Bagi peminat korea, sudah tentu anda selalu melihat babak-babak yang menunjukkan mereka makan kaki ayam. Jadi, apa yang menyebabkan mereka suka kaki ayam? Apakah khasiat kaki ayam yang mungkin kita tidak tahu?
Bagi merungkai persoalan ini, kami ulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat atau kebaikan kaki ayam yang mungkin anda masih belum mengetahuinya.
Bagi sesetengah orang, mereka tidak menyukai kaki ayam. Biasanya, mereka akan membuang kaki ayam sepertimana yang dilakukan kepada kepala atau usus ayam.

Bagi masyarakat di sesetengah buah negara seperti Korea, Vietnam, Mexico, Afrika Selatan, Jamaica dan Trinidad, kaki ayam adalah hidangan istimewa.
Kaki ayam sebenarnya turut mempunyai khasiat kepada kesihatan. Khasiat kaki ayam ini disumbang oleh kandungan kolagennya yang tinggi.
Walau bagaimanapun, beberapa faktor lain seperti cara penyediaan atau jenis masakan kaki ayam ini mungkin boleh mempengaruhi khasiat kaki ayam tersebut.
Khasiat Kaki Ayam
1. Mengandungi Zat Makanan yang Berkhasiat
Kaki ayam kebanyakannya terdiri daripada tisu penghubung seperti rawan, tendon, kulit dan tulang.
Menariknya juga, kaki ayam ini masih mengandungi zat-zat makanan yang berkhasiat dan penting untuk fungsi badan.
Bagi 100 gram kaki ayam yang direbus, terdapat zat-zat makanan seperti berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 215 kcal
- Protein: 19.4 gram
- Kalsium: 88 miligram
- Zat besi: 0.91 miligram
- Magnesium: 5 miligram
- Fosforus: 83 miligram
- Zink: 0.7 miligram
- Selenium: 3.6 mikrogram
- Vitamin B2: 0.2 miligram
- Vitamin B3: 0.4 miligram
- Folat: 86 mikrogram
- Vitamin B12: 0.47 mikrogram
- Vitamin A: 30 mikrogram
- Vitamin E: 0.27 miligram
Kira-kira 70% daripada protein yang terkandung dalam kaki ayam adalah kolagen. [2]
Kaki ayam juga turut tinggi dengan kandungan folat (vitamin B9) yang penting untuk menghasilkan DNA dan mencegah kecacatan janin bagi wanita hamil.
Kaki ayam juga turut tinggi dengan lemak seperti lemak tepu, lemak monotaktepu dan lemak politaktepu. Kandungan lemak taktepu bagi kaki ayam lebih tinggi daripada lemak tepu.
2. Meningkatkan Kesihatan dan Kecantikan Kulit
Kaki ayam boleh membantu meningkatkan kesihatan dan kecantikan kulit. Khasiat kaki ayam ini disumbang oleh kandungan kolagennya.
Kolagen boleh membantu meningkatkan penghidratan kulit, mengurangkan kekasaran, meningkatkan keanjalan dan ketumpatan kulit.
Satu kajian semula yang melibatkan 11 kajian melaporkan bahawa pengambilan kolagen secara sementara atau dalam jangka masa panjang menunjukkan kesan yang baik terhadap penyembuhan luka dan penuaan kulit. [3]
Satu kajian lain terhadap 105 orang wanita yang mengalami selulit mendapati pengambilan kolagen secara kerap boleh mengurangkan selulit dan kedutan kulit. [4]
3. Membantu Mencegah Kelesapan Tulang
Kandungan kolagen dan kalsium dalam kaki ayam juga boleh meningkatkan ketumpatan kulit dan mencegah kelesapan tulang.
Satu kajian yang melibatkan 39 orang wanita pascamenopaus mendapati pengambilan suplemen kalsium-kolagen menunjukkan pengurangan terhadap kelesapan tulang berbanding kumpulan kawalan. [5]
4. Membantu Mengurangkan Sakit Sendi
Kolagen di dalam kaki ayam juga boleh membantu mengurangkan sakit sendi.
Penyelidikan mencadangkan bahawa kolagen boleh merangsang pertumbuhan semula tisu untuk mengurangkan gejala-gejala osteoartritis (penyakit sendi degeneratif tanpa radang).
