Apa itu Fruktosa?
Fruktosa ialah sejenis gula ringkas (monosakarida) yang terdapat secara semula jadi dalam buah-buahan, beberapa jenis sayuran, madu dan dalam kepekatan yang lebih tinggi dalam makanan serta pemanis yang diproses.
Apabila anda makan buah, anda bukan hanya mendapat fruktosa tetapi juga serat, air, vitamin, dan mineral. Itu sebabnya fruktosa daripada buah jauh berbeza daripada gula tambahan dalam makanan diproses.
Namun, bagi sesetengah individu (contohnya mereka yang mengalami malabsorpsi fruktosa atau intoleransi fruktosa) atau bagi mereka yang ingin mengawal pengambilan gula, adalah berguna untuk mengetahui buah mana yang mengandungi fruktosa lebih tinggi.
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan fruktosa berlebihan terutamanya daripada makanan yang diproses boleh menyumbang kepada masalah seperti hati berlemak (fatty liver), asid urik tinggi dan gangguan metabolik.
Berapa Banyak Fruktosa Dianggap “Tinggi”?
Tiada had rasmi atau nilai rasmi untuk menentukan “tinggi fruktosa”. Hal ini demikian kerana, jumlah fruktosa bukan keseluruhan cerita.
Terdapat dua perlu dititikberatkan iaitu:
- Jumlah hidangan – 200 g buah yang mengandungi 3 g/100 g memberikan kira-kira 6 g fruktosa.
- Nisbah fruktosa kepada glukosa – dalam konteks fructose malabsorption dan FODMAP, fruktosa yang melebihi jumlah glukosa (excess fructose) lebih relevan berbanding jumlah fruktosa semata-mata.
Senarai Buah-Buahan yang Tinggi Fruktosa (Dengan Nilai Anggaran)
Nilai berikut ialah anggaran purata bagi setiap 100 gram buah segar, bergantung kepada jenis, tahap kematangan dan kaedah pengukuran.
| No. | Buah | Anggaran Fruktosa (g/100 g) | Catatan |
|---|---|---|---|
| 1. | Kismis | 36.40 | Turut tinggi dengan glukosa |
| 2. | Kurma (Medjool) | 32.00 | Turut tinggi dengan glukosa |
| 3. | Buah tin (kering) | 22.90 | Kandungan berubah mengikut kematangan |
| 4. | Apricot (kering) | 12.50 | Turut tinggi dengan glukosa |
| 5. | Anggur (Thompson seedless) | 8.13 | Jumlah gula keseluruhan juga agak tinggi |
| 6. | Nangka | 9.19 | Turut tinggi dengan glukosa |
| 7. | Epal (Red Delicious) | 5.90 | Relatif tinggi; juga boleh tinggi glukosa |
| 8. | Pir | 6.42 | Fruktosa lebih tinggi daripada glukosa |
| 9. | Pisang (masak) | 6.09 | Kandungan berubah mengikut kematangan |
| 10. | Ceri (manis) | 5.51 | Turut tinggi glukosa |
| 11. | Beri biru | 4.97 | Hampir sama banyak dengan kandungan glukosa |
| 12. | Mangga | 4.68 | Fruktosa lebih tinggi daripada glukosa |
| 13. | Kiwi | 4.29 | Lebih rendah berbanding epal/pir |
| 14. | Nanas | 4.05 | Biasanya lebih seimbang dengan gula lain |
| 15. | Betik | 3.73 | Walaupun agak rendah fruktosa; mudah untuk terlebih makan |
| 16. | Tembikai | 3.36 | Walaupun agak rendah fruktosa; mudah untuk terlebih makan |
Buah Kering ialah Kategori Berbeza
Jika objektif anda ialah mengurangkan pengambilan fruktosa, buah kering perlu diberi perhatian khusus kerana air telah dikeluarkan dan gula menjadi sangat pekat.
Oleh itu, beberapa biji buah kering boleh memberikan jumlah gula yang jauh lebih tinggi berbanding satu hidangan kecil buah segar.
Apa Maknanya Kepada Anda
- Saiz hidangan penting: Walaupun buah sederhana fruktosa, ia boleh menjadi tinggi jika dimakan dalam jumlah besar.
- Buah segar lebih baik: Buah kering dan jus buah mengandungi fruktosa yang lebih pekat dan kurang serat, menyebabkan penyerapan gula lebih cepat.
- Kepelbagaian penting: Anda tidak perlu mengelak buah tinggi fruktosa sepenuhnya. Campurkan dengan buah rendah fruktosa seperti beri, limau dan kiwi.
- Keadaan kesihatan khas: Jika anda mempunyai masalah intoleransi fruktosa, anda mungkin perlu mengehadkan pengambilan walaupun buah sederhana fruktosa.
- Kematangan mempengaruhi kandungan gula: Buah yang lebih masak mengandungi lebih banyak gula dan fruktosa.
- Lebih baik daripada gula tambahan: Fruktosa dalam buah datang bersama serat dan nutrien, berbeza dengan gula dalam makanan diproses.
Cara Mengawal Pengambilan Buah Tinggi Fruktosa
- Ambil dalam jumlah kecil jika anda sensitif terhadap fruktosa.
- Padankan dengan makanan lain yang tinggi protein atau lemak sihat (contohnya yogurt atau kekacang) untuk memperlahankan penyerapan gula.
- Pilih buah rendah fruktosa seperti strawberi, beri biru, oren, atau limau untuk snek harian.
- Utamakan buah segar, bukan kering atau jus.
- Kawal jumlah keseluruhan gula harian, bukan hanya daripada buah-buahan.
Ringkasan
Fruktosa ialah gula semula jadi dalam buah. Ia sihat dalam bentuk semula jadi (buah segar) tetapi boleh menjadi masalah jika berlebihan.
Buah seperti kismis, kurma, buah tin, mangga, epal, pir dan anggur mempunyai kandungan fruktosa yang lebih tinggi.
Ambil dalam kuantiti sederhana dan imbangi dengan buah yang rendah fruktosa.
Untuk kebanyakan orang, makan buah secara seimbang tetap bermanfaat dan penting untuk kesihatan.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service, Beltsville Human Nutrition Research Center. FoodData Central. [Internet]. [cited 12 Nov 2025]. Available from https://fdc.nal.usda.gov/
- Food Intolerance Diagnostics. Fructose.





