Daun belalai gajah terkenal dengan khasiat serta manfaat farmakologinya. Ia semakin banyak digunakan dalam produk komersil. Namun begitu, sejauh mana anda tahu akan khasiat daun atau pokok belalai gajah ini?
Bagi mengetengahkan lagi khasiat dan kebaikan tumbuhan herba ini, artikel ini akan menjelaskan kepada anda khasiat daun belalai gajah dalam aspek perubatan tradisional dan moden termasuklah kajian-kajian yang berkaitan.
Pokok belalai gajah atau nama saintifiknya Clinacanthus nutans (C. nutans) adalah spesies tumbuhan herba yang telah lama digunakan dalam perubatan tradisional di Asia.
Pokok belalai gajah turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti “snake grass” (Inggeris), Sabah snake grass (Inggeris), “payayor” atau “slaed pang pon” (Thai) dan “daun dandang gendis” atau “kitajam” (Jawa).
Kementerian Kesihatan Awam Thailand telah menganggap tumbuhan ini sebagai ubat utama untuk rawatan keradangan dan lesi kulit yang disebabkan oleh virus.
Manakala di Malaysia pula, tumbuhan ini mula mendapat perhatian para saintis pada tahun 2011 di mana banyak kajian telah dijalankan.
Khasiat Daun Belalai Gajah dalam Perubatan Tradisional
Pokok belalai gajah telah dimanfaatkan secara tradisional sejak sekian lama di pelbagai wilayah di Asia.
Perubatan Tradisional di Malaysia
Di Malaysia, biasaya daun belalai gajah yang segar akan direbus dan airnya diminum sebagai teh herba.
Selain itu, daun belalai gajah juga dipercayai boleh merawat pelbagai jenis kanser dan boleh membantu mengeluarkan pelbagai toksin di dalam badan.
Cara Rawatan
- Campur 1/4 jus lemon dan masukkan bersama daun belalai gajah.
- Selepas itu, masukkan sebiji epal hijau yang sudah dibuang kulit dan dikisar halus dan terus diminum.
- Jangan dibiarkan lebih dari 5 minit kerana khasiatnya akan hilang.
- Jika badan terasa sejuk campurkan sedikit hirisan halia. Paling cepat berkesan jika diminum jam 4 pagi.
Perubatan Tradisional di Thailand
Di Thailand, ekstrak alkohol daun belalai gajah segar digunakan secara sapuan untuk merawat ruam kulit, gigitan ular dan serangga, lesi kayap dan herpes.
Ia juga terkenal di Thailand sebagai ubat antibisa ular dalam kalangan pengamal perubatan tradisional.
Selain itu, daun belalai gajah ini juga turut digunakan untuk merawat disentri oleh pengamal perubatan tradisional Thailand.
Perubatan Tradisional di Indonesia
Di Indonesia pula, daun belalai gajah turut digunakan secara tradisional untuk merawat disentri, diabetes, kanser, gigitan ular, jangkitan kulit, disuria dan demam.
Cara Rawatan
- Rebus segenggam daun belalai gajah segar menggunakan 5 gelas air.
- Rebus sehingga paras air surut kepada kira-kira 3 gelas air.
- Air rebusan tersebut diminum dalam dos 1 gelas setiap kali.
Bagi merawat diabetes pula,
- Rebus 7-21 helai daun belalai gajah segar menggunakan 2 gelas air.
- Rebus sehingga paras air menjadi satu gelas.
- Minum 2 kali sehari.
Bagi merawat disuria (kesukaran atau kesakitan semasa kencing),
- Rebus 15 gram daun belalai gajah yang segar selama 15 minit.
- Minum setiap hari.
Perubatan Tradisional di China
Di China, keseluruhan tumbuhan belalai gajah ini digunakan dalam pelbagai cara untuk merawat keadaan keradangan seperti hematoma, kontusi, terseliuh dan sakit otot-otot serta sendi.
Khasiat Daun Belalai Gajah Berdasarkan Kajian Perubatan Moden
Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan untuk mengetahui khasiat daun belalai gajah dalam perubatan moden.
Antaranya adalah seperti berikut:
1. Boleh Merawat Kayap atau Cacar Air
Kayap dan cacar air (chickenpox) adalah dua penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus varisela-zoster (VZV).
Belalai gajah didapati berkhasiat dalam membantu merawat jangkitan yang disebabkan oleh virus varisela-zoster ini.
Satu ujian klinikal terhadap 51 orang pesakit yang dijangkiti VZV mendapati formulasi topikal yang mengandungi belalai gajah mendapati krim yang mengandungi belalai gajah berjaya menyembuhkan lesi atau luka serta mengurangkan kesakitan yang dialami oleh pesakit. [1]
2. Boleh Merawat Herpes
Jangkitan herpes atau virus herpes simpleks (HSV) ialah jangkitan yang lazimnya menyebabkan herpes oral dan alat kelamin.
