Semasa hamil, anda boleh mengalami anemia. Anemia semasa hamil bermakna darah anda tidak mempunyai sel-sel darah merah sihat yang mencukupi untuk membawa oksigen ke tisu-tisu badan dan bayi anda.
Semasa hamil, badan anda menghasilkan lebih banyak darah untuk menyokong tumbesaran bayi dalam kandungan. Sekiranya anda tidak mendapatkan zat besi atau nutrien tertentu secara mencukupi, badan anda mungkin tidak dapat menghasilkan sel-sel darah merah yang mencukupi bagi memenuhi keperluan tambahan tersebut.
Adalah normal untuk mengalami anemia ringan semasa kehamilan. Tetapi, anda boleh mengalami anemia yang teruk sekiranya kekurangan zat besi, vitamin atau sebab-sebab lain.
Jenis-jenis Anemia Semasa Mengandung
Beberapa jenis anemia yang boleh berlaku semasa kehamilan adalah:
- Anemia kekurangan zat besi: Anemia ini berlaku akibat badan tidak mempunyai zat besi yang mencukupi untuk menghasilkan jumlah hemoglobin yang mencukupi.
- Anemia kekurangan folat: Folat adalah vitamin yang sangat diperlukan diperlukan semasa kehamilan bagi mencegah kecacatan lahir. Folat juga diperlukan untuk menghasilkan sel-sel baru termasuklah sel-sel darah merah.
- Anemia kekurangan vitamin B12: Vitamin B12 adalah vitamin yang diperlukan oleh badan untuk menghasilkan sel-sel darah merah yang sihat.
Adakah Normal untuk Mengalami Anemia Semasa Mengandung?
Ya. Hal ini demikian kerana isipadu darah meningkat semasa kehamilan. Anemia ringan adalah normal.
Kekurangan zat besi adalah paling lazim berlaku dalam kehamilan. Kira-kira 52% wanita hamil di negara-negara membangun tidak mendapatkan zat besi yang mencukupi. Anemia yang teruk jarang-jarang berlaku.
Kesan Anemia Terhadap Bayi Dalam Kandungan
Bayi dalam kandungan anda bergantung kepada anda untuk mendapatkan mineral zat besi, vitamin B12 dan asid folik.
Anemia boleh menjejaskan pertumbuhan bayi anda terutamanya semasa trimester pertama. Sekiranya anemia tidak dirawat, bayi anda berisiko tinggi untuk mengalami anemia selepas lahir yang seterusnya boleh membawa masalah perkembangan.
Anemia juga boleh meningkatkan risiko untuk anda melahirkan bayi pramatang dan berat lahir rendah.
Simptom-simptom atau Gejala
Anemia semasa kehamilan boleh menyebabkan simptom-simptom seperti berikut:
- Kelesuan
- Sejuk
- Sesak nafas
- Pening
- Rasa lemah
- Denyutan jantung laju
- Sakit kepala
- Kulit menjadi pucat atau senang lebam
- Luka pada lidah
- Sindrom kaki resah
- Sukar memberikan tumpuan
Punca
Kehamilan itu sendiri sebenarnya penyebab anemia kerana peningkatan isipadu darah. Selain itu, punca-punca lain yang sering menyebabkan anemia semasa kehamilan adalah akibat kekurangan zat besi, vitamin B12 dan asid folik (folat).
Punca-punca lain yang berlaku kepada orang yang tidak hamil juga boleh menyebab anemia semasa kehamilan seperti:
- Kerap menderma darah
- Haid yang teruk (sebelum hamil)
- Ulser dan polip
- Anemia sel sabit
- Talasemia
Bagaimana untuk Merawat Anemia Semasa Mengandung?
Rawatan untuk anemia semasa hamil bergantung kepada keterukannya.
- Anemia ringan hingga sederhana: Selalunya anemia tahap ini dirawat dengan pengambilan suplemen vitamin pranatal atau zat besi.
- Anemia teruk: Anda mungkin memerlukan transfusi darah.
Bagaimana Mencegah Anemia Semasa Kehamilan?
Langkah-langkah untuk mencegah anemia semasa kehamilan adalah mendapatkan zat besi, vitamin B12 dan asid folik (folat) yang mencukupi.
Selain mengambil vitamin pranatal setiap hari, perubahan diet harian juga boleh membantu mencegah masalah ini.
Contohnya pengambilan makanan-makanan seperti:
- Daging merah
- Poultri (ayam dan itik)
- Ikan
- Telur
- Sayur-sayuran berdaun hijau
- Kekacang
- Buah-buahan
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Anemia During Pregnancy. Cleveland Clinic.
- Abu-Ouf, N. M., & Jan, M. M. (2015). The impact of maternal iron deficiency and iron deficiency anemia on child’s health. Saudi medical journal.
- Uscher, J. (2022). Anemia in Pregnancy. WebMD