Meroyan selepas bersalin boleh berlaku apabila si ibu terganggu akibat tekanan dengan tanggungjawab baru iaitu menjaga bayi mereka. Meroyan selepas bersalin terbahagi kepada tiga tahap dan semuanya boleh dirawat.
Bagi masalah meroyan yang ringan, kaunseling, sokongan suami dan ahli keluarga boleh membantu. Manakala, bagi meroyan yang dikelaskan sebagai kemurungan postpartum dan psikosis postpartum pula, ia memerlukan rawatan ubat-ubatan serta kaunseling.
Apa itu Meroyan?
Kemurungan yang berlaku kepada wanita yang baru bersalin (postpartum) lebih terkenal dalam kalangan masyarakat sebagai ‘meroyan’.

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat mendefinisikan meroyan sebagai gangguan emosi selepas bersalin yang mengakibatkan seseorang wanita menjadi murung dan mampu bertindak ganas.
Secara umumnya, meroyan selepas bersalin merupakan suatu bentuk gangguan emosi dan mental yang berkemungkinan berlaku kerana wanita tersebut mengalami perubahan emosi, kegelisahan dan kepenatan yang keterlaluan.
Tekanan yang dihadapi boleh dikurangkan sekiranya ibu mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarga dan tinggal dalam persekitaran yang baik.
Di samping itu, meroyan selepas bersalin boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan tertentu bagi membantu mengurangkan tekanan dan kemurungan ini.
Penggunaan Ubat Antikemurungan dalam Rawatan Meroyan
Pemilihan ubat untuk rawatan meroyan bergantung kepada beberapa perkara, seperti tahap keberkesanan ubat tersebut dan penerimaan pesakit terhadapnya. Selain itu, status kesihatan dan sejarah perubatan pesakit turut mempengaruhi pemilihan ubat.
Doktor juga akan mengambil perhatian kepada penyakit lain yang dihidapi, ubat-ubatan atau produk kesihatan tambahan lain yang diambil, risiko interaksi antara ubat-ubatan, kos dan ketersediaan ubat-ubat di fasiliti yang merawat.
Ubat-ubat yang dipilih juga akan dinilai dari segi kesesuaian dan risiko menyebabkan kesan sampingan sekiranya diambil oleh wanita yang menyusukan bayi.
Lazimnya, ubat antikemurungan merupakan ubat pilihan yang akan diberikan oleh doktor kepada wanita yang mengalami gejala meroyan setelah penilaian menyeluruh dibuat.
Rawatan akan dimulakan dengan dos yang rendah sebelum dinaikkan secara berkala hingga mencapai dos yang optimum.
Ubat Selective Serotonin Reupatke Inhibitor (SSRIs)
Selective Serotonin Reuptake Inhibitor (SSRIs) ialah ubat antikemurungan yang biasa digunakan bagi rawatan kemurungan selepas bersalin.
Sertraline, paroxetine, fluoxetine dan citalopram adalah antara contoh ubat SSRI yang sesuai untuk wanita yang menyusukan anak memandangkan kepekatan ubat yang masuk ke dalam susu ibu adalah rendah dan tidak berisiko mendatangkan mudarat kepada bayi.
Ubat Serotonin and Norepinephrine Reuptake Inhibitor (SNRIs)
Sekiranya ubat SSRIs tidak berkesan merawat gejala kemurungan, ubat daripada kumpulan lain, contohnya, venlafaxine dan nortriptyline boleh diberikan kepada pesakit.
Venlafaxine merupakan ubat daripada kumpulan Serotonin and Norepinephrine Reuptake Inhibitor (SNRIs) dan menjadi pilihan rawatan untuk ibu yang menyusukan bayi.
Nortriptyline pula tidak menjadi pilihan utama kerana berisiko menyebabkan kesan sampingan antikolinergik seperti mulut kering, sakit tekak dan kadar degupan jantung yang meningkat.
Ubat Penenang Benzodiazepine
Selain itu, ibu yang mengalami halusinasi boleh diberikan ubat penenang benzodiazepine untuk mengelakkan mereka mencederakan diri sendiri atau bayi. Alprazolam, clonazepam, diazepam dan lorazepam merupakan antara ubat dalam kelas benzodiazepine.
Ubat daripada kumpulan ini juga berkesan untuk merawat keresahan dan kesukaran untuk tidur. Kajian menunjukkan bahawa kepekatan benzodiazepine yang meresap masuk ke dalam susu ibu adalah rendah dan selamat untuk diambil semasa menyusukan bayi.
Wanita yang telah dimulakan dengan ubat dinasihatkan agar sentiasa patuh kepada pengambilan ubat-ubatan untuk mengelakkan kemurungan berulang (relaps) terjadi. Pengambilan ubat tidak sepatutnya dihentikan sendiri walaupun telah berasa lebih sihat atau jika mengalami sebarang kesan sampingan.
Sekiranya terdapat kesan sampingan yang berlaku selepas pengambilan ubat-ubatan. Maklum dan bincangkan dengan doktor yang merawat agar ubat yang berkesan dan paling kurang berisiko menyebabkan kesan yang tidak diingini dapat dikenal pasti sebagai rawatan pilihan.
Rumusan
Sebagai kesimpulannya, meroyan dapat dirawat dengan penilaian yang menyeluruh oleh ahli profesional kesihatan. Penilaian doktor dapat membantu mengenal pasti rawatan yang paling sesuai manakala ahli farmasi pula berperanan menentukan ubat-ubatan yang sesuai dan selamat diambil. Pesakit pula harus patuh kepada rawatan yang telah diberikan agar keberkesanan yang optimum.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian bebas tol 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang) kecuali cuti umum.
Rujukan
- Clinical Practice Guideline. (2019). Management of Major Depressive Disorders (MDD), Second Edition.
- Mayo Clinic Staff. (2022). Postpartum depression. MayoClinic
- Field, L. (2023). Which Antidepressants Treat Postpartum Depression? WebMD
- U.S Food and Drug Administration. (2019). FDA approves first treatment for post-partum depression.
- Guille, C. et al. (2013). Management of postpartum depression. Journal of midwifery & women’s health.
- Kelly, L. E. et al. (2012). Neonatal benzodiazepines exposure during breastfeeding. The Journal of pediatrics, 161(3), 448–451. https://doi.org/10.1016/j.jpeds.2012.03.003

Nurul Nasrah Mohd Ariffin
Nurul Nasrah Binti Mohd Ariffin merupakan pegawai farmasi di Klinik Kesihatan Padang Rengas, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar.