Setiap kali tiba musim durian, mungkin menjadi satu tanda tanya atau persoalan bagi pesakit gout sama ada boleh atau tidak untuk mereka makan durian?
Jawapan ringkasnya adalah boleh tetapi mestilah terkawal. Keenakkan buah durian mungkin menyebabkan anda memakannya secara berlebihan.
Untuk keterangan lanjut, sila ikuti penjelasan di bawah.

Gout adalah salah satu bentuk keradangan sendi (artritis) yang berlaku apabila terlalu banyak asid urik yang terkumpul dan terbentuk pada sendi-sendi badan.
Gout selalunya menyebabkan gejala-gejala seperti sakit, bengkak dan keradangan pada sendi.
Sesetengah makanan boleh menjadi pencetus kepada serangan gout dengan meningkatkan paras asid urik dalam badan.
Makanan yang boleh mencetuskan gout ini terdiri daripada makanan yang tinggi dengan purina (purine) iaitu sebatian semula jadi yang terdapat dalam makanan.
Purina ini akan ditukarkan kepada asid urik selepas dimetabolismekan yang kemudiaannya bertindak sebagai antioksidan dan membantu mencegah kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.
Walau bagaimanapun, paras asid urik yang terlalu tinggi dalam badan boleh menyebabkan gout dan meningkatkan risiko kepada penyakit kardiovaskular.
Bagi individu yang sihat, mereka tidak mempunyai masalah untuk menyingkirkan asid urik yang berlebihan daripada badan.
Tetapi bagi pesakit gout, mereka tidak dapat menyingkirkan lebihan asid urik dengan berkesan. Akibatnya asid urik ini akan berkumpul dan mencetuskan gout.
Durian Rendah dengan Purina
Buah durian adalah salah satu buah yang rendah dengan kandungan purina iaitu sebanyak 75 mg bagi setiap 100 gram. [1]
Ini berdasarkan satu pengelasan yang dilakukan oleh penyelidik dari Teikyo University, Jepun. [2]
Justeru itu, bagi pesakit gout yang ingin makan durian, anda boleh berbuat demikian tanpa berasa bimbang.
Meskipun begitu, anda disarankan untuk memakan durian pada kuantiti yang terkawal dan tidak secara berlebihan.
Buah-buah Lain yang Rendah Purina
Terdapat banyak buah-buahan lain yang rendah dengan purina, bahkan lebih rendah daripada buah durian. Antaranya adalah:
- Buah anggur
- Buah nanas
- Buah epal
- Buah pir
- Buah tembikai
- Buah pic
- Buah oren
- Buah lemon
- Buah ceri
- Buah strawberi
- Buah Kiwi
- Buah ara atau tin
Rumusan
Secara ringkasnya, buah durian adalah dikategorikan sebagai buah yang rendah dengan kandungan purina.
Ia tidak akan menyebabkan peningkatan paras asid urik yang tinggi bagi pesakit gout. Justeru itu, pesakit gout boleh memakan buah ini.
Rujukan
- Zou, F., Zhao, X., & Wang, F. (2021). A review on the fruit components affecting uric acid level and their underlying mechanisms. Journal of food biochemistry.
- Kaneko, K. et al. (2014). Total purine and purine base content of common foodstuffs for facilitating nutritional therapy for gout and hyperuricemia. Biological & pharmaceutical bulletin.