Ekzema ialah keadaan keradangan kulit yang disertai dengan gatal, bengkak dan ruam merah yang kadang-kadang kelihatan seperti kulit melecur yang berair. Ekzema juga turut dipanggil dermatitis atopik iaitu sejenis penyakit alahan kulit.
Lazimnya, ekzema ini berlaku kepada bayi atau kanak-kanak. Tetapi boleh juga berlaku terhadap remaja atau orang dewasa. Menurut WHO, kira-kira 15% hingga 20% kanak-kanak,2% hingga 5% orang dewasa di seluruh dunia terkesan dengan penyakit ini.
Penyakit ini boleh juga berkait dengan jangkitan seperti jangkitan bakteria, kulat (fungi), yis atau virus pada kulit. Kebanyakan pesakit yang mengalami ekzema ini juga turut mengalami penyakit lain seperti asma, rinitis alergi dan alahan makanan.

Ekzema selalunya berlaku di bahagian muka, pertengahan siku, pergelangan tangan, lutut, belakang lutut dan juga leher.
Gejala atau Simptom-simptom
Gejala atau simptom-simptom utama bagi penyakit ini ialah gatal-gatal dan kemerahan pada kulit.
Selain itu, ekzema turut menyebabkan gejala-gejala berikut:
- Kulit menjadi kering
- Tompok-tompok merah atau kelabu keperangan
- Bengkak atau bintat-bintat kecil yang berair
- Kulit menjadi tebal, merekah dan bersisik
- Kulit menjadi kasar dan sensitif
Punca Terjadinya Ekzema
Punca sebenar yang menyebabkan ekzema tidak diketahui dengan sepenuhnya tetapi ia dipercayai disebabkan oleh gabungan faktor keturunan dan persekitaran.
Selain itu, penyakit ini juga turut dipercayai disebabkan oleh sistem imun yang bertindak balas secara agresif apabila terdedah kepada perengsa (bahan iritasi).
Sistem imun mereka yang mengalami ekzema ini tidak dapat membezakan antara penceroboh luar (bakteria atau virus) dengan protein dalam badan.
Antara perengsa atau pencetus yang boleh menyebabkan ekzema ini adalah:
- alahan makanan
- bahan kimia daripada sabun pencuci
- perubahan suhu
- peningkatan suhu badan
- fabrik sintetik
- berpeluh
- perubahan kelembapan secara mendadak
- sisik atau kulit mati daripada haiwan (haiwan peliharaan)
Komplikasi
Ekzema boleh menyebabkan komplikasi-komplikasi berikut:
- Asma atau resdung: Kanak-kanak yang mengalami ekzema berisiko tinggi untuk turut mengalami asma dan resdung.
- Jangkitan kulit: Aktiviti menggaru akibat gatal-gatal mendedahkan kulit kepada jangkitan bakteria atau virus.
- Kulit bersisik dan gatal yang kronik: Keadaan kulit ini dikenali sebagai neurodermatitis.
- Dermatitis sentuh alergi.
- Masalah tidur: Rasa gatal-gatal terutamanya pada waktu malam akan mengganggu kualiti tidur.
- Mengurangkan kualiti hidup.
Rawatan Ekzema
Simptom-simptom ekzema boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan dan terapi.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan boleh digunakan untuk mengurangkan simptom-simptom yang terjadi. Doktor akan memberikan rawatan seperti berikut:
- Ubat antihistamin untuk mengurangkan kegatalan
- Losyen pelembap untuk menahan kekeringan dan kegatalan
- Antibiotik sekiranya berlaku jangkitan bakteria
- Krim steroid untuk merawat kegatalan yang teruk
Terapi
- Wet dressing. Kaedah yang melibatkan balutan di kawasan terkesan menggunakan krim sapuan kortikosteroid dan pembalut basah.
- Terapi cahaya. Kaedah ini melibatkan pendedahan kulit yang terkesan kepada cahaya matahari, UVA atau UVB secara terkawal.
- Terapi biologi. Terapi ini melibatkan suntikan antibodi (dupilumab) untuk menghalang protein yang terlibat dengan keradangan ekzema.
Rawatan dirumah dan Langkah Pencegahan
Beberapa perubahan gaya hidup atau rawatan dirumah boleh dilakukan untuk mengurangkan kegatalan dan keradangan pada kulit.
- Lembapkan kulit. Lembapkan kulit menggunakan pelembap yang boleh diboleh diperolehi melalui belian kaunter sekurang-kurangnya 2 kali sehari.
- Pakai pembalut di kawasan terkesan. Bagi melindungi kulit daripada digaru.
- Mandi air suam. Berendam dalam air suam-suam kuku sekurang-kurangnya sekali sehari selama 10 minit. Ini boleh mengurangkan masalah kulit kering.
- Gunakan alat pelembap udara.
- Pakai pakaian jenis kapas dan nipis.
- Elakkan fabrik yang kasar.
- Elakkan makanan yang boleh menyebabkan alahan.
- Elakkan menggunakan sabun mandi.
- Ambil suplemen vitamin D. Kekurangan vitamin D dikaitkan dengan ekzema.
- Kurangkan tekanan. Gunakan teknik-teknik atau senaman yang boleh mengurangkan tekanan. Tekanan (stres) boleh memburukkan rasa gatal-gatal.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2020). Atopic dermatitis (eczema). MayoClinic [diakses pada 18 Februari 2021].
- Andrew Moore. (2020). Eczema (Atopic Dermatitis) Overview. AAAAI [diakses pada 18 Februari 2021].
- Healthline Editorial Team. Eczema: Symptoms, Causes, and Treatment. Healthline [diakses pada 18 Februari 2021].
- Schmitt, J. et al. (2011). Eczema. BMJ clinical evidence.
- Raveendran R. (2019). Tips and Tricks for Controlling Eczema. Immunology and allergy clinics of North America.