Limau mandarin atau turut dikenali sebagai tangerine dan mandarin orange dalam bahasa Inggeris, adalah sejenis buah sitrus yang kaya dengan pelbagai nutrien penting. Selain rasanya yang manis dan segar, khasiat limau mandarin juga tidak sepatutnya diabaikan.
Artikel ini menjelaskan kepada anda tentang apa yang anda perlu tahu mengenai limau mandarin termasuklah profil nutrisi, khasiat dan bagaimana untuk menyimpannya.
Buah limau mandarin adalah daripada genus Sitrus. Ia dipercayai berasal dari China. Dalam masyarakat Asia, limau mandarin sering dikaitkan dengan musim perayaan, terutamanya Tahun Baru Cina, di mana ia dianggap sebagai simbol nasib baik dan kemakmuran.

Limau mandarin mempunyai kulit berwarna jingga terang dan biasanya mudah untuk dikupas dengan tangan.
Walaupun limau mandarin kelihatan seperti oren, namun ia sebenarnya daripada spesies yang berbeza. Buah ini juga tidak bulat, ia lebih ke arah bujur. Kulitnya juga lebih nipis daripada buah oren.
Tambahan itu lagi, ciri-ciri ketara yang lain yang membezakan limau mandarin dengan oren adalah terasnya. Teras limau mandarin lebih besar dan terbuka berbanding buah oren.
Jenis-jenis Limau Mandarin
Terdapat beberapa jenis atau varieti limau mandarin yang popular. Contohnya seperti: [1]
- Satsuma mandarin
- Ponkan mandarin
- King mandarin
- Common mandarin
- Mediterranean mandarin
- Tangerin
- Clementine mandarin
Profil Nutrisi Limau Mandarin
Limau mandarin mempunyai profil nutrisi yang mengagumkan.
Sebiji limau mandarin bersaiz sederhana (88 gram) mengandungi nutrien-nutrien berikut: [2]
- Kalori/tenaga: 46.6 kcal
- Protein: 0.7 gram
- Karbohidrat: 11.7 gram
- Serat: 1.58 gram
- Kalsium: 32.6 miligram
- Magnesium: 10.6 miligram
- Fosforus: 17.6 miligram
- Kalium: 146 miligram
- Vitamin C: 23.5 miligram
- Vitamin B3: 0.33 miligram
- Vitamin B5: 0.19 miligram
- Folat: 14.1 mikrogram
- Vitamin A: 29.9 mikrogram
- Vitamin E: 0.18 miligram
Selain itu, limau mandarin turut mengandungi sedikit mineral dan vitamin lain seperti vitamin B1, B2, B6, zat besi, tembaga, mangan, selenium dan zink.
Khasiat dan Manfaat Limau Mandarin Terhadap Kesihatan
Seperti buah-buahan sitrus yang lain, buah limau mandarin juga turut kaya dengan pelbagai khasiat dan manfaat yang bersumberkan kandungan nutriennya.
Tambahan lagi, ia juga mudah untuk dibungkus sebagai snek, dimasukkan ke dalam smoothie, atau dikupas ke dalam salad atau pencuci mulut.
1. Kaya dengan Antioksidan
Limau mandarin kaya dengan sebatian antioksidan yang dikenali sebagai flavonoid.
Flavonoid ini ialah sejenis antioksidan yang membantu melindungi badan anda daripada ketidakseimbangan radikal bebas yang seterusnya boleh membawa kepada pengoksidaan.
Pengoksidaan boleh mempercepatkan penuaan dan turut dikaitkan dengan penyakit jantung dan kanser. [3]
Di samping itu, terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa flavonoid boleh melindungi anda daripada kanser dengan melemahkan gen-gen yang menyokong pertumbuhan kanser. [4]
2. Meningkatkan Kekuatan Sistem Imun Badan
Seperti kebanyakan buah sitrus yang lain, buah limau mandarin juga turut tinggi dengan kandungan vitamin C yang boleh membantu menguatkan sistem imun anda.
