Sebelum mengetahui makanan-makanan yang dapat menurunkan asid urik, terdapat beberapa perkara yang harus difahami terlebih dahulu oleh pesakit gout atau mereka yang berisiko tinggi untuk menghidap gout.
Asid urik adalah sisa produk semula jadi hasil daripada pencernaan makanan yang mengandungi purin seperti ikan sardin, daging, kacang atau alkohol.
Pada kebiasaannya, badan anda akan menyingkirkan asid urik melalui buah pinggang dan air kencing. Namun, jika anda makan terlalu banyak makanan yang tinggi dengan purin atau badan anda tidak dapat menyingkirkannya, asid urik akan mengumpul di dalam darah.
Keadaan ini akan menyebabkan paras asid urik menjadi tinggi dan boleh membawa kepada penyakit gout dan menyebabkan darah dan air kencing anda menjadi sangat berasid.
Meskipun begitu, diet bukanlah satu-satunya faktor yang menyebabkan pengumpulan asid urik dalam darah. Terdapat beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan pengumpulan asid urik, antaranya adalah:
- genetik
- obesiti atau berat badan berlebihan
- stres
Sesetengah penyakit juga boleh menyebabkan paras asid urik yang tinggi. Contohnya adalah:
- penyakit kencing manis (diebetes)
- penyakit buah pinggang
- psoriasis
- kanser
- hipotiroidisme
Makanan yang Dapat Menurunkan Asid Urik
Pemilihan makanan tertentu dapat membantu menurunkan asid urik secara semula jadi. Langkah yang pertama adalah mengelakkan makanan yang tinggi dengan purin.
Seterusnya, anda boleh memilih makanan-makanan yang dapat membantu menurunkan paras asid urik dalam badan.
1. Elakkan Makanan Tinggi dengan Purin
Mengelakkan atau mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan purin boleh membantu anda menurunkan paras asid urik dalam badan.
Antara makanan yang tinggi dengan purin adalah:
- Organ dalaman haiwan
- Babi
- Ayam belanda
- Ikan bilis
- Ikan sardin
- Kupang
- Daging anak lembu
- Kapis (scallop)
- Parsli
- Cendawan shiitake
- Rumpai laut Nori
- Tauhu
- Buah tin/ara
- Buah kiwi
2. Buah Ceri
Buah ceri terkenal dengan kebolehannya untuk menurunkan asid urik. Bahkan, ia digunakan dalam perubatan tradisional untuk menurunkan asid urik.
Buah ceri mempunyai warna merah pekat yang disumbang oleh sebatian semula jadi yang dipanggil antosianin yang mempunyai sifat antioksidan dan antiradang.
Kajian yang dijalankan terhadap 10 orang wanita sihat mendapati pengambilan 2 hidangan ceri Bing menyebabkan penurunan asid urik dalam darah sebanyak 15% selepas 5 jam pengambilan ceri tersebut. [1]
Kajian lain yang dijalankan terhadap 10 orang peserta yang obes dan mempunyai berat badan berlebihan pula mendapati pengambilan 240ml jus ceri masam sehari selama 4 minggu boleh menurunkan paras asid urik sebanyak 70%. [2]
3. Kopi
Pengambilan kopi juga didapati boleh membantu menurunkan paras asid urik dalam darah dan mengurangkan kekerapan hiperurisemia. Hiperurisemia ialah keadaan asid urik yang berlebihan di dalam darah.
Satu kajian yang melibatkan 2240 orang lelaki yang menjalani pemeriksaan kesihatan mendapati pengambilan kopi boleh menurunkan paras asid urik dalam darah. Mereka yang mengambil 5 cawan kopi atau lebih sehari mempunyai paras asid urik 7% lebih rendah daripada mereka yang minum secawan kopi sehari. [3]
4. Vitamin C
Pengambilan suplemen vitamin C juga boleh membantu menurunkan paras asid urik dalam darah.
Ini dibuktikan dalam satu analisis yang melibatkan 13 kajian. Analisis ini melaporkan bahawa pengambilan suplemen vitamin C sebanyak 500mg sehari boleh menurunkan paras asid urik dengan ketara. [4]
5. Susu dan Produk Tenusu
Susu dan produk tenusu juga merupakan makanan yang dapat membantu menurunkan paras asid urik dalam darah dan mengurangkan risiko terjadinya gout.
Satu kajian melaporkan bahawa peningkatan pengambilan produk tenusu dapat mengurangkan risiko berlakunya gout. [5]
Satu kajian lain melaporkan bahawa pengambilan susu lembu boleh meningkatkan pengumuhan asid urik sebanyak 38%. [6]
6. Makanan Tinggi Serat
Makanan yang tinggi dengan serat juga boleh membantu menurunkan asid urik. Serat boleh mencegah penyerapan purin dalam sistem penghadaman, melambatkan proses penghadaman fruktosa dan melambatkan kadar penyerapan semula dalam usus kecil. [7]
Tambahan itu juga, serat juga turut menggalakkan pengumuhan asid urik di dalam usus.
Antara makanan yang tinggi dengan serat adalah:
- Sayur brokoli
- Oat
- Bayam
- Buah pir
- Buah avokado
- Biji chia
- Kacang badam
- Kacang merah
- Flaxseed
- Coklat pahit
Cara-cara lain untuk Menurunkan Paras Asid Urik
Terdapat beberapa cara lain yang boleh dilakukan untuk menurunkan paras asid urik dalam badan. Antaranya adalah:
- Mengelakkan atau mengehadkan pengambilan makanan manis atau gula tambahan.
- Minum air yang banyak.
- Elakkan alkohol atau berhenti minum alkohol (arak).
- Kurangkan berat badan bagi mereka yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan.
- Kurangkan tekanan (stres).
- Semak ubat atau suplemen yang dimakan, sesetengah suplemen atau ubat mungkin boleh menyebabkan pengumpulan asid urik dalam darah. Contohnya seperti aspirin, diuretik, vitamin B3 atau ubat kemoterapi.
Rujukan
- Jacob, R. A. et al. (2003). Consumption of cherries lowers plasma urate in healthy women. The Journal of nutrition.
- Martin, K.R. et al. (2011). The effect of 100% tart cherry juice on serum uric acid levels, biomarkers of inflammation and cardiovascular disease risk factors. The FASEB Journal.
- Kiyohara, C. et al. (1999). Inverse association between coffee drinking and serum uric acid concentrations in middle-aged Japanese males. The British journal of nutrition.
- Juraschek, S. P. et al. (2011). Effect of oral vitamin C supplementation on serum uric acid: a meta-analysis of randomized controlled trials. Arthritis care & research.
- Choi, H. K. et al. (2004). Purine-rich foods, dairy and protein intake, and the risk of gout in men. The New England journal of medicine.
- Kurajoh, M. et al. (2011). Effects of bovine milk ingestion on urinary excretion of oxypurinol and uric acid. International journal of clinical pharmacology and therapeutics.
- Sun, Y. et al. (2019). Association of dietary fiber intake with hyperuricemia in U.S. adults. Food & function.