Satu kajian yang melibatkan 191 pesakit osteoartritis lutut (sakit sendi lutut) melaporkan bahawa pengambilan kolagen yang diperolehi daripada rawan ayam boleh mengurangkan tanda-tanda seperti kesakitan, kekejangan dan disfungsi fizikal. [6]
5. Berpotensi Membantu Mengawal Gula Darah
Protein daripada kaki ayam juga berpotensi dalam membantu mengawal gula darah terutamanya kepada pesakit kencing manis (diabetes jenis 2).
Satu kajian terhadap haiwan mendapati protein daripada kaki ayam boleh membantu menambah baik paras gula darah dengan merangsang hormon yang mengaktifkan penghasilan insulin. [7]
Kekurangan atau Keburukan Kaki Ayam
Cara masak atau penyediaan kaki ayam mempengaruhi khasiat atau kebaikan kaki ayam.
1. Lemak Trans
Sekiranya kaki ayam dimasak dengan cara menggoreng, ia boleh meningkatkan potensi untuk terhasilnya lemak trans atau asid lemak trans.
Sekiranya minyak masak dipanaskan pada suhu antara 200°C hingga 240°C secara berpanjangan boleh meningkatkan kandungan lemak trans. [8]
Lemak trans boleh meningkatkan keradangan, meningkatkan kolesterol total, trigliserida dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) serta mengurangkan kolesterol HDL (kolesterol baik).
Ini boleh meningkatkan risiko kepada aterosklerosis iaitu pembentukan plak di dalam arteri dan serangan jantung. [9, 10]
2. Faktor Kebersihan
Apabila membeli kaki ayam, pastikan anda memeriksanya dengan teliti.
Kaki ayam yang kelihatan kotor atau mempunyai kulit yang terbakar akibat ammonia (warna hitam) menunjukkan pengurusan kebersihan yang lemah.
Anda harus buang atau elakkan kaki ayam yang melecur akibat ammonia, yang kelihatan seperti kematu yang terlalu besar.
Biasanya, ia disebabkan oleh ayam yang berdiri di atas najisnya sendiri.
Rumusan
Sekiranya anda seorang penggemar kaki ayam, ketahuilah bahawa kaki ayam mempunyai khasiat yang tersendiri.
Kaki ayam kaya dengan kandungan kolagen (protein), kalsium dan folat. Kolagen boleh membantu meningkatkan kesihatan kulit, melegakan sakit sendi, mencegah kelesapan tulang dan membantu mengawal gula darah.
Walau bagaimanapun, elakkan menggoreng kaki ayam secara kerap bagi menggelakkan lemak trans. Sebaliknya, memasak kaki ayam dalam bentuk sup adalah lebih sihat.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Chicken, feet, boiled
- Santana, J. C. C. et al. (2020). Valorization of Chicken Feet By-Product of the Poultry Industry: High Qualities of Gelatin and Biofilm from Extraction of Collagen. Polymers.
- Choi, F. D. et al. (2019). Oral Collagen Supplementation: A Systematic Review of Dermatological Applications. Journal of drugs in dermatology.
- Schunck, M. et al. (2015). Dietary Supplementation with Specific Collagen Peptides Has a Body Mass Index-Dependent Beneficial Effect on Cellulite Morphology. Journal of medicinal food.
- Elam, M. L. et al. (2015). A calcium-collagen chelate dietary supplement attenuates bone loss in postmenopausal women with osteopenia: a randomized controlled trial. Journal of medicinal food.
- Lugo, J. P. et al. (2016). Efficacy and tolerability of an undenatured type II collagen supplement in modulating knee osteoarthritis symptoms: a multicenter randomized, double-blind, placebo-controlled study. Nutrition journal.
- Casanova-MartÃ, À. et al. (2019). Antihyperglycemic effect of a chicken feet hydrolysate via the incretin system: DPP-IV-inhibitory activity and GLP-1 release stimulation. Food & function.
- Bhat, S. et al. (2022). Influence of Heating during Cooking on Trans Fatty Acid Content of Edible Oils: A Systematic Review and Meta-Analysis. Nutrients.
- Dalainas, I., & Ioannou, H. P. (2008). The role of trans fatty acids in atherosclerosis, cardiovascular disease and infant development. International angiology.
- Karbowska, J., & Kochan, Z. (2011). [Trans-fatty acids–effects on coronary heart disease]. Polski merkuriusz lekarski.
Nur Arifah ialah seorang penulis bebas yang mempunyai minat dalam bidang kesihatan, pemakanan dan gaya hidup. Beliau mempunyai latar belakang bidang sains dan telah menulis sejak 2016.