Kajian menunjukkan bahawa daun belalai gajah mempunyai aktiviti antivirus terhadap kedua-dua serotip virus herpes simpleks iaitu HSV-1 dan HSV-2. [2]
3. Bersifat Antikanser
Seperti amalan perubatan tradisional, kajian-kajian moden juga turut mendapati daun belalai gajah mempunyai potensi yang besar untuk digunakan dalam perawatan kanser.
Satu kajian semula melaporkan bahawa ekstrak belalai gajah termasuklah ekstrak daun belalai gajah menunjukkan aktiviti-aktiviti antikanser yang kuat terhadap sel-sel kanser payudara, kanser serviks, kanser usus besar (kolorektal), kanser gastrik, kanser hati, kanser paru-paru, kanser limfoma, leukemia, kanser kepala dan leher serta kanser kulit. [3]
Potensi ini menunjukkan bahawa belalai gajah mempunyai khasiat atau manfaat yang besar dalam pencegahan dan perawatan kanser.
4. Boleh Mengurangkan Keradangan
Daun belalai gajah juga turut berkhasiat dalam membantu mengurangkan keradangan yang disebabkan oleh gigitan serangga atau tindak balas alahan.
Satu kajian pada 2014 mendapati ekstrak etanol bahagian atas pokok belalai gajah mempunyai aktiviti antiradang dengan merencatkan penghasilan radikal bebas dan pelepasan enzim elastase. [4]
Radikal bebas boleh menyebabkan keradangan manakala pelepasan enzim elastase juga turut dikaitkan dengan keradangan. Perencatan kedua-dua bahan ini boleh mengurangkan atau mencegah keradangan.
Terdapat juga kajian awal yang menunjukkan ekstrak daun belalai gajah boleh membantu mengurangkan keradangan pada otak. [5]
5. Kaya dengan Antioksidan
Daun belalai gajah juga turut kaya dengan antioksidan. Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Satu kajian melaporkan bahawa ekstrak daun belalai gajah boleh mengurangkan penghasilan radikal bebas. [6]
5. Boleh Merawat Ulser Mulut Berulang (Ulser Afta)
Daun belalai gajah juga turut berkhasiat dalam membantu merawat ulser mulut yang berlaku secara berulang-ulang.
Satu kajian yang melibatkan 43 orang pelajar yang mengalami stomatitis afta (ulser mulut) mendapati penggunaan ekstrak belalai gajah dalam ubat kebas boleh memberikan penyembuhan yang lebih baik berbanding plasebo. [7]
6. Boleh Membantu Mencegah Rintangan Insulin
Rintangan insulin ialah apabila sel-sel dalam otot, lemak dan hati anda tidak bertindak balas dengan baik terhadap insulin dan sukar mengambil glukosa (gula) daripada darah anda.
Akibatnya, pankreas anda menghasilkan lebih banyak insulin untuk membantu glukosa memasuki sel anda.
Rintangan insulin adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada pembentukan diabetes.
Satu kajian pada 2016 mendapati ekstrak daun belalai gajah boleh mencegah rintangan insulin bagi mereka yang mengamalkan diet tinggi lemak dan kolesterol. [8]
Walau bagaimanapun, pengkaji mencadangkan penilaian lebih lanjut dilakukan terhadap potensi belalai gajah dalam menguruskan rintangan insulin.
Rumusan
Khasiat pokok atau daun belalai gajah tidak boleh dinafikan lagi. Selain penggunaannya dalam perubatan tradisional, perubatan moden juga turut menyokong bahawa tumbuhan herba ini mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat.
Daun belalai gajah didapati berkesan dalam merawat jangkitan virus, berpotensi mencegah dan merawat kanser, mengurangkan keradangan dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Sangkitporn, S. et al. (1995). Treatment of herpes zoster with Clinacanthus nutans (bi phaya yaw) extract. Journal of the Medical Association of Thailand.
- Janwitayanuchit, W. et al. (2003). Synthesis and anti-herpes simplex viral activity of monoglycosyl diglycerides. Phytochemistry.
- Lin, C. M. et al. (2021). Recent Advancement in Anticancer Activity of Clinacanthus nutans (Burm. f.) Lindau. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Tu, S. F. et al. (2014). Chemical constituents and bioactivities of Clinacanthus nutans aerial parts. Molecules.
- Ahmad Azam, A. et al. (2020). The anti-neuroinflammatory effects of Clinacanthus nutans leaf extract on metabolism elucidated through 1H NMR in correlation with cytokines microarray. PloS one.
- Pannangpetch, Patchareewan et al. (2007). Antioxidant activity and protective effect against oxidative hemolysis of Clinacanthus nutans (Burm.f) Lindau. Songklanakarin Journal of Science and Technology.
- Alam, A. et al. (2016). Clinacanthus nutans: A review of the medicinal uses, pharmacology and phytochemistry. Asian Pacific journal of tropical medicine.
- Sarega, N. et al. (2016). Effects of phenolic-rich extracts of Clinacanthus nutans on high fat and high cholesterol diet-induced insulin resistance. BMC complementary and alternative medicine.