Vitamin C ialah antioksidan yang meningkatkan fungsi sel imun anda untuk melawan kerosakan oksidatif. Ia juga menggalakkan kematian mikrob yang berbahaya. [5]
3. Boleh Mengurangkan Risiko Batu Karang
Khasiat buah limau mandarin yang seterusnya adalah boleh membantu mengurangkan risiko batu karang atau karang ginjal.
Satu kajian populasi mendedahkan bahawa diet yang tinggi dengan buah-buahan sitrus seperti limau mandarin boleh mengurangkan risiko terjadinya batu karang. [6]
Tahap sitrat yang rendah dalam air kencing boleh menyebabkan batu karang tertentu terbentuk. Mujurlah, pengambilan buah sitrus secara kerap boleh meningkatkan paras sitrat anda, yang dianggap mengurangkan risiko batu karang. [7]
4. Baik untuk Kesihatan Usus
Kandungan serat dalam buah limau mandarin juga turut bermanfaat kepada kesihatan usus.
Buah sitrus seperti limau mandarin mengandungi serat larut dan serat tak larut. Serat larut membentuk gel dalam saluran pencernaan anda. Ini menarik air ke dalam usus untuk melembutkan najis, yang berpotensi melancarkan pergerakan usus. [8]
Manakala serat tak larut pula melalui usus tanpa dicernakan. Serat jenis ini boleh membantu membesarkan najis dan memudahkan untuk ia dikumuhkan.
Cara Penyimpanan Limau Mandarin
Limau mandarin boleh disimpan pada suhu bilik selama 1 minggu.
Setelah dikupas, ia mesti disimpan di dalam peti sejuk. Seluruh mandarin yang disimpan di dalam peti sejuk boleh disimpan sehingga 6 minggu — sesetengah orang lebih suka memakannya sejuk.
Limau mandarin mungkin tidak sesuai disimpan di dalam peti sejuk beku kerana kandungan airnya yang tinggi.
Rumusan
Walaupun kelihatan seperti oren, limau mandarin adalah spesies berbeza daripada oren.
Terdapat kira-kira lebih 100 jenis atau varieti limau mandarin dan kebanyakannya adalah daripada jenis hibrid.
Kandungan nutrien dan antioksidan dalam buah limau mandarin menjadikan buah ini bermanfaat dalam menguatkan sistem imun, mengurangkan risiko batu karang, mencegah atau mengurangkan risiko penyakit-penyakit kronik yang berkaitan dengan tekanan oksidatif.
Limau mandarin mudah untuk disimpan sama ada di suhu bilik atau peti sejuk.
Rujukan
- Goldenberg, L. et al. (2018). Mandarin fruit quality: a review. Journal of the science of food and agriculture.
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service, Beltsville Human Nutrition Research Center. FoodData Central. [Internet]. [16 July 2024]. Available from https://fdc.nal.usda.gov/.
- Lv, X. et al. (2015). Citrus fruits as a treasure trove of active natural metabolites that potentially provide benefits for human health. Chemistry Central journal.
- Cirmi, S. et al. (2016). Chemopreventive Agents and Inhibitors of Cancer Hallmarks: May Citrus Offer New Perspectives?. Nutrients.
- Chambial, S. et al. (2013). Vitamin C in disease prevention and cure: an overview. Indian journal of clinical biochemistry.
- De, S. K. et al. (2014). Changing trends in the American diet and the rising prevalence of kidney stones. Urology.
- Prezioso, D. et al. (2015). Dietary treatment of urinary risk factors for renal stone formation. A review of CLU Working Group. Archivio italiano di urologia, andrologia.
- Saikia, S., & Mahanta, C. L. (2016). In vitro physicochemical, phytochemical and functional properties of fiber rich fractions derived from by-products of six fruits. Journal of food science and technology.