Cacar air atau dalam bahasa Inggerisnya “chickenpox” ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus varicella-zoster.
Penyakit ini menyebabkan ruam atau lepuh yang gatal. Penyakit ini sangat mudah jangkiti orang lain yang tidak pernah terkena penyakit ini atau mereka yang tidak pernah divaksin.
Cacar air boleh menjadi penyakit yang serius bagi bayi, remaja, orang dewasa, ibu mengandung dan mereka yang mempunyai sistem imun yang rendah.
Cara terbaik untuk mencegah penyakit berjangkit ini adalah dengan mendapatkan vaksin varicella.
Vaksin varicella diperkenalkan pada tahun 1995 dan telah menunjukkan penurunan bilangan kes dan komplikasi. Malah, ia juga mencegah kira-kira 70% hingga 90% jangkitan.
Virus varicella-zoster juga adalah penyebab kepada penyakit kayap. Selepas cacar air, virus tersebut kekal di dalam badan (tidak aktif). Orang ramai boleh mendapat kayap apabila virus varicella-zoster ini aktif semula dalam badan mereka.
Simptom-simptom Cacar Air
Mereka yang tidak pernah dijangkiti atau tidak pernah divaksin berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit ini.
Ruam dan lepuh yang gatal disebabkan oleh cacar air akan kelihatan selepas 3 hingga 4 hari selepas terdedah kepada virus ini. Kebiasaannya ia berterusan selama 5 hingga 10 hari.
Simptom-simptom yang boleh dilihat sehari atau dua hari sebelum ruam kelihatan termasuklah:
- Demam
- Sakit kepala
- Kepenatan dan rasa tidak sihat
- Hilang selera makan
Apabila ruam ini telah kelihatan, ruam ini akan melalui tiga fasa iaitu:
- Timbul bintik-bintik merah dan merah jambu diseluruh badan.
- Bintik-bintik ini akan akan menjadi lepuh yang berair dan pecah.
- Lepuh ini akan menjadi kering dan berkeruping dan akan mula sembuh.
Punca
Cacar air berpunca daripada virus varicella-zoster. Virus ini merebak melalui sentuhan dengan ruam atau lepuh. Virus ini juga boleh merebak apabila penghidap cacar air batuk atau bersin dan anda menyedut titisan udara tersebut.
Virus varicella-zoster boleh merebak dengan mudah daripada pesakit kepada mereka yang tidak pernah mengalami penyakit ini atau yang tidak divaksin. Virus tersebut merebak khususnya melalui kontak rapat.
Masa pengeraman (tempoh antara kemasukan virus dan gejala pertama) adalah sekitar 7 hingga 10 hari. Penyakit ini juga boleh merebak melalui air liur, batuk, bersin dan sentuhan dengan bendalir yang keluar dari lepuh tersebut.
Faktor Risiko
Dua golongan yang berisiko tinggi untuk terkena penyakit berjangkit ini adalah:
- Mereka yang tidak pernah dijangkiti cacar air.
- Mereka yang tidak pernah divaksin terhadap virus varicella-zoster.
Rawatan
Kebiasaannya bagi kanak-kanak yang sihat, cacar air tidak memerlukan rawatan perubatan. Doktor mungkin menentukan ubat antihistamin bagi melegakan gatal-gatal.
Cacar air ini akan berkurangan dalam jangka masa 2 minggu dan kebiasaannya tiada komplikasi.
Namun, sekiranya individu tersebut berpotensi mendapat komplikasi, doktor akan memberikan ubat untuk memendekkan jangka masa jangkitan dan mengurangkan risiko komplikasi.
Ubat antiviral seperti acyclovir (Zovirax, Sitavig) atau ubat lain yang dipanggil immuno globulin mungkin disarankan oleh doktor.
Ubat ini amat berkesan jika diberikan dalam masa 24 jam selepas ruam pertama kali kelihatan.
Individu dewasa juga boleh mendapat kebaikan daripada rawatan antiviral ini terutamanya bagi mereka yang kurang sistem daya tahan. Contohnya seperti orang tua, pesakit diabetes, penghidap HIV dan AIDS.
Komplikasi
Umumnya, cacar air adalah penyakit yang ringan dan tidak berbahaya. Tetapi, ia boleh menjadi serius dan menyebabkan komplikasi seperti:
- Jangkitan bakteria pada kulit, tisu lembut, sendi atau aliran darah.
- Pneumonia
- Dehidrasi
- Radang dalam otak (ensefalitis)
- Sindrom kejutan toksik
- Sindrom Reye dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang mengambil aspirin semasa dijangkiti cacar air
- Kematian
Langkah Pencegahan
Cacar air boleh dicegah menggunakan vaksin. Walaupun, vaksin varicella tidak dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan bagi Kanak-kanak, anda masih boleh mendapatkannya di hospital atau klinik swasta.
Kanak-kanak yang meningkat remaja dan orang dewasa yang tidak pernah divaksin atau terdedah kepada penyakit ini juga boleh mendapatkan suntikan vaksin ini.
Menjauhi mereka yang menghidap cacar air juga merupakan antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan.
Rujukan
- Ayoade F, Kumar S. Varicella Zoster. [Updated 2021 Aug 11]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- National Center for Immunization and Respiratory Diseases (NCIRD), Division of Viral Diseases. (2021). Chickenpox (Varicella). CDC.