Apa itu Obesiti?
Obesiti ialah penyakit kompleks yang melibatkan jumlah lemak badan yang berlebihan. Obesiti bukan hanya masalah kosmetik. Ia adalah masalah perubatan yang meningkatkan risiko penyakit dan masalah kesihatan lain seperti penyakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi dan kanser.
Lelaki dikatakan obes sekiranya mempunyai kadar lemak berlebihan sebanyak 25%. Manakala, wanita pula dikatakan obes apabila mempunyai kadar lemak berlebihan sebanyak 35%.
Obesiti boleh diukur menggunakan pengiraan Body Mass Index (BMI) atau Indeks Jisim Badan. BMI adalah indeks pengukuran berat badan berbanding dengan ketinggian.
Tetapi BMI bukanlah segala-galanya. Ia mempunyai beberapa had sebagai metrik.
Menurut CDC, faktor seperti umur, jantina, etnik, dan jisim otot boleh mempengaruhi hubungan antara BMI dan lemak badan. Selain itu, BMI tidak membezakan antara lemak berlebihan, otot atau jisim tulang dan juga tidak memberikan sebarang petunjuk tentang pengagihan lemak dalam kalangan individu.
Meskipun terdapat kekangan ini, BMI terus digunakan secara meluas sebagai cara untuk mengukur saiz badan.
Simptom-simptom Obesiti
BMI sering digunakan untuk mendiagnosis obesiti. Untuk mengira BMI, gunakan formula berikut:
- BMI = Berat (kg) / Tinggi ² (m²)
BMI | Klasifikasi |
---|---|
Dibawah 18.5 | Kurang berat badan |
18.5 hingga 25.0 | Normal |
25.0 hingga 30.0 | Berlebihan berat badan |
30.0 hingga 35.0 | Obesiti Kelas 1 |
35.0 hingga 40.0 | Obesiti Kelas 2 |
Diatas 40.0 | Obesiti Kelas 3 (Turut dikenali sebagai morbid, ekstrem atau obesiti teruk) |
Bagi kebanyakan orang, BMI memberikan anggaran lemak badan yang munasabah. Walau bagaimanapun, BMI tidak mengukur secara langsung lemak badan, jadi sesetengah orang seperti atlet berotot mungkin mempunyai BMI dalam kategori obesiti walaupun mereka tidak mempunyai lemak badan yang berlebihan.
Ramai juga doktor menggunakan ukur lilit pinggang untuk membantu dalam menentukan rawatan. Lelaki yang mempunyai ukur lilit pinggang 40 inci ke atas dan wanita yang mempunyai ukur lilit pinggang 35 inci ke atas mempunyai masalah kesihatan berkaitan dengan berat.
Punca
Obesiti berlaku apabila anda mengambil lebih banyak kalori berbanding kalori yang anda bakar melalui aktiviti harian biasa dan senaman. Badan anda menyimpan kalori berlebihan ini sebagai lemak.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara lain yang turut mempengaruhi obesiti. Antaranya adalah:
- Genetik
- Hormon
- Tingkah laku
- Metabolik
Faktor Risiko
Terdapat juga beberapa faktor risiko lain yang turut boleh menyumbang kepada obesiti. Contohnya adalah:
- Keturunan atau pengaruh keluarga: Genetik yang anda warisi daripada ibu bapa boleh mempengaruhi jumlah lemak badan yang anda simpan dan di mana lemak itu diagihkan. Genetik juga boleh memainkan peranan dalam seberapa cekap badan anda menukar makanan kepada tenaga, cara badan anda mengawal selera makan dan bagaimana badan anda membakar kalori semasa bersenam.
- Gaya hidup: Pemakanan yang tidak sihat, minuman manis dan tidak aktif adalah faktor-faktor yang turut menyumbang kepada obesiti.
- Ubat-ubatan dan penyakit: Terdapat penyakit yang boleh menyumbang kepada obesiti seperti sindrom Prader-Willi, sindrom Cushing, atau penyakit artritis. Ubat-ubat seperti ubat antisawan, antidepresan, diabetes atau antipsikotik juga boleh membawa kepada kenaikan berat badan.
- Usia: Meskipun obesiti boleh berlaku pada usia kanak-kanak, tetapi peningkatan usia menyebabkan perubahan hormon dan kurang aktif. Ini boleh menyebabkan penambahan berat badan.
- Kehamilan: Penambahan berat badan adalah biasa semasa kehamilan. Cuma, sesetengah wanita mendapati sukar untuk menurunkan berat badan selepas bayi dilahirkan.
