Mungkin ramai yang masih tidak mengetahui khasiat buah ceri untuk kesihatan kita. Warnanya yang berwarna merah hingga merah gelap amat menarik perhatian. Buah ceri ini berbeza dengan buah ceri kampung yang terdapat di Malaysia.
Buah ceri ini berasal daripada keluarga Rosaceae manakala buah ceri kampung yang digemari oleh kanak-kanak di Malaysia pula dari keluarga Muntingiaceae.
Terdapat dua jenis buah ceri iaitu jenis yang rasanya masam serta tajam (tart cherry) dan jenis rasanya yang manis (sweet cherry). Buah ceri yang manis kebiasaannya di makan segar manakala yang masam dijadikan bahan dalam kek dan masakan atau dibuat jus.
Berikut adalah 6 khasiat buah ceri yang disokong oleh kajian sains:
1. Padat dengan Nutrien
Dalam 100 gram buah ceri jenis manis terdapat nutrien seperti berikut:
- Tenaga: 63 kcal
- Protein: 1.06 gram
- Lemak: 0.2 gram
- Karbohidrat: 16.01 gram
- Serat: 2.1 gram
- Kalsium: 13 miligram
- Zat Besi: 0.36 miligram
- Kalium: 222 miligram
- Vitamin C: 7 miligram
- Vitamin B6: 0.05 miligram
- Vitamin K: 2.1 mikrogram
Selain itu, buah ceri juga mempunyai mineral magnesium, fosforus, tembaga dan mangan.
2. Kaya dengan Antioksidan dan Antiradang
Buah ceri manis kaya dengan sebatian fenolik yang memainkan peranan penting dalam mencegah penyakit kronik.
Satu kajian mendapati bahawa kandungan antosianin adalah penyumbang terbesar kepada kapasiti antioksidan dan kesan antiproliferatif (anti percambahan) terhadap sel-sel kanser dalam buah ceri manis. [1]
Selain itu, daripada 10 kajian terhadap manusia. 8 kajian mendapati buah ceri atau produk ceri boleh mengurangkan tekanan oksidatif dan hanya 2 kajian yang tidak menunjukkan apa-apa perubahan. [2]
3. Boleh Meningkatkan Kualiti Tidur
Makan buah ceri atau minum jus ceri masam boleh membantu meningkatkan kualiti tidur anda.
Hal ini demikian kerana, buah ini boleh meningkatkan hormon melatonin iaitu hormon yang membantu mengawal selia kitaran tidur-bangun. [3]
Dalam satu kajian terhadap pesakit tua yang mengalami masalah insomnia (sukar tidur) didapati berlaku peningkatkan masa tidur selama 84 minit dengan pengambilan jus ceri masam sebanyak secawan (240ml). [3]
4. Mempercepatkan Pemulihan Selepas Bersenam
Buah ceri juga didapati berkhasiat dalam membantu mempercepatkan pemulihan selepas bersenam atau bersukan bagi atlet.
Buah ceri masam (tart cherry) dan jusnya kelihatan lebih berkesan berbanding buah ceri manis walaupun kedua-duanya boleh membantu atlet.
Jus ceri masam didapati boleh mengurangkan kesakitan, mempercepatkan pemulihan kekuatan selepas senaman dan menurunkan tanda keradangan atau tekanan oksidatif. [4]
Kajian lain terhadap atlet maraton mendapati jus ceri boleh membantu pemulihan terhadap senaman yang berat dengan meningkatkan kapasiti antioksidan, mengurangkan keradangan, mengurangkan pengoksidaan lipid dan membantu pemulihan fungsi otot. [5]
5. Mengurangkan Gejala-gejala Artritis dan Gout
Buah ceri boleh mengurangkan gejala-gejala artritis (sakit sendi) dan gout kerana sifat antiradangnya.
Gout ialah sejenis artritis yang menyebabkan pengumpulan asid urik yang membawa kepada bengkak, radang dan kesakitan pada sendi.
Satu kajian terhadap 633 individu yang menghidap gout menunjukkan penurunan sebanyak 35% risiko serangan gout selepas mengambil buah ceri dan ekstrak ceri selama dua hari.
Malah, sekiranya pengambilan buah ceri digabung dengan ubat gout, risiko serangan gout menurun sebanyak 75%. [6]
Kajian lain turut mendapati jus buah ceri masam boleh melegakan gejala-gejala osteoartritis lutut. [7]
6. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Buah ceri juga turut berkhasiat dalam membantu menurunkan tekanan darah.
Khasiat buah ceri ini sangat bermanfaat bagi mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi.
Dalam satu kajian kecil terhadap 13 individu, pengambilan sebanyak 300ml jus buah ceri boleh menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik secara ketara dalam masa 2 jam. [8]
Satu kajian lain terhadap wanita yang menghidap penyakit kencing manis mendapati pengambilan 40 gram pati jus ceri masam sehari selama 6 minggu berjaya menurunkan kedua-dua tekanan darah sistolik dan diastolik secara ketara. [9]
Rumusan
Tidak dapat dinafikan lagi, sesungguhnya terdapat banyak khasiat buah ceri yang bermanfaat kepada kesihatan tubuh badan kita.
Selain kaya dengan antioksidan, buah ceri juga bermanfaat kepada penghidap gout, atlet sukan yang dalam proses pemulihan dan lain-lain lagi.
Buah ceri boleh dimakan segar atau dibuat jus. Ia juga boleh dijadikan bahan tambahan dalam yogurt, puding chia, smoothie atau dijadikan salad buah.
Rujukan
- Serra, A.T. et al. (2011). Identification of bioactive response in traditional cherries from Portugal. Food Chemistry.
- Kelley, D. S. et al. (2018). A Review of the Health Benefits of Cherries. Nutrients.
- Howatson, G. et al. (2012). Effect of tart cherry juice (Prunus cerasus) on melatonin levels and enhanced sleep quality. European journal of nutrition.
- Vitale, K. C. et al. (2017). Tart Cherry Juice in Athletes: A Literature Review and Commentary. Current sports medicine reports.
- Howatson, G. et al. (2010). Influence of tart cherry juice on indices of recovery following marathon running. Scandinavian journal of medicine & science in sports.
- Zhang, Y. et al. (2012). Cherry consumption and decreased risk of recurrent gout attacks. Arthritis and rheumatism.
- Schumacher, H. R. et al. (2013). Randomized double-blind crossover study of the efficacy of a tart cherry juice blend in treatment of osteoarthritis (OA) of the knee. Osteoarthritis and cartilage.
- Kent, K. et al. (2016). Acute reduction in blood pressure following consumption of anthocyanin-rich cherry juice may be dose-interval dependant: a pilot cross-over study. International journal of food sciences and nutrition.
- Ataie‐Jafari, A. et al. (2008), “Effects of sour cherry juice on blood glucose and some cardiovascular risk factors improvements in diabetic women: A pilot study”, Nutrition & Food Science,