Influenza merupakan sejenis jangkitan pada saluran pernafasan yang biasanya disebabkan oleh virus influenza sama ada jenis A, B atau C. Di negara yang beriklim sejuk, virus influenza jenis A dan B biasanya akan menyebabkan jangkitan epidemik bermusim terutamanya sewaktu musim luruh, sejuk dan bunga. Sebaliknya di Malaysia yang beriklim tropika, influenza boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Influenza boleh dijangkiti oleh seseorang melalui titisan air daripada salur pernafasan pesakit yang batuk atau bersin. Selain itu, jangkitan juga boleh merebak melalui sentuhan pada permukaan yang telah tercemar dengan virus influenza.

Gejala-gejala dan Komplikasi Jangkitan Influenza
Setiap individu termasuklah individu yang sihat berisiko menghidap influenza.
Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa golongan warga emas yang berusia lebih 65 tahun, wanita hamil, individu yang mempunyai sejarah penyakit kronik (asma, diabetes, hipertensi) dan kanak-kanak yang berumur bawah 5 tahun lebih berisiko untuk menghidap influenza yang lebih teruk.
Gejala influenza adalah hampir sama dengan selesema biasa. Antaranya adalah:
- Demam
- Batuk
- Sakit tekak
- Sakit kepala
- Sakit-sakit otot dan keletihan yang dialami dalam tempoh 1-4 hari selepas dijangkiti
Lazimnya, pesakit yang dijangkiti akan sembuh dalam masa seminggu namun tanda-tanda lain seperti batuk dan keletihan mungkin akan berlanjutan hingga melebihi dua minggu.
Namun begitu, sesetengah pesakit yang lebih berisiko berkemungkinan mengalami gejala yang lebih serius.
Influenza turut berisiko menyebabkan komplikasi yang agak teruk seperti jangkitan di bahagian hidung dan telinga.
Selain itu, terdapat juga pesakit yang mengalami komplikasi yang lebih serius, contohnya seperti:
- Pneumonia (jangkitan paru-paru)
- Myocarditis (keradangan jantung)
- Encephalitis (keradangan otak)
- Kegagalan fungsi buah pinggang.
Pencegahan bagi Influenza
Terdapat pelbagai langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mengurangkan penularan influenza. Antaranya termasuklah:
- Vaksin influenza: Suntikan vaksin influenza yang bertujuan untuk mencegah golongan berisiko tinggi daripada dijangkiti virus influenza. Vaksin influenza ini bertindak dengan merangsang penghasilan antibodi semula jadi badan untuk melawan jangkitan virus influenza. Jenis vaksin influenza yang terdapat dalam pasaran termasuklah jenis quadrivalent (vaksin bertindak terhadap 4 subjenis virus) dan juga trivalent (vaksin bertindak terhadap 3 subjenis virus). Suntikan vaksin ini boleh didapati di klinik atau hospital swasta.
- Menjaga kebersihan diri: Orang awam disaran untuk mengamalkan langkah mencuci tangan yang betul dengan menggunakan sabun dan air, atau menggunakan pensanitasi tangan sebagai alternatif. Orang awam dan pesakit yang bergejala harus sentiasa menggunakan pelitup muka ketika berada di tempat awam serta mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul.
Rawatan bagi Jangkitan Influenza
Secara umumnya, tiada rawatan yang khusus untuk influenza. Kebanyakan rawatan yang diberikan bertujuan untuk mengurangkan gejala jangkitan.
Sebagai contoh, pesakit akan diberi ubat demam atau ubat tahan sakit untuk mengurangkan gejala demam dan sakit-sakit badan.
Selain itu, pesakit juga dinasihatkan untuk minum air dengan mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi tubuh.
Sekiranya gejala jangkitan tidak berkurangan atau bertambah teruk, pesakit hendaklah segera mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan yang berdekatan.
Pesakit berisiko tinggi yang mengalami gejala influenza yang serius mungkin akan diberikan ubat antivirus oleh doktor untuk mengelakkan komplikasi daripada berlaku.
Ubat antivirus seperti oseltamivir dan zanamivir merupakan antara jenis ubat yang digunakan untuk merawat influenza yang dihidapi oleh individu berisiko tinggi.
Ubat antivirus ini perlu diambil dua kali sehari untuk tempoh lima hingga sepuluh hari.
Ubat oseltamivir berisiko menyebabkan kesan sampingan seperti rasa loya, muntah, sakit kepala dan sakit perut.
Setiap Individu Boleh Membantu Mengelakkan Penularan Influenza
Influenza boleh dicegah melalui suntikan vaksin dan langkah pencegahan lain yang disarankan. Individu yang mempunyai gejala hendaklah mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut daripada doktor.
Sekiranya telah diberikan ubat antivirus oleh doktor, pesakit hendaklah mengambil ubat tersebut seperti yang diarahkan.
Kenali ubat anda, sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum).
Rujukan
- Uyeki, T. M. et al. (2019). Clinical Practice Guidelines by the Infectious Diseases Society of America: 2018 Update on Diagnosis, Treatment, Chemoprophylaxis, and Institutional Outbreak Management of Seasonal Influenza. Clinical infectious diseases.
- Centers for Disease Control and Prevention. (2022). Influenza (Flu).

Syakiroh Ismail
Puan Syakiroh Binti Ismail ialah pegawai farmasi di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis.