Mangan atau dalam bahasa Inggerisnya “manganese” ialah sejenis mineral surih yang penting untuk kesihatan manusia. Walaupun mungkin kurang dikenali berbanding mineral lain seperti kalsium atau zink, kebaikan dan peranan mangan kepada tubuh kita tidak boleh diabaikan.
Mineral mangan diperlukan untuk fungsi otak, sistem saraf dan sistem-sistem enzim dalam badan anda.
Walaupun badan anda menyimpan kira-kira 20 mg mineral ini dalam hati, buah pinggang, pankreas dan tulang, anda masih perlu mendapatkannya melalui pemakanan.
Anda boleh mendapatkan mineral mangan daripada pelbagai makanan seperti:
- Bijian penuh (beras perang, oatmil atau roti gandum lengkap)
- Kacang (kacang pekan atau kacang hazel)
- Makanan laut (tiram, kupang, atau kerang)
- Sayur berdaun (bayam atau kailan)
- Teh
Dalam artikel ini, kita akan meneliti dengan lebih mendalam tentang kebaikan mangan untuk kesihatan manusia.
1. Penting untuk Pembentukan dan Perkembangan Tulang yang Sihat
Salah satu fungsi utama mangan dalam tubuh adalah untuk menyokong pembentukan dan perkembangan tulang yang sihat.
Gabungan mangan dengan mineral-mineral lain seperti kalsium, zink dan tembaga boleh menyokong ketumpatan tulang.
Kajian menunjukkan bahawa mengambil mangan bersama-sama kalsium, zink dan tembaga boleh mengurangkan kelesapan tulang spina (tulang belakang) dalam kalangan wanita tua. [1]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian diperlukan untuk memahami peranan mangan dalam mengekal dan meningkatkan kesihatan tulang.
2. Mempunyai Ciri-ciri Antioksidan yang Kuat
Badan kita menggunakan mangan untuk menghasilkan enzim antioksidan yang dipanggil superoksida dismutase (SOD).
Jika anda kekurangan mangan, badan anda berkemungkinan rendah dengan kandungan SOD ini.
Keadaan ini tidak bagus kerana SOD ialah salah satu antioksidan yang kuat yang boleh mencegah kerosakan sel-sel akibat daripada radikal bebas.
SOD secara khususnya membantu memerangi kesan negatif radikal bebas dengan menukar superoksida iaitu salah satu radikal bebas yang paling berbahaya kepada molekul yang lebih kecil yang tidak akan merosakkan sel-sel anda.
Satu kajian melaporkan bahawa paras SOD yang rendah dan jumlah antioksidan yang tidak baik memainkan peranan yang lebih besar terhadap risiko penyakit jantung berbanding paras kolesterol total dan trigliserida. [2]
3. Memainkan Peranan Penting dalam Memetabolismekan Nutrien-nutrien
Mangan juga memainkan peranan penting dalam metabolisme nutrien-nutrien seperti protein dan karbohidrat.
Tambahan lagi, mangan membantu pencernaan dan penggunaan protein dan asid amino. Ia juga turut membantu memetabolismekan kolesterol. [3]
Selain itu, mangan juga turut membantu badan menggunakan beberapa jenis vitamin seperti vitamin B1, vitamin C, vitamin E dan kolina.
4. Menyokong Fungsi Otak yang Sihat
Kebaikan mangan juga turut meliputi kesihatan otak. Hal ini demikian kerana otak menggunakan mangan untuk membantu sel-sel saraf (neuron) menghantar isyarat antara satu sama lain.
Kajian semula pada tahun 2020 melaporkan bahawa mangan boleh meningkatkan fungsi otak. [4]
Kepekatan mangan dalam otak yang bersesuaian adalah penting untuk memastikan fungsi kognitif yang optimal dan mencegah penyakit mental serta ketidakupayaan pembelajaran.
5. Membantu Luka untuk Cepat Sembuh
Apabila anda mengalami luka, badan anda perlu menghasilkan kolagen untuk membantu anda sembuh.
Kolagen ialah protein yang memberikan bentuk dan kekuatan kepada kebanyakan tisu badan termasuk tulang, ligamen, otot dan kulit.
Badan anda memerlukan mangan untuk menghasilkan prolin iaitu asid amino yang kemudiannya digunakan untuk membuat kolagen.
Kebaikan mangan ini dapat dilihat dalam satu kajian yang menunjukkan bahawa rawatan luka yang mengandungi mangan, kalsium dan zink boleh mempercepatkan penyembuhan luka yang serius. [5]
6. Membantu Mengurangkan Keradangan
Melalui peranan mangan dalam menghasilkan antioksidan yang kuat iaitu superoksida dismutase (SOD), mineral ini juga boleh mengurangkan keradangan termasuklah keradangan sendi seperti osteoartritis.
Kajian melaporkan bahawa gabungan antara mangan dan glukosamina serta kondroitin boleh mengurangkan kesakitan akibat osteoartritis. [6]
Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa SOD berpotensi sebagai agen terapeutik bagi gangguan keradangan. [7]
7. Menyokong Kesihatan Tiroid
Mangan ialah kofaktor untuk pelbagai enzim. Ini bermakna ia membantu enzim-enzim tersebut untuk berfungsi dengan betul di dalam badan.
Mangan juga memainkan peranan dalam penghasilan tiroksina iaitu hormon yang penting untuk fungsi kelenjar tiroid.
Oleh sebab itu, kekurangan mineral mangan boleh menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai hipotiroid.
Hipotiroid boleh menyumbang kepada kenaikan berat badan dan ketidakseimbangan hormon. [8]
Rumusan
Mangan adalah mineral penting yang memainkan peranan yang kritikal dalam pelbagai aspek kesihatan manusia.
Daripada pembentukan tulang yang sihat hingga kepada fungsi otak yang optimal, kekurangan mangan boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan yang serius.
Oleh itu, penting untuk memastikan pengambilan mangan yang mencukupi melalui pemakanan yang seimbang termasuk makanan seperti kekacang, bijirin, dan sayur-sayuran hijau.
Rujukan
- Strause, L. et al. (1994). Spinal bone loss in postmenopausal women supplemented with calcium and trace minerals. The Journal of nutrition.
- Zawadzka-Bartczak E. (2005). Activities of red blood cell anti-oxidative enzymes (SOD, GPx) and total anti-oxidative capacity of serum (TAS) in men with coronary atherosclerosis and in healthy pilots. Medical science monitor.
- Chen, P. et al. (2018). Manganese metabolism in humans. Frontiers in bioscience.
- Balachandran, R. C. et al. (2020). Brain manganese and the balance between essential roles and neurotoxicity. The Journal of biological chemistry.
- Ziegler, U. E. et al. (2003). [Treatment of chronic wounds with an alginate dressing containing calcium zinc and manganese]. Fortschritte der Medizin. Originalien.
- Das, A., Jr, & Hammad, T. A. (2000). Efficacy of a combination of FCHG49 glucosamine hydrochloride, TRH122 low molecular weight sodium chondroitin sulfate and manganese ascorbate in the management of knee osteoarthritis. Osteoarthritis and cartilage.
- Yasui, K., & Baba, A. (2006). Therapeutic potential of superoxide dismutase (SOD) for resolution of inflammation. Inflammation research.
- Soldin, O. P., & Aschner, M. (2007). Effects of manganese on thyroid hormone homeostasis: potential links. Neurotoxicology.