Sebelum mengetahui khasiat buah longan, adalah menarik jika kita ketahui terlebih dahulu sedikit latar belakang buah longan ini.
Longan atau nama saintifiknya Dimocarpus longan adalah tumbuhan berbunga daripada keluarga Sapindaceae iaitu keluarga yang sama dengan buah rambutan dan laici.
Longan banyak diusahakan secara komersial oleh negara-negara seperti Thailand, Vietnam, India, China dan Australia. Longan juga turut diusahakan secara komersial di Malaysia. Menurut data daripada Jabatan Pertanian Malaysia, pada tahun 2019 hasil pengeluaran buah longan dicatatkan sebanyak 1,425 tan metrik.
Longan berasal dari negara China di mana penanamannya mempunyai sejarah yang lama iaitu lebih daripada 2000 tahun.
Khasiat Isi Buah Longan
Isi buah longan mempunyai khasiat yang tersendiri. Malahan, perubatan tradisional Cina menggunakan isi buah longan untuk meningkatkan sistem imun badan, menggalakkan metabolisme darah, melegakan insomnia, mencegah amnesia, melegakan saraf dan lain-lain lagi.
Kajian-kajian moden juga turut mendapati isi buah longan mempunyai khasiat-khasiat tertentu seperti:
1. Mengandungi Zat-zat Penting
Buah longan mengandungi zat-zat tertentu yang mempunyai banyak peranan terhadap kesihatan manusia.
Bagi 100 gram buah longan segar terdapat nutrien-nutrien tersebut: [1]
- Tenaga/Kalori: 60 kcal
- Protein: 1.3 gram
- Lemak: 0.1 gram
- Karbohidrat: 15.1 gram
- Serat: 1.1 gram
- Kalsium: 1 miligram
- Zat besi: 0.1 miligram
- Magnesium: 10 miligram
- Fosforus: 21 miligram
- Kalium: 266 miligram
- Vitamin C: 84 miligram
- Vitamin B1: 0.03 miligram
- Vitamin B2: 0.14 miligram
- Vitamin B3: 0.3 miligram
Profil nutrisi ini menunjukkan bahawa buah longan tinggi dengan vitamin C. 100 gram buah longan boleh membekalkan 120% daripada keperluan vitamin C harian bagi orang dewasa di Malaysia (menurut cadangan pengambilan nutrien).
2. Kaya dengan Antioksidan
Isi buah longan juga kaya dengan antioksidan. Antioksidan adalah sebatian yang memainkan peranan penting kepada kesihatan badan.
Antioksidan boleh melindungi badan daripada radikal bebas. Radikal bebas boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Kajian menunjukkan isi buah longan mengandungi antioksidan seperti: [2]
- Asid klorogenik
- Asid vanilik
- Asid galik
- Epikatekin
- Kaempferol
- Isoquercitrin
3. Menguatkan Sistem Imun
Pemakanan buah longan juga boleh membantu menguatkan sistem imun badan.
Kandungan vitamin C yang tinggi dalam buah ini boleh menyumbang kepada khasiat ini. Kajian menunjukkan vitamin C mempunyai banyak kebaikan terhadap fungsi-fungsi sel sistem imun. [3]
Selain itu, kajian lain juga turut melaporkan bahawa polisakarida (karbohidrat) yang aktif daripada isi buah longan menunjukkan kesan yang kuat dalam mengaktifkan sel-sel imun. [2]
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Buah longan juga berpotensi dalam membantu mencegah kanser.
Kajian awal mendapati isi buah longan dan karbohidrat daripada isi buah longan mempunyai kesan pencegahan atau perencatan terhadap pembiakan sel-sel kanser kanser serviks dan kanser hati. [4]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian lanjutan yang diperlukan untuk melihat potensi buah longan ini.
5. Boleh Membantu Meningkatkan Memori dan Mencegah Amnesia
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian moden juga turut mendapati buah longan boleh membantu meningkatkan memori dan mencegah amnesia (hilang ingatan).
Kajian terhadap haiwan mendapati isi buah longan boleh memperbaiki kecacatan kognitif yang berlaku kepada tikus yang menghidap penyakit Alzheimer. Isi buah longan didapati boleh meningkatkan keupayaan pembelajaran dan memori serta mengurangkan keradangan. [5]
Selain itu, kajian lain turut mendapati ekstrak buah longan boleh meningkatkan pembelajaran dan memori . Khasiat ini boleh membantu mengurangkan risiko kepada kehilangan ingatan atau penyakit Alzheimer. [6]
6. Merawat Insomnia
Perubatan tradisional Cina juga turut menggunakan longan untuk merawat insomnia iaitu keadaan dimana seseorang itu tidak dapat tidur atau sukar untuk tidur.
Satu kajian oleh pengkaji dari Chungbuk National University, Korea Selatan mendapati ekstrak metanol isi buah longan boleh meningkatkan kadar tidur dan masa tidur jika diambil bersama-sama ubat insomnia. Kajian ini juga mendapati ekstrak longan ini tidak mencetuskan tidur tetapi ia menguatkan lagi keupayaan ubat insomnia tersebut. [7]
7. Berpotensi Mencegah Pelesapan Tulang
Pelesapan tulang berlaku apabila kemerosotan (resorpsi) tulang melebihi pertumbuhan tulang yang baru. Keadaan ini akan membawa kepada tulang yang rapuh.
