Bagi wanita yang lazimnya memulakan hari mereka dengan secawan kopi, mungkin tertanya-tanya adakah mereka masih boleh minum kopi semasa hamil?
Bagi menjawab persoalan ini, terdapat beberapa perkara yang harus diperincikan dengan lebih lanjut iaitu jumlah kafein yang diambil, fasa kehamilan wanita tersebut dan kajian-kajian yang melaporkan mengenai interaksi antara kafein dengan kehamilan.
Sesetengah orang berpendapatan, tidak boleh minum kopi semasa hamil dan ada juga yang berpendapat, boleh minum kopi semasa hamil. Justeru itu, bagi merungkai persoalan ini, kami jelaskan dengan lebih lanjut mengenai persoalan ini.
Apa yang menjadi perdebatan dan kebimbangan dalam dunia perubatan adalah bukan kerana kopi itu sendiri tetapi kandungan kafein yang ada di dalam kopi tersebut.
Selain kopi, terdapat beberapa minuman dan makanan lain yang turut mengandungi kafein. Contohnya seperti teh, coklat, minuman tenaga atau minuman berkarbonat.
Kopi adalah sumber utama untuk mendapatkan kafein dalam diet harian. Secawan kopi mungkin mengandungi sekitar 95 mg kafein dan jumlah ini berbeza-beza mengikut jenis kopi yang diminum.
Bagi menjawab persoalan adakah wanita hamil boleh minum kopi? Jawapannya adalah boleh tetapi perlu dihadkan. Sekiranya anda boleh meninggalkannya, itu lebih baik.
Berapa Had Kafein yang Dibenarkan?
Pada masa ini, panduan pengambilan kafein bagi wanita hamil adalah kurang daripada 200 mg sehari. [1]
Jumlah ini termasuklah makanan atau minuman lain yang turut mengandungi kafein.
Bagaimana ingin mengukur kandungan kafein ini? Biasanya, pengeluar produk yang mengandungi kafein ada menyatakan jumlah kafein yang terkandung dalam produk mereka.
Secara umumnya, jumlah kafein yang terkandung dalam minuman anda adalah seperti berikut (jumlah ini berbeza-beza mengikut jenama, jenis dan bagaimana ia disediakan): [2]
- 1 koleh (mug) kopi segera: 100 mg
- 1 koleh kopi bertapis: 140 mg
- 1 koleh kopi nyahkafein: 12 mg
- 1 koleh teh: 75 mg
- 1 tin minuman berkarbonat: 40 mg
- 1 tin minuman tenaga (250 ml): sehingga 80 mg
- Coklat: 31 mg
- 1 koleh coklat panas: 9 mg
Adakah Kafein Menjejaskan Kehamilan dan Janin?
Semasa kehamilan, badan anda boleh mengambil masa yang lebih lama untuk memetabolismekan kafein.
Ini bermakna anda mungkin mempunyai kafein dalam aliran darah untuk seketika selepas anda minum kopi atau minuman berkafein lain.
Mungkin Menjejaskan Janin
Plasenta atau uri membekalkan janin dengan makanan dan oksigen melalui tali pusat.
Oleh sebab itu, apabila anda minum kopi atau minuman berkafein lain, janin mungkin turut menerimanya.
Sekiranya anda meminum kopi atau mengambil kafein terlalu banyak pada awal kehamilan iaitu trimester pertama, risiko untuk mengalami keguguran adalah tinggi. [3]
Satu kajian kohort yang melibatkan 88,482 wanita hamil warganegara Denmark melaporkan bahawa pengambilan kopi sebanyak 8 cawan atau lebih sehari meningkatkan risiko kematian janin. [4]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian yang melibatkan kafein dan janin masih bercampur-campur dan tidak konklusif.
Membantutkan Pertumbuhan Janin
Terdapat juga kajian kohort yang melibatkan 2055 wanita hamil mendapati pengambilan kafein semasa kehamilan walaupun pada kadar dibawah nilai yang disarankan iaitu 200 mg sehari turut berkait dengan pengurangan pertumbuhan janin. [5]
Keadaan ini meningkatkan risiko kepada berat lahir rendah.
Menghalang Penyerapan Zat Besi
Risiko pengambilan kafein semasa kehamilan yang berikutnya adalah kafein boleh menghalang penyerapan zat besi. [6]
Semasa kehamilan, zat besi adalah mineral yang sangat penting kerana ia diperlukan untuk menghasilkan hemoglobin (Hb) iaitu protein dalam sel-sel darah merah.
Kekurangan zat besi ini boleh membawa kepada anemia semasa kehamilan.
Satu ujian klinikal melaporkan bahawa pengambilan kopi boleh menghalang penyerapan zat besi sehingga 4.9-4.2% bergantung kepada jenis kopi yang diminum. [7]
Walau bagaimanapun, pengurangan terhadap penyerapan zat besi tidak berlaku apabila kopi diminum 1 jam sebelum makan (pengambilan zat besi). Tetapi, kesan pengurangan penyerapan zat besi dilihat berlaku apabila kopi diminum 1 jam selepas makan (pengambilan zat besi).
Rumusan
Bagi wanita yang biasanya memulakan rutin harian dengan secawan kopi, mungkin semasa hamil perlu mengubah tabiat itu kerana kandungan kafein yang tinggi.
Pengambilan kafein semasa awal kehamilan mungkin meningkatkan risiko kepada keguguran atau kematian janin. Walaupun, tiada dapatan yang konklusif daripada penyelidikan, adalah terbaik untuk mengambil langkah berhati-hati.
Pada trimester kedua, pengambilan kafein dibawah 200 mg sehari mungkin boleh mengurangkan risiko diabetes gestasi.
Namun, penyelidik tidak menyarankan untuk wanita yang tidak meminum minuman berkafein untuk memulakan pengambilan minuman jenis ini untuk mengurangkan risiko diabetes gestasi. [8]
Selain itu, pengambilan minuman atau makanan berkafein juga boleh menjejaskan penyerapan zat besi iaitu mineral yang sangat penting semasa kehamilan.
Justeru itu, sekiranya anda mempunyai pilihan dan boleh mengelakkan makanan dan minuman berkafein, pendekatan ini adalah lebih baik.
Rujukan
- Hinkle, S. N. et al. (2021). Assessment of Caffeine Consumption and Maternal Cardiometabolic Pregnancy Complications. JAMA network open.
- Cleveland Clinic. How Much Caffeine Is Safe During Pregnancy?
- Signorello, L. B., & McLaughlin, J. K. (2004). Maternal caffeine consumption and spontaneous abortion: a review of the epidemiologic evidence. Epidemiology.
- Bech, B. H. et al. (2005). Coffee and fetal death: a cohort study with prospective data. American journal of epidemiology.
- Gleason, J. L. et al. (2021). Association Between Maternal Caffeine Consumption and Metabolism and Neonatal Anthropometry: A Secondary Analysis of the NICHD Fetal Growth Studies-Singletons. JAMA network open.
- Benson, C. S. et al. (2021). Iron deficiency anaemia in pregnancy: A contemporary review. Obstetric medicine.
- Morck, T. A. et al. (1983). Inhibition of food iron absorption by coffee. The American journal of clinical nutrition.
- Hinkle, S. N. et al. (2021). Assessment of Caffeine Consumption and Maternal Cardiometabolic Pregnancy Complications. JAMA network open.