Apa itu Spina Bifida?
Spina bifida ialah kecacatan lahir yang berlaku apabila tulang belakang dan saraf tunjang tidak terbentuk dengan sempurna. Ia adalah sejenis kecacatan tiub saraf.
Tiub saraf adalah struktur dalm janin yang sedang berkembang yang kemudiannya menjadi otak bayi, saraf tunjang dan tisu-tisu yang menutupnya.
Kebiasaannya, tiub saraf terbentuk pada awal kehamilan iaitu hampir dengan hari ke-28 konsepsi (perjaninan). Bagi bayi yang mengalami kecacatan ini, sebahagian tiub saraf tidak tertutup atau terbentuk sepenuhnya menyebabkan masalah dalam saraf tunjang dan tulang belakang.
Tahap keterukan penyakit ini bergantung kepada jenis kecacatan, saiz, lokasi dan komplikasi. Sekiranya diperlukan, rawatan awal mungkin melibatkan pembedahan.
Jenis-jenis
Terdapat tiga jenis spina bifida yang paling biasa iaitu:
- Mielomeningosele (Myelomeningocele): Mielomeningosele adalah bentuk spina bifida yang paling serius. Ia melibatkan keadaan di mana kantung bendalir keluar melalui bukaan di tulang belakang bayi. Sebahagian saraf tunjang dan saraf dalam kantung ini telah rosak. Spina bifida jenis ini menyebabkan kecacatan sederhana hingga teruk.
- Meningocele: Penghidap meningocele mempunyai kantung bendalir yang terjulur keluar dari belakang bayi. Tetapi saraf tunjang tidak berada di dalam kantung ini. Biasanya tiada atau hanya sedikit kerosakan saraf yang berlaku.
- Spina Bifida Occulta: Spina bifida jenis ini adalah jenis yang paling ringan. Saraf tunjang adalah normal. Hanya sebahagian kecil tulang yang tidak bertaup. Lapisan kulit yang menutupi kecacatan ini juga adalah normal.
Punca yang Menyebabkan Spina Bifida
Punca yang menyebabkan spina bifida tidak diketahui tetapi ada beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko untuk bayi menghidap penyakit ini.
Antaranya adalah:
- Pengambilan asid folik yang rendah semasa mengandung
- Mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap spina bifida
- Pengambilan ubat tertentu seperti valproic acid yang digunakan untuk mencegah sawan semasa mengandung.
- Peningkatan suhu badan semasa awal kehamilan akibat demam, sauna atau tab panas.
- Obesiti semasa pra-kehamilan boleh meningkatan risiko kepada kecacatan tiub saraf.
Gejala dan Tanda-tanda
Gejala dan tanda-tanda spina bifida berbeza-beza mengikut jenis dan keterukannya. Antaranya adalah:
Myelomeningocele
- Selepas lahir, kemungkinan kelihatan benjolan di bahagian belakang. Ia adalah penonjolan saraf tunjang atau meninges melalui ruang pembukaan di tulang belakang.
- Saiz kepala yang besar atau ukuran lilitan kepala membesar
Meningocele
- Sistem usus dan pundi kencing yang tidak berfungsi.
Spina bifida occulta
- Perubahan warna kulit, lekok ,ketulan tisu lemak yang lembut atau tompokan rerambut akan dapat dilihat di bahagian belakang.
Beberapa gejala dan tanda-tanda lain yang boleh diperhatikan adalah:
- Sakit dibahagian bawah belakang.
- Bahagian anggota kaki adalah lemah atau lumpuh.
- Hilang deria rasa dibahagian yang terlibat.
- Lemah dalam pembelajaran.
Rawatan
Tidak semua bayi yang dilahirkan dengan spina bifida mempunyai keperluan yang sama, jadi rawatan akan berbeza untuk setiap orang.
Sesetengah bayi atau kanak-kanak mempunyai masalah yang lebih serius daripada yang lain. Kanak-kanak yang menghidap myelomeningocele dan meningocele akan memerlukan lebih banyak rawatan berbanding penghidap spina bifida occulta.
Pembedahan
Sekiranya seorang bayi dilahirkan dengan kecacatan yang terbuka , pembedahan dilakukan secepat mungkin. Saraf tunjang dan meninges yang terkeluar akan dimasukkan ke tempatnya dengan berhati-hati.
Pembedahan semula mungkin diperlukan apabila kanak-kanak membesar. Ini adalah disebabkan saraf tunjang dan tulang belakang membesar pada kadar yang berbeza dan boleh menyebabkan dan boleh menyebabkan tisu saraf terperangkap.
Hidrosefalus
Ramai bayi yang dilahirkan dengan spina bifida mendapat hidrosefalus (sering dipanggil air pada otak). Ini bermakna terdapat cecair tambahan di dalam dan di sekeliling otak.
Cecair tambahan boleh menyebabkan ruang dalam otak, dipanggil ventrikel, menjadi terlalu besar dan kepala boleh membengkak. Hidrosefalus perlu diikuti dengan teliti dan dirawat dengan betul untuk mengelakkan kecederaan otak.
Jika bayi dengan spina bifida menghidap hidrosefalus, pirau (shunt) mungkin diperlukan untuk mengalirkan cecair yang berlebihan tersebut. Pirau (shunt) ialah tiub berongga kecil yang akan membantu mengalirkan cecair dari otak bayi dan melindunginya daripada terlalu banyak tekanan.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. What is Spina Bifida?
- Mayo Clinic Staff. (2022). Spina Bifida. MayoClinic https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/spina-bifida/symptoms-causes/syc-20377860