Buah longan juga didapati berkhasiat dalam mencegah pelesapan tulang. Ekstrak buah longan didapati boleh mencegah pelesapan tulang melalui perencatan penceraian osteoklas iaitu sel yang terlibat dalam pelesapan tulang. [8]
Terdapat laporan lain yang menunjukkan bahawa karbohidrat daripada isi buah longan turut berkesan dalam menggalakkan pertumbuhan sel-sel rawan. [9]
Khasiat Biji Buah Longan
Selalunya, biji buah longan ini akan dibuang setelah isinya dimakan. Namun, sebenarnya biji buah longan turut mempunyai khasiat yang tersendiri.
Perubatan tradisional Cina menggunakan biji buah longan untuk merawat hernia, ekzema, jangkitan tungau, luka dan skrofula.
Biji buah longan juga didapati turut kaya dengan antioksidan seperi asid galik, asid elagik dan korilagin.
Antara beberapa khasiat biji buah longan yang dilaporkan dalam kajian moden adalah:
1. Membantu Menyembuhkan Luka
Ekstrak biji buah longan didapati boleh membantu menyembuhkan luka.
Berdasarkan satu kajian terkini yang dijalankan terhadap haiwan mendapati ekstrak polifenol daripada biji buah longan boleh membantu menyembuhkan luka dengan membantu pembentukan salur darah dan kapilari, membantu penghasilan semula tisu kulit serta pemodelan semula tisu yang baru terbentuk. [10]
2. Berpotensi Digunakan untuk Memutihkan Kulit
Di samping itu juga, biji buah longan juga berpotensi digunakan dalam produk kecantikan untuk memutihkan kulit.
Khasiat ini disumbang oleh aktiviti pencegahan tirosinase yang ditunjukkan oleh biji buah longan ini. Tirosinase ialah enzim yang bertanggungjawab terhadap penghasilan melanin iaitu pigmen yang berwarna perang atau hitam pada kulit dan rambut. [11]
Ciri-ciri pencegahan tirosinase ini membuatkan biji buah longan berpotensi untuk dijadikan agen pemutih kulit semula jadi.
3. Berpotensi Mencegah Kanser
Seperti isinya, biji buah longan juga turut menunjukkan potensi mencegah kanser.
Kajian mendapati ekstrak biji buah longan boleh merencatkan pembiakan sel-sel kanser usus, paru-paru, hati, serviks dan payudara. Kajian awal ini menunjukkan potensi besar ekstrak biji buah longan dalam pencegahan dan perawatan kanser. [12]
Kajian-kajian lanjut termasuklah kajian klinikal masih diperlukan.
4. Berpotensi Digunakan dalam Pencuci Mulut
Biji buah longan juga berpotensi digunakan dalam produk penjagaan mulut kerana sifat antikulatnya.
Ekstrak biji buah longan didapati mempunyai ciri-ciri antikulat terhadap kulat yang selalu menjangkiti mulut seperti kulat spesies Candida dan Cryptococcus neoformans.
Selain itu, sebatian aktif dalam biji buah longan seperti asid galik turut menunjukkan sifat antikulat yang kuat terhadap kulat spesies Candida parapsilosis dan C.neoformans. [13]
Ciri-ciri ini menjadikan ekstrak biji buah longan termasuk sebatian aktif didalamnya berpotensi digunakan dalam produk-produk penjagaan mulut seperti pencuci mulut.
Rumusan
Buah longan adalah antara buah yang enak dan berkhasiat.
Selain menjadi sumber makanan, buah ini turut mempunyai banyak nilai perubatan. Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa buah longan berkhasiat untuk mendapatkan antioksidan, menguatkan sistem imun, berpotensi mencegah kanser, boleh mencegah kehilangan ingatan dan meningkatkan memori dan lain-lain lagi.
Selain isinya, biji buah longan juga turut mempunyai khasiat tertentu. Kajian menunjukkan biji buah longan ini turut berpotensi mencegah kanser, boleh membantu menyembuhkan luka serta berpotensi digunakan dalam produk pemutih kulit dan produk pencuci mulut.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Xiaofang Zhang. et al. (2020). Phytochemical constituents and biological activities of longan (Dimocarpus longan Lour.) fruit: a review. Food Science and Human Wellness.
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.
- Yi, Y. et al. (2013). Solution Properties and in Vitro Anti-Tumor Activities of Polysaccharides from Longan Pulp. Molecules.
- Li, H. et al. (2021). Longan (Dimocarpus longan Lour.) Aril ameliorates cognitive impairment in AD mice induced by combination of D-gal/AlCl3 and an irregular diet via RAS/MEK/ERK signaling pathway. Journal of ethnopharmacology.
- Park, S. J. et al. (2010). The memory-enhancing effects of Euphoria longan fruit extract in mice. Journal of ethnopharmacology.
- Ma, Y. et al. (2009). Methanol extract of Longanae Arillus augments pentobarbital-induced sleep behaviors through the modification of GABAergic systems. Journal of ethnopharmacology.
- Younglim Son. et al. (2019). Longan fruit increase bone mineral density in zebrafish and ovariectomized rat by suppressing RANKL-induced osteoclast differentiation. Phytomedicine.
- Zhu, S. et al.(2016). Effect of Longan polysaccharides on proliferation and phenotype maintenance in rabbit articular chondrocytes in vitro. Med Biol Eng Comput.
- Zhao, L. et al. (2019). Protective effects of polyphenolic extracts from longan seeds promote healing of deep second-degree burn in mice. Food & function.
- Rangkadilok, N. et al. (2007). Evaluation of free radical scavenging and antityrosinase activities of standardized longan fruit extract. Food and chemical toxicology.
- Lin, C. C. et al. (2012). Potential roles of longan flower and seed extracts for anti-cancer. World journal of experimental medicine.
- Rangkadilok, N. et al. (2012). In vitro antifungal activities of longan (Dimocarpus longan Lour.) seed extract. Fitoterapia.