Peria katak adalah buah daripada pokok menjalar yang diselalu dijadikan sayur. Khasiat peria katak dikatakan boleh mengubati penyakit kencing manis atau diabetes. Sejauh mana kebenarannya? Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat peria katak ini berserta kajian-kajian yang menyokongnya.
Peria katak atau nama saintifiknya Momordica charantia adalah buah daripada tumbuhan daripada keluarga Cucurbitaceae iaitu keluarga yang sama dengan timun batang, timun jepun, labu kuning atau zukini.
Selain dijadikan makanan, peria katak dikatakan sangat berkhasiat dan banyak digunakan dalam perubatan tradisional termasuklah dalam mengubati diabetes jenis 2, hipertensi, obesiti, kanser, jangkitan bakteria dan virus serta AIDS.

Jus peria katak ini juga dikatakan boleh merawat banyak gangguan kesihatan seperti melegakan sakit sendi, merawat demam, merawat jaundis atau masalah penghadaman. Peria katak ini turut digunakan dalam bentuk sapuan untuk merawat penyakit kulit, luka melecur atau ruam.
Melihat potensi yang besar ini, kajian-kajian moden cuba mencari jawapan kepada dakwaan dan penggunaan buah ini dalam perubatan tradisional.
Berikut adalah beberapa khasiat peria katak berdasarkan sokongan kajian-kajian sains.
1. Kaya dengan Zat Penting
Peria katak mempunyai nilai nutrisi yang tertinggi dalam kalangan buah-buahan atau sayur-sayuran daripada keluarga Cucurbitaceae.
Bagi 100 gram peria katak segar, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 17 kcal
- Protein: 1 gram
- Lemak: 0.17 gram
- Karbohdirat: 3.7 gram
- Serat: 2.8 gram
- Kalsium: 19 miligram
- Zat besi: 0.43 miligram
- Magnesium: 17 miligram
- Fosforus: 31 miligram
- Kalium: 296 miligram
- Zink: 0.8 miligram
- Selenium: 0.2 mikrogram
- Vitamin C: 84 miligram
- Folat: 72 mikogram
- Vitamin A: 24 mikrogram
Peria katak turut mengandungi sedikit vitamin B1, B2, B3, B5 dan B6 serta mineral tembaga dan mangan.
Selain itu, peria katak turut mengandungi sebatian-sebatian antioksidan seperti katekin, epikatekin, asid galik dan asid klorogenik.
Antioksidan-antioksidan ini boleh melindungi sel-sel badan daripada rosak.
2. Boleh Merendahkan Paras Gula Darah
Perubatan tradisional telah lama menggunakan peria katak dalam mengubati penyakit kencing manis atau diabetes.
Beberapa kajian terbaru telah mengesahkan bahawa buah ini boleh membantu merendahkan paras gula darah dalam badan.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 24 orang pesakit diabetes jenis 2 mendapati pengambilan 2000 mg serbuk peria katak setiap hari selama 3 bulan boleh mengurangkan paras gula darah dan purata gula darah selama 2-3 bulan (HbA1c). [2]
Satu metaanalsis yang melibatkan 10 kajian berkenaan kesan peria katak terhadap paras gula darah pesakit diabetes jenis 2 melaporkan bahawa peria katak boleh mengurangkan paras gula darah puasa, paras gula darah selepas makan dan purata gula darah bagi 2-3 bulan (HbA1c). Walau bagaimanapun, kajian-kajian ini dikelaskan sebagai berkualiti rendah. [3]
Apa yang dapat disimpulkan adalah peria katak menunjukkan potensi dalam perawatan penyakit diabetes dan boleh diambil sebagai sebahagian daripada diet sihat. Meskipun begitu, kajian-kajian berkualiti tinggi terhadap manusia masih diperlukan sebelum peria katak ini boleh disarankan kepada populasi umum.
3. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh membantu mencegah atau meneutralkan radikal bebas. Radikal bebas boleh merosakkan sel-sel sihat. Ketidakseimbangan antara antioksidan dan radikal bebas boleh menyebabkan tekanan oksidatif.
Tekanan oksidatif ini banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti diabetes, kanser, penyakit jantung dan lain-lain lagi.
Khasiat peria katak turut disumbang oleh kandungan dan aktiviti antioksidannya. Peria katak mengandungi antioksidan seperti vitamin C, vitamin A, katekin, epikatekin, asid galik, asid klorogenik.
