Kesum atau daun kesum adalah tumbuhan herba yang banyak digunakan dalam masakan, perubatan tradisional dan kosmetik. Selain menjadi penambah rasa, daun kesum juga mempunyai khasiat yang tersendiri.
Kesum atau nama saintifiknya Persicaria odorata sangat popular dalam masakan Vietnam di mana ia ditambah ke dalam salad, makanan laut, atau telur itik. Di Malaysia dan Singapura, daun kesum digunakan sebagai penambah rasa kepada hidangan popular iaitu laksa.
Daun kesum juga telah digunakan sejak dahulu lagi dalam perubatan tradisional untuk merawat demam, loya dan mengalakkan pertumbuhan rambut. Bagi perubatan tradisional Vietnam, daun kesum digunakan untuk merawat bengkak, luka dan ulser.
Bagi perubatan tradisional Thailand pula, daun kesum digunakan untuk merawat kembung perut dan melegakan sembelit.
Selain itu, kajian-kajian moden juga turut mendapati daum kesum turut mempunyai khasiat yang bermanfaat dalam dunia perubatan.
1. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, keradangan kronik, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Daun kesum didapati tinggi dengan kandungan sebatian fenolik dan flavanoid yang menyumbang kepada aktiviti antioksidan seperti menghalang penghasilan radikal bebas. [1]
2. Boleh Mencegah Keradangan
Selain aktiviti antioksidannya, daun kesum turut boleh membantu mencegah atau mengurangkan keradangan.
Keradangan pada asasnya adalah tindak balas semula jadi badan apabila berlaku kecederaan atau jangkitan. Walau bagaimanapun, sekiranya keradangan ini berlaku secara berpanjangan, ia boleh menjurus kepada penyakit kronik yang serius.
Semasa keradangan, sel-sel imun badan diaktifkan untuk melepaskan pengantara keradangan seperti nitrik oksida yang kemudiannya boleh menyebabkan keradangan dan kerosakan tisu.
Perencatan penghasilan nitrik oksida ini boleh mengurangkan tahap keradangan yang berlaku dalam kebanyakan proses-proses penyakit kronik.
Ekstrak daun kesum didapati menunjukkan kesan yang kuat dalam merencatkan penghasilan nitrik oksida dan mempunyai kesan antiradang yang lebih kuat berbanding ekstrak batangnya. [1]
3. Berpotensi Mencegah Kanser
Khasiat daun kesum yang seterusnya adalah mempunyai potensi dalam membantu mencegah dan merawat kanser.
Satu kajian makmal mendapati ekstrak daun kesum menunjukkan ciri-ciri antikanser terhadap sel-sel kanser mulut dengan mencegah pembiakan, penyebaran dan kemajuan sel-sel tersebut. [2]
Kajian lain pula mendapati daun kesum berpotensi untuk digunakan sebagai agen kemoterapi dan pencegahan kanser.
Kajian ini melaporkan bahawa ekstrak daun kesum menunjukkan ciri-ciri antikanser terhadap sel-sel kanser limfoma, leukimia, payudara, hati, mulut dan usus besar. [3]
Meskipun begitu, kajian-kajian lanjut seperti kajian klinikal masih diperlukan untuk mengesahkan aktiviti antikanser tersebut.
4. Boleh Membantu Mencegah Keracunan Makanan
Keracunan makanan berlaku apabila seseorang itu memakan makanan yang telah tercemar dengan kuman seperti bakteria, virus, parasit atau toksin daripada kuman tersebut.
Minyak pati daripada daum kesum didapati mempunyai ciri-ciri antibakteria terhadap bakteria Salmonella iaitu bakteria yang selalunya menyebabkan keracunan makanan seperti ayam, daging dan telur. [4]
Daun dan batang kesum juga didapati mempunyai aktiviti antibakteria terhadap bakteria Staphylococcus aureus iaitu bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan terutamanya kepada makanan yang tercemar setelah dimasak. [5]
Rumusan
Daun kesum adalah tumbuhan herba yang mempunyai khasiat dan manfaatnya sendiri. Selain boleh menambah atau membangkitkan rasa sesuatu makanan, daum kesum turut mempunyai nilai terapeutik yang tersendiri.
Kajian-kajian moden yang terhad menunjukkan daum kesum tinggi dengan antioksidan, bersifat antiradang, berpotensi mencegah kanser dan boleh mencegah keracunan makanan.
Maka, penggunaan daum kesum dalam masakan secara tidak langsungnya menjadikan makanan tersebut lebih berkhasiat.
Rujukan
- Chansiw, N. et al. (2019). Anti-inflammatory and Antioxidant Activities of the Extracts from Leaves and Stems of Polygonum odoratum Lour. Anti-inflammatory & anti-allergy agents in medicinal chemistry.
- Devi Khwairakpam, A. et al. (2019). Vietnamese coriander inhibits cell proliferation, survival and migration via suppression of Akt/mTOR pathway in oral squamous cell carcinoma. Journal of basic and clinical physiology and pharmacology.
- Khuayjarernpanishk, T. et al. (2022). Anticancer Activities of Polygonum odoratum Lour.: A Systematic Review. Frontiers in pharmacology.
- Fujita, K. et al. (2015). Anti-Salmonella Activity of Volatile Compounds of Vietnam Coriander. Phytotherapy research .
- Chansiw, N. et al. (2018). Anti-hemolytic, antibacterial and anti-cancer activities of methanolic extracts from leaves and stems of Polygonum odoratum. Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine.