Penyakit gout adalah penyakit yang menunjukkan tren peningkatan sejak 50 tahun yang lalu. Walaupun terdapat ubat moden yang boleh merawat gout, mungkin ada dalam kalangan kita yang lebih memilih untuk merawat gout tanpa menggunakan ubat tersebut.
Penjagaan makanan adalah kunci utama untuk mengurangkan risiko berlakunya gout atau serangan gout yang berulang-ulang.
Tambahan daripada itu, terdapat juga tumbuhan perubatan yang mempunyai potensi dalam membantu merawat penyakit gout ini.
Artikel ini menyenaraikan 6 tumbuhan yang boleh membantu merawat penyakit gout berdasarkan kajian-kajian.
Penyakit gout sebenarnya boleh dikelaskan sebagai penyakit artritis yang berpunca daripada pengumpulan asid urik pada sendi dan tisu lembut di sekeliling sendi.
Penyakit gout ini menyebabkan keradangan, kebengkakan dan kesakitan yang datang secara tiba-tiba pada sendi, terutamanya sendi-sendi yang besar.
Keradangan yang berlaku dicetuskan oleh interaksi antara asid urik dengan tisu-tisu badan semasa proses pemecahan molekul purin oleh enzim xantina oksidase.
Purin adalah sebatian kimia yang terdapat dalam makanan yang ditukarkan kepada asid urik dalam badan.
Terdapat kajian-kajian yang dijalankan mendapati terdapat sesetengah tumbuhan perubatan di Malaysia yang mempunyai potensi dalam merawat penyakit gout. Ini berdasarkan ciri-ciri tumbuhan ini yang boleh merencatkan aktiviti enzim xantina oksidase.
Antara tumbuhan-tumbuhan tersebut adalah:
1. Peria atau Peria Katak
Buah peria atau peria katak adalah buah yang berpotensi digunakan dalam merawat penyakit gout.
Secara tradisionalnya, jus peria katak digunakan untuk merawat sakit sendi kerana sifat antiradangnya. Dalam konteks merawat penyakit gout, peria katak di dapati mempunyai aktiviti perencatan enzim xantina oksidase yang tinggi.
Ini berdasarkan kajian pada tahun 2014, buah peria katak mempunyai peratusan perencatan aktiviti enzim xantina oksidase tertinggi iaitu sebanyak 97% berbanding tumbuhan yang lain. [1]
Selain itu, buah peria katak juga turut tinggi dengan kandungan antioksidan.
2. Bunga Kekwa
Siapa sangka sebenarnya bunga kekwa juga boleh digunakan untuk merawat penyakit gout. Jika di Malaysia, bunga kekwa mungkin lebih sinonim sebagai tanaman hiasan.
Namun, di China dan Korea, bunga kekwa mempunyai sejarah yang panjang dalam perawatan seperti keradangan, tekanan darah tinggi dan penyakit pernafasan. [2]
Bagi penyakit gout, kajian mendapati ekstrak metanol bunga kekwa boleh merencatkan aktiviti enzim xantina oksidase iaitu sehingga 95%. Ciri-ciri ini dipercayai disumbang oleh kandungan antioksidan di dalam bunga ini iaitu luteolin dan apigenin. [3]
3. Kayu Manis Cina
Kayu Manis Cina atau nama saintifiknya Cinnamomum cassia turut berkhasiat dalam membantu merawat penyakit gout.
Dalam perubatan tradisional Cina, Kayu Manis Cina ini digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan seperti artritis reumatik, batuk, sakit perut, cirit-birit, muntah, asma dan lain-lain. [4]
Kajian sains moden pula mendapati ekstrak metanol ranting Kayu Manis Cina ini didapati boleh merencatkan aktiviti enzim xantina oksidase sehingga 93%. Manakala, kulit pokok Kayu Manis Cina turut boleh merencatkan aktiviti enzim xantina oksidase sehingga 89%. [3, 5]
4. Cekur
Cekur juga merupakan tumbuhan herba yang mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat dalam perubatan.