Kesan antioksidan peria katak dapat dilihat dalam kajian makmal yang mendapati ekstrak peria katak boleh mencegah kematian sel akibat daripada tekanan oksidatif dalam ujian terhadap sel-sel kanser saraf. [4]
4. Bersifat Antiradang
Keradangan adalah tindak balas normal bagi manusia. Tetapi, sekiranya keradangan ini berlaku secara berpanjangan (kronik) ia boleh menjerumus kepada penyakit-penyakit yang serius.
Keradangan kronik dikaitkan dengan pelbagai penyakit seperti penyakit neurodegeneratif, obesiti, diabetes jenis 2, kanser, penyakit kardiovaskular dan sindrom metabolik.
Salah satu khasiat peria katak adalah bersifat antiradang di mana buah ini boleh mengurangkan keradangan melalui pencegahan penghasilan penanda-penanda keradangan.
5. Berpotensi Mencegah Kanser
Peria katak juga berpotensi dimanfaatkan untuk mencegah atau melawan kanser. Ciri-ciri antikanser ini disumbang oleh sebatian-sebatian yang terkandung dalam peria katak.
Kajian tabung uji menunjukkan bahawa ekstrak peria katak boleh menghalang pertumbuhan sel-sel kanser payudara dengan membunuh sel-sel kanser tersebut. Ini menunjukkan peria katak berpotensi dijadikan makanan tambahan yang boleh mencegah kanser payudara. [5]
Kajian lain turut mendapati ekstrak peria katak turut menunjukkan aktiviti antikanser terhadap sel-sel kanser perut, paru-paru, usus dan juga nasofarinks melalui pembunuhan sel-sel kanser ini. [6]
6. Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Peria katak turut mempunyai keupayaan dalam membantu menurunkan paras kolesterol.
Khasiat peria katak ini dapat dilihat dalam kajian yang melibatkan haiwan. Kajian tersebut mendapati ekstrak peria katak boleh menurunkan paras kolesterol, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan juga paras trigliserida (lemak). [7]
Kajian terhadap 43 orang dewasa pula menunjukkan pengambilan 100 mg ekstrak peria katak 3 kali sehari selama 30 hari berjaya menurunkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat). Ini menunjukkan ekstrak peria katak mungkin berkesan dalam membantu menurunkan paras kolesterol jahat. [8]
7. Membantu Mengurangkan Berat Badan
Pemakanan peria katak juga didapati berkhasiat dalam membantu seseorang itu mengurangkan berat badan.
Khasiat ini dapat dilihat dalam kajian yang melibatkan pesakit diabetes. Pengambilan kapsul peria katak sebanyak 2000mg sehari didapati turut menyebabkan penurunan berat badan, indeks jisim badan (BMI), penurunan lemak badan dan juga saiz pinggang. [2]
Kajian lain turut mendapati pengambilan suplemen peria katak sebanyak 4.8 gram turut menyebabkan penurunan lemak perut. Peserta yang mengambil suplemen ini mengalami penurunan sebanyak 0.5 inci terhadap ukur lilit pinggang selepas 7 minggu. [9]
8. Baik untuk Kesihatan Mata
Kandungan sebatian lutein dan zeaxantin dalam peria katak juga turut berkhasiat untuk mata.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa lutein dan zeaxantin boleh melindungi mata dari penyakit seperti degenerasi makular berkaitan usia (AMD) dan katarak. Lutein dan zexantin boleh menyerap cahaya biru yang memasuki mata seterusnya melindungi mata daripada rosak. [10, 11]
9. Boleh Mengurangkan Sakit Sendi
Peria katak turut didapati mempunyai khasiat buat mereka yang mengalami sakit sendi seperti sakit sendi lutut (osteoartritis).
Khasiat peria katak ini dibuktikan dalam satu kajian yang melibatkan 38 orang pesakit sendi lutut. Selepas 3 bulan pengambilan suplemen peria katak, kajian mendapati berlaku penambahbaikkan terhadap simptom-simptom sakit sendi lutut. [12]
Pengambilan peria katak ini didapati boleh mengurangkan kesakitan dan simptom-simptom sakit sendi yang lain. Ia juga turut mengurangkan kebergantungan pesakit terhadap ubat yang melegakan kesakitan (analgesik).
10. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria dan Kulat
Peria katak juga didapati turut mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antikulat.
