Kehamilan adalah satu fasa yang penuh dengan harapan dan cabaran bagi setiap wanita. Dalam tempoh ini, penjagaan kesihatan menjadi keutamaan bukan sahaja untuk ibu, malah untuk perkembangan bayi dalam kandungan. Oleh itu, pengambilan ubat semasa kehamilan sering menjadi persoalan penting—sama ada ia selamat, perlu atau berisiko.
Satu kajian yang dijalankan di Malaysia mendapati bahawa terdapat 81.4% wanita yang hamil mengambil sekurang-kurangnya satu jenis ubat semasa hamil. Ubat-ubatan perlu diambil untuk memastikan kesihatan ibu dan bayi adalah pada tahap optimum.
Perubahan fisiologi tubuh ketika hamil boleh mempengaruhi cara ubat bertindak dalam badan, menjadikan pemilihan dan penggunaan ubat sesuatu yang perlu diberi perhatian serius.

Antara keadaan yang memerlukan seseorang wanita hamil mengambil ubat adalah untuk merawat gejala loya dan muntah, masalah anemia, jangkitan kuman serta untuk mengawal penyakit kronik yang dihidapi sebelum atau semasa kehamilan seperti diabetes dan hipertensi.
Jenis-jenis Ubat yang Lazimnya Diambil oleh Wanita Hamil
1. Ubat Tahan Muntah
Sebahagian besar wanita hamil akan mengalami gejala loya dan muntah terutamanya pada fasa awal kehamilan yang disebabkan oleh perubahan paras hormon.
Wanita hamil perlu mengambil ubat tahan muntah untuk mengelakkan dehidrasi di dalam badan yang boleh membahayakan ibu dan kandungannya.
Ubat seperti metoclopramide serta kombinasi meclozine dan pyridoxine sering digunakan untuk mengatasi masalah ini.
2. Ubat untuk Mencegah Anemia
Lebih daripada satu pertiga wanita hamil cenderung mengalami masalah anemia, iaitu suatu keadaan apabila paras hemoglobin dalam darah menjadi rendah.
Antara komplikasi anemia kepada ibu mengandung termasuklah kelesuan, loya dan muntah, kesukaran bernafas dan risiko pendarahan semasa bersalin.
Komplikasi kepada bayi pula ialah kelahiran pramatang, kurang berat sewaktu kelahiran dan gangguan fungsi kognitif.
Di Malaysia, terdapat pelbagai jenama ubat untuk mencegah anemia yang boleh diambil oleh wanita hamil selepas mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi.
Ubat-ubatan untuk mencegah anemia lebih dikenali dalam kalangan orang awam sebagai ubat tambah darah.
Antara faktor pemilihan ubat ini termasuklah bacaan paras hemoglobin dan tahap penerimaan pesakit serta ketersediaan ubat tersebut.
Ubat-ubatan untuk mencegah anemia mengandungi zat besi (ferrous fumarate atau ferrous sulphate) bersama-sama bahan lain seperti asid folik, zink, vitamin A, B dan C.
Wanita hamil perlu mengambil ubat ini bagi memastikan paras hemoglobin di dalam darah mencukupi untuk keperluan ibu dan bayi.
Di samping itu, asid folik juga penting dalam pembentukan saraf bayi dan dapat mengurangkan risiko spina bifida.
3. Ubat Antibiotik
Isu lain yang sering dihadapi oleh wanita hamil ialah risiko terdedah kepada jangkitan bakteria. Perkara ini disebabkan oleh sistem pertahanan badan yang rendah, perubahan fisiologi dan paras hormon.
Keadaan ini memerlukan wanita hamil untuk mengambil ubat antibiotik seperti yang diarahkan oleh doktor untuk merawat jangkitan yang dialami.
Jangkitan bakteria tidak boleh diambil ringan oleh wanita hamil kerana jangkitan tersebut bukan hanya boleh menjangkiti ibu, malah bayi dalam kandungan.
4. Ubat Antidiabetes
Statistik daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan bahawa terdapat peningkatan wanita hamil yang menghidap diabetes iaitu 27.1% pada tahun 2022 berbanding 12.5% pada tahun 2016.
Wanita hamil yang mengalami masalah diabetes akan dirawat dengan ubat seperti metformin atau suntikan insulin.
Paras gula di dalam darah hendaklah dipastikan sentiasa terkawal bagi mengelakkan komplikasi kepada bayi seperti bayi membesar secara berlebihan dalam kandungan, kelahiran pramatang dan kematian.
