 miligram
- Kalium: 312 miligram
- Natrium: 113miligram
- Zink: 0.18 miligram
- Mangan: 0.16 miligram
- Selenium: 0.9 mikrogram
- Vitamin C: 55 miligram
- Folat: 57 mikrogram
- Vitamin A: 315 mikrogram
Kangkung juga turut mengandungi sedikit mineral tembaga dan kumpulan vitamin B seperti vitamin B1, B2, B3, B5 dan B6.
2. Boleh Melindungi Sel-sel Badan
Kangkung juga berkhasiat untuk melindungi sel-sel badan manusia daripada kerosakan akibat daripada radikal bebas. Radikal bebas adalah sebatian yang terbentuk apabila badan kita menukar makanan yang dimakan kepada tenaga.
Khasiat ini disumbang oleh kandungan antioksidan seperti vitamin C dan vitamin A. Vitamin C mempunyai banyak peranan di dalam badan, antaranya adalah bertindak sebagai antioksidan, membantu menghasilkan kolagen, membantu meningkatkan penyerapan zat besi dan menguatkan sistem imun.
Vitamin A turut mempunyai peranan yang lain seperti untuk penglihatan, sistem imun, reproduktif dan fungsi organ.
3. Boleh Mencegah daripada Keracunan Toksik
Khasiat kangkung turut boleh membantu mencegah daripada keracunan toksik bagi sesiapa yang memakan sayur ini.
Khasiat ini boleh dibuktikan dengan beberapa kajian. Contohnya, dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Journal PLoS One melaporkan bahawa ekstrak kangkung boleh melindungi organ-organ dalaman daripada ketoksikan plumbum melalui perlindungan terhadap tekanan oksidatif dan penyingkiran plumbum. [2]
Terdapat juga kajian yang mendapati kangkung berkhasiat untuk melindungi pemakannya daripada ketoksikan arsenik. Kajian ini mendapati ekstrak kangkung boleh mengurangkan radikal bebas yang dihasilkan oleh keracunan arsenik. [3]
Kajian terhadap haiwan turut mendapati ekstrak kangkung boleh mengurangkan kecederaan hati akibat daripada penggunaan ubat (drug) kemoterapi. Khasiat ini didapati disumbang oleh kandungan antioksidan di dalam kangkung tersebut. [4]
4. Baik untuk Pesakit Kencing Manis
Kangkung juga didapati mempunyai potensi yang baik untuk pesakit kencing manis (diabetes) kerana mempunyai ciri-ciri antidiabetes.
Kajian tabung uji terdapat ekstrak kangkung mempunyai kesan yang mujarab sebagai agen antidiabetes. [5]
Ciri-ciri antidiabetes kangkung juga dapat dilihat dalam satu kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak daun kangkung berkesan seperti mana ubat tolbutamide dalam membantu mengurangkan paras gula darah. [6]
Tambahan lagi, terdapat juga kajian lain yang melaporkan ciri-ciri antidiabetes kangkung terhadap haiwan dan manusia. Kajian tersebut melaporkan pengambilan kangkung segar selama seminggu menyebabkan penurunan paras gula darah yang ketara bagi tikus yang menghidap diabetes.
Bagi manusia pula, pemakanan ekstrak kangkung menyebabkan penurunan sebanyak 28% terhadap paras gula darah. [7]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut yang lebih besar dan berkualiti masih diperlukan untuk mengukuhkan lagi hasil kajian ini.
5. Baik untuk Ibu Mengandung
Pemakanan kangkung juga mungkin boleh mendatangkan kebaikan kepada ibu dan kandungannya.
Satu kajian yang dijalankan terhadap tikus yang menghidap penyakit kencing manis (diabetes) mendapati pengambilan serbuk daun kangkung semasa mengandung boleh melindungi ibu dan janin daripada tekanan oksidatif akibat penyakit diabetes tersebut. [8]
Tekanan oksidatif ialah fenomena yang disebabkan ketidakseimbangan antara bilangan radikal bebas dengan antioksidan. Tekanan oksidatif berperanan untuk merosakkan tisu badan bagi penghidap diabetes.
Tambahan daripada itu juga, kandungan folat di dalam sayur kangkung juga turut berkhasiat kepada ibu mengandung bagi mencegah daripada kecacatan tiub saraf.
Risiko atau Kesan Sampingan
Secara umumnya, sayur kangkung adalah selamat dan berkhasiat untuk dimakan.
Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan semasa fasa penanaman atau lokasi sayur ini ditanam.
Terdapat kajian yang mendapati penggunaan air sisa atau tanah yang tinggi dengan kandungan logam berat boleh mempengaruhi kandungan logam berat di dalam sayur kangkung. [9, 10, 11]
Rumusan
Kangkung adalah sayur yang mudah untuk didapati atau diakses oleh kebanyakan masyarakat di negara ini.
Kangkung mengandungi banyak khasiat yang bermanfaat kepada kesihatan manusia. Kangkung mengandungi nutrien-nutrien penting seperti serat, kalsium, zat besi, magnesium, vitamin C dan vitamin A.
Kajian turut mendapati kangkung kaya dengan antioksidan yang boleh melindungi sel-sel badan, boleh mencegah keracunan toksik, berpotensi mengurangkan paras gula darah dan baik untuk kandungan.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Dewanjee, S. et al. (2015). Water Spinach, Ipomoea aquatic (Convolvulaceae), Ameliorates Lead Toxicity by Inhibiting Oxidative Stress and Apoptosis. PloS one.
- Dua, T. K. et al. (2015). Ameliorative effect of water spinach, Ipomea aquatica (Convolvulaceae), against experimentally induced arsenic toxicity. Journal of translational medicine.
- Dewanjee, S. et al. (2017). Edible leaf extract of Ipomoea aquatica Forssk. (Convolvulaceae) attenuates doxorubicin-induced liver injury via inhibiting oxidative impairment, MAPK activation and intrinsic pathway of apoptosis. Food and chemical toxicology.
- Hefny Gad, M. et al. (2021). Cytotoxic, Antioxidant, and Antidiabetic Activities versus UPLC-ESI-QTOF-MS Chemical-Profile Analysis of Ipomoea aquatica Fractions. Planta medica.
- Malalavidhane, S. et al. (2001). An aqueous extract of the green leafy vegetable Ipomoea aquatica is as effective as the oral hypoglycaemic drug tolbutamide in reducing the blood sugar levels of Wistar rats. Phytotherapy research.
- Malalavidhane, T. S. et al. (2003). Oral hypoglycaemic activity of Ipomoea aquatica in streptozotocin-induced, diabetic wistar rats and Type II diabetics. Phytotherapy research.
- Shivananjappa, M. M., & Muralidhara (2013). Dietary supplementation with Ipomoea aquatica (whole leaf powder) attenuates maternal and fetal oxidative stress in streptozotocin-diabetic rats. Journal of diabetes.
- Göthberg, A. et al. (2002). Accumulation of heavy metals in water spinach (Ipomoea aquatica) cultivated in the Bangkok region, Thailand. Environmental toxicology and chemistry.
- Marcussen, H. et al. (2008). Element contents and food safety of water spinach (Ipomoea aquatica Forssk.) cultivated with wastewater in Hanoi, Vietnam. Environmental monitoring and assessment.
- Lam, C. M. et al. (2019). Chemical Forms and Health Risk of Cadmium in Water Spinach Grown in Contaminated Soil with an Increased Level of Phosphorus. International journal of environmental research and public health.