Kacang Brazil mungkin tidak sepopular kacang-kacang lain. Tetapi, khasiat kacang Brazil mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.
Diet yang mengandungi kekacang termasuklah kacang Brazil mempunyai pelbagai khasiat kepada kesihatan. Seperti kacang hazel, kacang pistasio, atau kacang pekan, kacang brazil juga mempunyai profil nutrisi yang hebat.
Sedikit maklumat mengenai asal usul kacang Brazil, kacang ini diperolehi daripada pokok yang dikenali sebagai Bertholletia excelsa iaitu pokok yang terbesar di hutan hujan Amazon. Pokok ini boleh didapati di negara-negara Amerika Selatan seperti Brazil, Bolivia, Venezuela dan Peru.
Kacang Brazil berbentuk seperti tiga segi bujur bersaiz 4-5 cm panjang dan berwarna putih krim. Kacang ini boleh dimakan segar, digoreng atau dijadikan pes.
Pemakanan kacang Brazil boleh menyumbang kepada pelbagai khasiat untuk kesihatan. Kajian-kajian sains perubatan mendapati kacang brazil mempunyai beberapa khasiat yang boleh dimanfaatkan oleh pemakannya.
Antara khasiat kacang Brazil adalah:
1. Padat dengan Nutrien Penting
Satu cawan kacang Brazil seberat 133 gram mengandungi nutrien-nutrien seperti berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 876 kcal
- Protein: 19 gram
- Lemak: 89 gram
- Karbohidrat: 15.6 gram
- Serat: 10 gram
- Kalsium: 213 miligram
- Zat besi: 3.2 miligram
- Magnesium: 500 miligram
- Fosforus: 964 miligram
- Kalium: 876 miligram
- Zink: 5.4 miligram
- Tembaga: 2.3 miligram
- Mangan: 1.6 miligram
- Selenium: 2550 mikrogram
- Vitamin C: 0.9 miligram
- Folat: 29.3 mikrogram
- Vitamin E: 7.5 miligram
Selain itu, kacang brazil turut mengandungi kumpulan vitamin B iaitu vitamin B1, B2, B3, B5 dan B6.
Profil nutrisi ini menunjukkan kacang brazil sangat tinggi dengan beberapa jenis mineral seperti selenium, magnesium, fosforus, kalium dan zink.
Kacang Brazil juga tinggi dengan kandungan lemak sihat iaitu lemak monotaktepu dan lemak politaktepu.
2. Kaya dengan Selenium
Kacang Brazil sangat kaya dengan mineral selenium. Malah, kandungan selenium dalam kacang Brazil melebihi kandungan selenium dalam kacang-kacang yang lain.
Orang dewasa di Malaysia disarankan untuk mendapatkan kira-kira 24-32 mikrogram selenium sehari. Ini bermakna 1 biji kacang Brazil sehari sudah boleh menampung keperluan harian mineral selenium bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
Selenium adalah mineral yang mempunyai pelbagai fungsi untuk kesihatan tubuh badan manusia. Selenium diperlukan untuk fungsi sistem reproduktif (pembiakan), fungsi kelenjar tiroid, penghasilan DNA dan melindungi badan daripada kerosakan akibat radikal bebas dan jangkitan.
Satu kajian melaporkan bahawa pengambilan 2 biji kacang Brazil sehari adalah berkesan untuk meningkatkan paras selenium dalam badan. Menariknya juga, pengambilan kacang brazil ini juga dilihat berkesan seperti mana pengambilan suplemen selenium. [2]
3. Baik untuk Kesihatan Tiroid
Salah satu khasiat kacang Brazil dapat dilihat dalam peranannya terhadap fungsi dan kesihatan kelenjar tiroid.
Kelenjar tiroid yang sihat memerlukan mineral selenium untuk menghasilkan hormon tiroid. Hormon tiroid ini mempunyai pelbagai fungsi terhadap organ dan sel-sel dalam badan.
Antaranya adalah:
- Mengawal kadar pembakaran kalori (memberi kesan terhadap pengurangan atau peningkatan berat badan)
- Boleh memperlahankan atau melajukan denyutan jantung
- Mengawal suhu badan
- Mengawal kadar makanan bergerak masuk ke saluran pencernaan
- Mengawal penguncupan otot
- Mangawal kadar penggantian sel-sel mati
4. Boleh Melawan Keradangan
Kacang Brazil juga turut berkhasiat dalam membantu melawan keradangan. Khasiat kacang brazil ini disumbang oleh kandungan antioksidan dalam kacang ini seperti selenium, vitamin E dan sebatian fenolik.
Selenium boleh meningkatkan paras enzim yang dikenali sebagai glutathione peroxidase (GPx). Enzim ini membantu mengurangkan keradangan dan melindungi badan daripada tekanan oksidatif.
Kajian terhadap 10 individu sihat mendapati pengambilan kacang Brazil sebanyak 20 gram atau 50 gram menyebabkan penurunan yang ketara terhadap penanda-penanda keradangan dalam darah. [3]
Kenapa perlu melawan keradangan?
Keradangan pada asasnya adalah tindak balas semulajadi sistem imun dalam melindungi badan daripada jangkitan. Namun, sekiranya keradangan ini berlaku secara berpanjangan (kronik), ia boleh membawa kepada penyakit-penyakit seperti kanser, penyakit jantung atau diabetes.