Paras gula yang tinggi turut menjejaskan kesihatan ibu seperti boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, meningkatkan risiko jangkitan bakteria dan risiko eklampsia (komplikasi serius preeklampsia yang tidak dirawat dan boleh menyebabkan sawan).
5. Ubat Antihipertensi dan Aspirin
Sebilangan wanita hamil turut berisiko menghidap hipertensi. Antara faktor yang dikaitkan dengan risiko hipertensi adalah seperti obesiti, diabetes, kehamilan bayi kembar dan sejarah hipertensi sebelum kehamilan.
Wanita hamil yang menghidap hipertensi akan dimulakan oleh doktor dengan ubat antihipertensi seperti methyldopa, labetalol dan nifedipine untuk mengawal tekanan darah.
Wanita hamil juga diberikan ubat aspirin untuk mengurangkan komplikasi eklampsia.
Kawalan tekanan darah yang baik adalah penting kepada ibu dan bayi dalam kandungan. Wanita hamil terdedah kepada risiko eklampsia, strok, kegagalan fungsi buah pinggang dan hati sekiranya tekanan darah tidak terkawal secara berterusan.
Kelahiran pramatang, kurang berat badan sewaktu kelahiran dan kematian pula merupakan risiko kepada bayi.
Risiko Pengambilan Ubat Tertentu Semasa Kehamilan
Ubat-ubatan dikelaskan kepada beberapa kategori berdasarkan tahap risikonya kepada kehamilan. Senarai kategori tersebut adalah seperti yang berikut:
- Kategori A: Ubat yang selamat digunakan semasa kehamilan.
- Kategori B: Ubat yang masih selamat digunakan oleh manusia walaupun kajian ke atas haiwan masih tidak menunjukkan risiko yang jelas.
- Kategori C: Ubat yang berisiko memberi kesan kepada bayi tanpa menyebabkan kecacatan.
- Kategori D: Ubat yang dijangka akan atau telah dilaporkan memberi kesan mudarat serta kecacatan kepada bayi.
- Kategori X: Ubat yang berisiko tinggi menyebabkan kecacatan kepada bayi.
Sewaktu trimester pertama kehamilan, pembentukan dan perkembangan organ bayi sedang berlaku.
Oleh sebab itu, pengambilan sesetengah ubat perlu dielakkan kerana berisiko mengganggu pembentukan organ.
Wanita hamil juga perlu terus berwaspada dengan pengambilan ubat pada trimester kedua dan ketiga kerana terdapat sebilangan jenis ubat yang dapat merentasi plasenta dan seterusnya memberi kesan kepada bayi dalam kandungan.
Antara kesan yang dikhuatiri berlaku sekiranya ubat diambil sewenang-wenangnya ialah kecacatan kepada bayi, kelahiran bayi pramatang dan perkembangan intelektual bayi yang terjejas.
Terdapat juga ubat yang boleh menyebabkan keguguran dan perdarahan kepada ibu yang seterusnya boleh meragut nyawa ibu dan bayi.
Nasihat untuk Wanita Hamil
Pengambilan ubat yang selamat dapat membantu wanita hamil mengekalkan tahap kesihatan pada tahap yang optimum serta mengelakkan kesan yang tidak diingini kepada bayi dalam kandungan.
Mereka hendaklah sentiasa berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan termasuklah suplemen kesihatan dan sediaan tradisional.
Selain itu, wanita hamil juga disaran untuk membaca label ubat sebelum mengambil ubat-ubatan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Rujukan
- Alani, A. H. H. D. A. et al. (2020). Use, Awareness, Knowledge and Beliefs of Medication During Pregnancy in Malaysia. Osong public health and research perspectives.
- Soma-Pillay, P. et al. (2016). Physiological changes in pregnancy. Cardiovascular journal of Africa.
- Dude, C., & Jamieson, D. J. (2021). Assessment of the Safety of Common Medications Used During Pregnancy. JAMA.
- Lee, N. M., & Saha, S. (2011). Nausea and vomiting of pregnancy. Gastroenterology clinics of North America.
- Haniff, J. et al. (2007). Anemia in pregnancy in Malaysia: a cross-sectional survey. Asia Pacific journal of clinical nutrition.
- Zulkiply, S.H. et al. (2024). Prevalence and factors associated with gestational diabetes mellitus in Malaysia: a population-based study comparing 2016 and 2022. BMC Public Health.
- Beech, A., & Mangos, G. (2021). Management of hypertension in pregnancy. Australian prescriber.