Secara tradisionalnya, cekur digunakan untuk merawat masalah-masalah kesihatan seperti batuk, demam, sakit kepala, penyakit kulit, sakit sendi, gastrik dan vertigo.
Bagi perawatan penyakit gout, kajian mendapati ekstrak rizom (ubi) cekur boleh merencatkan aktiviti enzim xantina oksidase sehingga 91%. [5]
Ciri-ciri ini menjadikan cekur berpotensi untuk merawat penyakit gout tanpa kebergantungan terhadap ubat moden.
5. Baru Cina
Baru Cina atau nama saintifiknya artemisia vulgaris adalah tumbuhan herba yang berikutnya yang boleh membantu merawat penyakit gout.
Baru Cina turut dikenali dengan nama hia atau mugwort. Herba ini turut kaya dengan pelbagai khasiat seperti mempunyai ciri-ciri antiradang, antioksidan, antihipertensi, antimalaria dan lain-lain. [6]
Ekstrak metanol daun Baru Cina didapati boleh merencatkan aktiviti enzim xantina oksidase sehingga 89%. [5]
6. Mengkudu Hutan / Mengkudu Tahi Ayam
Mengkudu hutan atau mengkudu tahi ayam turut mempunyai khasiat yang bermanfaat kepada anda yang menghidap gout.
Kajian oleh pengkaji dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mendapati ekstrak metanol daun mengkudu hutan boleh merencatkan aktiviti enzim xantina oksidase sehingga 89%. [7]
Ciri-ciri ini menjadikan daun mengkudu hutan berpotensi digunakan untuk merawat penyakit gout.
Rumusan
Tumbuhan perubatan mengandungi sebatian bioaktif dan antioksidan yang boleh digunakan sebagai ubat alternatif atau pelengkap untuk merawat gout tanpa menggunakan ubat moden.
Malah, kira-kira 65-80% penduduk di negara-negara membangun masih menggunakan tumbuhan perubatan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan.
Salah satu cara untuk mengetahui potensi sesuatu tumbuhan dalam perawatan gout adalah melalui penilaian terhadap perencatan enzim xantina oksidase. Perencatan enzim ini boleh menghalang pengumpulan asid urik yang tinggi.
Secara ringkasnya terdapat 6 jenis tumbuhan yang boleh membantu merawat penyakit gout. Walau bagaimanapun, sila dapatkan nasihat daripada doktor sebelum anda mengambil tumbuhan ini bagi mengelakkan kesan advers atau interaksi dengan ubat yang sedang diambil.
Rujukan
- Alsultanee, I. et al. (2014). Novel Natural Anti Gout Medication Extract from Momdica charantia.
- Amitava Dasgupta. (2019). Chapter 4 – Anti-inflammatory Herbal Supplements, Editor(s): Jeffrey K. Actor, Keri C. Smith, In Perspectives in Translational Cell Biology, Translational Inflammation. Academic Press.
- Kong, L. D. et al. (2000). Inhibition of xanthine oxidase by some Chinese medicinal plants used to treat gout. Journal of ethnopharmacology.
- Zhang, C. et al. (2019). Cinnamomum cassia Presl: A Review of Its Traditional Uses, Phytochemistry, Pharmacology and Toxicology. Molecules.
- Nguyen, M. T. et al. (2004). Xanthine oxidase inhibitory activity of Vietnamese medicinal plants. Biological & pharmaceutical bulletin.
- Abiri, R. et al. (2018). Towards a better understanding of Artemisia vulgaris: Botany, phytochemistry, pharmacological and biotechnological potential. Food research international.
- Jamal, P. et al. (2014). Development and improvement of anti-gout property from aqueous-methanol extract of Morinda elliptica using central composite design. Advances in Environmental Biology.