- Kurang tidur: Kurang tidur menyebabkan perubahan hormon yang meningkatkan selera makan.
- Tekanan (stres): Sesetengah orang yang sering tertekan akan mencari makanan atau makan secara berlebihan untuk mengurangkan stres mereka.
- Berhenti merokok: Berhenti merokok sering dikaitkan dengan penambahan berat badan terutamanya bagi mereka yang menggunakan makanan sebagai ganti kepada rokok. Walau bagaimanapun, berhenti merokok adalah lebih baik untuk kesihatan.
- Bakteria usus: Bakteria usus akan terjejas mengikut jenis makanan yang anda makan dan boleh menyumbang kepada penambahan berat badan atau kesukaran untuk mengurangkan berat.
Rawatan
Matlamat rawatan adalah untuk mencapai dan mengekalkan berat badan yang sihat. Secara tidak langsung, ia akan menambah baik kesihatan secara keseluruhannya dan mengurangkan risiko kepada penyakit-penyakit kronik.
Perubahan Diet (Pemakanan)
Sesetengah diet seperti diet Atkins atau diet Keto boleh menyebabkan pengurangan berat badan yang cepat. Walau bagaimanapun, sesetengah orang mungkin mengalami kesukaran untuk mengekalkan diet tersebut dalam jangka masa yang panjang dan mungkin mendatangkan risiko tertentu.
Pengurangan berat badan yang stabil dalam jangka masa panjang dianggap sebagai cara paling selamat untuk menurunkan berat badan dan cara terbaik untuk menurunkannya secara kekal.
Beberapa amalan atau perubahan terhadap pemakanan yang boleh anda lakukan adalah:
- Mengurangkan pengambilan kalori: Untuk menurunkan berat badan, anda mestilah mengurangkan pengambilan kalori harian. Anda boleh menggunakan alat ini untuk mengira kalori harian yang anda perlukan.
- Elakkan makanan yang manis: Makanan seperti ini tinggi dengan kalori dan gula.
- Banyakkan makan sayur-sayuran, buah-buahan, dan bijian penuh: Makanan-makanan ini tinggi dengan antioksidan, vitamin, mineral dan serat diet. Makanan yang tinggi serat diet membantu anda kenyang dengan lebih lama.
- Pilih lemak yang sihat: Lemak seperti minyak zaitun, minyak sawit merah atau minyak kacang adalah antara pilihan lemak yang baik.
Aktiviti Fizikal
Meningkatkan aktiviti fizikal turut penting dalam perawatan obesiti.
- Senaman: Penghidap obesiti perlu melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana seminggu untuk mengelakkan penambahan berat badan yang lebih lanjut atau untuk mengekalkan penurunan berat badan yang sederhana.
- Kerap bergerak: Bergerak dengan lebih banyak boleh membantu membakar lebih kalori.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan untuk mengurangkan berat badan mestilah digunakan bersama-sama dengan diet, senaman dan perubahan gaya hidup.
Jika perlu, doktor akan mempreskripsikan ubat-ubat berikut untuk merawat obesiti:
- Orlistat
- Phentermine-topiramate
- Liraglutide
- Bupropion-naltrexone
Pembedahan
Pembedahan mengurangkan berat badan akan mengehadkan jumlah makanan yang anda boleh makan dengan selesa atau mengurangkan penyerapan makanan dan kalori. Meskipun begitu, ia boleh menyebabkan kekurangan vitamin dan mineral tertentu.
Antara pembedahan pengurangan berat badan yang lazim adalah:
- Pengikat perut boleh laras: Kaedah ini membahagikan perut kepada dua bahagian.
- Pembedahan pintasan perut (gastrik): Dalam prosedur ini, pakar bedah mencipta kantung kecil di bahagian atas perut. Usus kecil kemudian dipotong di bawah perut utama dan disambungkan ke kantung baru.
- Gastric sleeve: Dalam prosedur ini, sebahagian daripada perut dikeluarkan, mewujudkan takungan yang lebih kecil untuk makanan. Ia adalah pembedahan yang kurang rumit daripada pintasan gastrik.
Komplikasi
Mereka yang menghidap obesiti berkemungkinan mengalami beberapa masalah kesihatan yang serius, termasuklah:
- Penyakit jantung
- Strok
- Penyakit kencing manis (diabetes jenis 2)
- Kanser tertentu
- Masalah penghadaman
- Apnea tidur
- Osteoartritis
- Simptom COVID-19 yang teruk