Khasiat peria katak ini dapat dilihat dalam satu kajian tabung uji yang menggunakan ekstrak buah dan daun peria katak terhadap beberapa strain bakteria dan kulat iaitu Pseudomonas aeruginosa, Escherichia coli, Candida albicans, Staphylococcus aureus, Klebsiella pneumoniae, Proteus mirabilis, Salmonella typhi dan Cryptococcus neoformans.
Kajian ini mendapati kedua-dua ekstrak buah dan daun peria katak menunjukkan aktiviti antibakteria dan antikulat terhadap semua organisma yang diuji kecuali strain Proteus mirabilis dan Cryptococcus neoformans. [13]
Bakteria dan kulat ini boleh menyebabkan keracunan makanan, jangkitan yis pada mulut dan faraj, jangkitan pada sistem pernafasan dan jangkitan dalam darah.
Risiko Kesan Sampingan
Walaupun, peria katak didapati mempunyai banyak khasiat dan kebaikan. Tetapi pengambilan peria katak terlalu banyak terutamanya dalam bentuk suplemen boleh mendatangkan kesan sampingan.
Antara kesan sampingan yang dikaitkan dengan peria katak adalah: [14]
- Cirit-birit
- Muntah-muntah
- Sakit perut
Rumusan
Peria katak adalah buah daripada tumbuhan menjalar yang dikenali sebagai Momordica charantia. Peria katak lazimnya dimasak sebagai sayur dan mempunyai rasa yang pahit.
Peria katak dikaitkan dengan khasiatnya yang boleh merawat penyakit kencing manis atau diabetes. Terdapat kajian-kajian yang menyokong dakwaan ini dan ia boleh dimakan sebagai salah satu makanan yang menyihatkan.
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut yang berkualiti tinggi masih diperlukan sebelum peria katak ini boleh disyorkan sebagai makanan yang boleh merawat penyakit diabetes kepada populasi umum.
Di samping itu juga, peria katak turut berkhasiat dalam membantu mengurangkan keradangan, menurunkan paras kolesterol, membantu mengurangkan berat badan, berpotensi mencegah kanser dan lain-lain lagi.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Cortez-Navarrete, M. et al. (2018). Momordica charantia Administration Improves Insulin Secretion in Type 2 Diabetes Mellitus. Journal of medicinal food.
- Peter, E. L. et al. (2019). Momordica charantia L. lowers elevated glycaemia in type 2 diabetes mellitus patients: Systematic review and meta-analysis. Journal of ethnopharmacology.
- Kim, K. B. et al. (2018). Momordica charantia Ethanol Extract Attenuates H₂O₂-Induced Cell Death by Its Antioxidant and Anti-Apoptotic Properties in Human Neuroblastoma SK-N-MC Cells. Nutrients.
- Ray, R. B. et al. (2010). Bitter melon (Momordica charantia) extract inhibits breast cancer cell proliferation by modulating cell cycle regulatory genes and promotes apoptosis. Cancer research.
- Li, C. J. et al. (2012). Momordica charantia Extract Induces Apoptosis in Human Cancer Cells through Caspase- and Mitochondria-Dependent Pathways. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Naz, R. et al. (2016). Dietary supplementation of bitter gourd reduces the risk of hypercholesterolemia in cholesterol fed sprague dawley rats. Pakistan journal of pharmaceutical sciences.
- Kinoshita, H., & Ogata, Y. (2018). Effect of Bitter Melon Extracts on Lipid Levels in Japanese Subjects: A Randomized Controlled Study. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Tsai, C. H. et al. (2012). Wild bitter gourd improves metabolic syndrome: a preliminary dietary supplementation trial. Nutrition journal.
- Johnson E. J. (2014). Role of lutein and zeaxanthin in visual and cognitive function throughout the lifespan. Nutrition reviews.
- Jia, Y. P. et al. (2017). The Pharmacological Effects of Lutein and Zeaxanthin on Visual Disorders and Cognition Diseases. Molecules.
- Soo May, L. et al. (2018). The effects of Momordica charantia (bitter melon) supplementation in patients with primary knee osteoarthritis: A single-blinded, randomized controlled trial. Complementary therapies in clinical practice.
- Mwambete K. D. (2009). The in vitro antimicrobial activity of fruit and leaf crude extracts of Momordica charantia: a Tanzania medicinal plant. African health sciences.
- Indian Council of Medical Research Task Force (2012). Assessment of effects on health due to consumption of bitter bottle gourd (Lagenaria siceraria) juice. The Indian journal of medical research.