5. Mengandungi Antioksidan
Kacang Brazil juga turut mengandungi antioksidan. Antioksidan memainkan peranan penting dalam melawan atau meneutralkan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan.
Selain vitamin E, kandungan selenium dalam kacang Brazil juga boleh meningkatkan sistem antioksidan dalam badan dan mencegah daripada berlakunya tekanan oksidatif.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, hipertensi dan lain-lain lagi.
Kajian mendapati pengambilan kacang Brazil dalam kalangan pesakit tekanan darah tinggi (hipertensi) dan kolesterol tinggi boleh menambah baik status antioksidan dengan peningkatan enzim glutathione peroxidase (GPx). [4]
6. Boleh Menurunkan Paras Kolesterol
Khasiat kacang Brazil yang seterusnya adalah membantu menurunkan paras kolesterol. Paras kolesterol yang tinggi adalah tidak baik untuk kesihatan kerana boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.
Pengambilan kacang Brazil didapati boleh membantu menurunkan paras kolesterol terutamanya kolesterol LDL (kolesterol jahat).
Kesan ini dibuktikan dalam satu kajian yang melibatkan 10 orang individu sihat. Pengambilan 20 gram atau 50 gram kacang Brazil mengalami penurunan ketara terhadap paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan peningkatan ketara terhadap kolesterol HDL (kolesterol baik). [5]
Kajian terhadap 17 orang remaja obes juga turut mendapati pengambilan kacang Brazil boleh mengurangkan paras jumlah kolesterol, trigliserida dan kolesterol LDL (kolesterol jahat). [6]
7. Boleh Meningkatkan Fungsi Otak
Kacang Brazil juga dipercayai boleh meningkatkan fungsi otak melalui kesan antioksidannya dan kandungan mineral selenium.
Kemerosotan kognitif dipercayai berkait rapat dengan tekanan oksidatif. Oleh itu, sistem antioksidan dilihat sebagai rawatan yang boleh mengekalkan fungsi kognitif bagi golongan berusia.
Selenium juga boleh memainkan peranan penting sebagai antioksidan melalui enzim glutathione peroxidase (GPx).
Kesan selenium ini dapat dilihat dalam kajian yang melibatkan 31 orang warga tua yang mengalami kemerosotan kognitif. Pengambilan sebiji kacang Brazil setiap hari selama 6 bulan menunjukkan peningkatan terhadap kelancaran lisan dan kebolehan untuk melukis, menyalin dan memanipulasi corak atau reka bentuk bagi golongan warga tua tersebut. [7]
Adakah Boleh Makan Kacang Brazil dengan Banyak?
Jawapannya adalah TIDAK.
Hal ini kerana kacang Brazil sangat tinggi dengan kandungan selenium.
Panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menggariskan bahawa paras maksimum selenium yang boleh diterima bagi remaja hingga orang dewasa di Malaysia adalah 400 mikrogram sehari iaitu kurang daripada 4 biji kacang Brazil sahaja.
Pengambilan selenium yang terlalu tinggi melebihi 400 mikrogram boleh menyebabkan ketoksikan selenium.
Ketoksikan selenium boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil selenosis iaitu apabila pengambilan selenium mencapai 5000 mikrogram sehari (bersamaan 52 biji kacang Brazil sehari). Selenosis boleh menyebabkan masalah pernafasan, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang. [8]
Rumusan
Kacang Brazil adalah salah satu daripada beberapa jenis kekacang yang mempunyai khasiat yang tersendiri. Kacang Brazil terkenal dengan kandungan selenium yang tinggi.
Jika dimakan secara terkawal, kacang Brazil boleh menampung kekurangan selenium, membantu fungsi kelenjar tiroid, melawan keradangan, meningkatkan status antioksidan dalam badan, menurunkan paras kolesterol dan meningkatkan fungsi otak.
Pengambilan kacang Brazil mestilah kurang daripada 4 biji sehari bagi mengelakkan ketoksikan selenium.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Thomson, C. D. et al.(2008). Brazil nuts: an effective way to improve selenium status. The American journal of clinical nutrition.
- Colpo, E. et al. (2014). Brazilian nut consumption by healthy volunteers improves inflammatory parameters. Nutrition.
- Huguenin, G. V. et al. (2015). Improvement of antioxidant status after Brazil nut intake in hypertensive and dyslipidemic subjects. Nutrition journal.
- Colpo, E. et al. (2013). A single consumption of high amounts of the Brazil nuts improves lipid profile of healthy volunteers. Journal of nutrition and metabolism.
- Maranhão, P. A. et al. (2011). Brazil nuts intake improves lipid profile, oxidative stress and microvascular function in obese adolescents: a randomized controlled trial. Nutrition & metabolism.
- Rita Cardoso, B. et al. (2016). Effects of Brazil nut consumption on selenium status and cognitive performance in older adults with mild cognitive impairment: a randomized controlled pilot trial. European journal of nutrition.
- Stoffaneller, R., & Morse, N. L. (2015). A review of dietary selenium intake and selenium status in Europe and the Middle East. Nutrients.