Khasiat ikan salmon – Ikan salmon adalah ikan yang berhijrah atau “anadromus” di mana mereka hidup di kedua-dua air masin dan air tawar. Ikan salmon ini dilahirkan di persekitaran air tawar dan menghabiskan masa beberapa bulan atau tahun di persekitaran ini.
Kemudian, ikan salmon akan berhijrah ke laut (air masin). Apabila tiba masa untuk bertelur, ikan ini akan kembali ke sungai (air tawar).
Tidak semua ikan yang boleh hidup dalam air masin dan air tawar seperti ikan salmon. Hal ini kerana apabila ikan air masin terdedah kepada air tawar, ia akan menyebabkan sel-sel ikan ini meletus. Jika ikan air tawar pula terdedah kepada air masin, sel-sel ikan ini akan mengecut.
Terdapat kira-kira 6 spesies ikan salmon iaitu:
- salmon Atlantic
- salmon Chinook
- salmon Chum
- salmon Coho
- salmon Pink
- salmon Sockeye
Selain ditangkap liar, ikan salmon juga turut diternak terutamanya spesies ikan salmon Atlantic yang dilarang dipancing atau ditangkap di persekitaran semulajadinya.
Artikel ini akan berkongsi beberapa khasiat ikan salmon yang bermanfaat kepada kesihatan anda berdasarkan sokongan-sokongan kajian.
1. Kaya dengan Minyak Ikan
Ikan salmon tidak kira yang liar atau yang diternak tinggi dengan kandungan asid lemak Omega-3 atau minyak ikan.
Sepotong (100 gram) ikan salmon ternak mengandungi kira-kira 2.3 gram asid lemak Omega-3 iaitu hampir sama dengan kandungan Omega-3 dalam ikan salmon liar (2.2 gram).[1]
Asid lemak Omega-3 yang terdiri daripada EPA dan DHA ini dikaitkan dengan pelbagai khasiat kepada kesihatan seperti mengurangkan keradangan, mengurangkan risiko kanser, merendahkan tekanan darah dan merendahkan risiko penyakit jantung.
Menariknya lagi, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan ikan berlemak (ikan segar) dilihat mempunyai kesan yang lebih ketara terhadap profil lemak badan berbanding kapsul suplemen minyak ikan. [2]
2. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol yang tinggi dalam badan adalah tidak baik kepada kesihatan kerana boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung.
Pengambilan ikan salmon didapati mempunyai kesan yang positif terhadap paras kolesterol.
Kesan ini dapat dilihat dalam satu kajian yang melibatkan 48 individu dewasa yang sihat dan tidak obes. Pengambilan ikan salmon didapati dapat menurunkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) sebanyak 7% dan paras trigliserida (lemak) sebanyak 15%.
Menariknya lagi, pemakanan ikan salmon ini juga turut membantu meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) sebanyak 5%. [3]
Dalam satu kajian yang membandingkan kesan minyak ikan salmon dengan minyak sayuran pula mendapati pemakanan minyak ikan salmon boleh mengurangkan paras kolesterol sebanyak 13% dan paras trigliserida sebanyak 37%.
Manakala, paras kolesterol LDL dan VLDL (kolesterol jahat) masing-masing turun sebanyak 15% dan 38%. [4]
Ini menunjukkan ikan salmon berkhasiat dalam membantu menurunkan paras kolesterol.
3. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Selain itu, khasiat ikan salmon juga dilihat boleh membantu menurunkan tekanan darah. Tekanan darah tinggi atau hipertensi meningkatkan risiko kepada penyakit jantung dan strok.
Oleh itu, pemakanan terhadap makanan yang boleh membantu menurunkan tekanan darah ini adalah penting untuk mengurangkan risiko terhadap penyakit-penyakit kronik ini.
Kajian terhadap individu yang sihat mendapati pengambilan ikan salmon boleh menurunkan tekanan darah sistolik, diastolik dan purata tekanan darah arteri sebanyak 4%. [3]
Kajian terhadap individu yang obes dan berat badan berlebihan juga mendapati pengambilan ikan berlemak seperti ikan salmon sebanyak 3 kali seminggu boleh mengurangkan tekanan darah diastolik sama seperti suplemen minyak ikan.[5]
4. Sumber Protein yang Baik
Ikan salmon juga adalah sumber protein yang baik.
Protein mempunyai banyak peranan dalam badan. Protein membantu mengekalkan jisim otot, melindungi kesihatan tulang dan membantu penyembuhan badan selepas kecederaan.
Kajian terkini mendapati bahawa untuk kesihatan yang optimum, setiap hidangan perlu mengandungi sekurang-kurangnya 20-30 gram protein yang berkualiti tinggi. [6]
5. Membantu Mengurangkan Keradangan
Beberapa kajian juga mendapati pengambilan lebih banyak ikan boleh membantu mengurangkan penanda-penanda keradangan dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi.
Satu kajian yang melibatkan kira-kira 4100 orang mendapati pemakanan ikan yang kerap dikaitkan dengan penurunan paras sel-sel darah putih yang menjadi kayu ukur untuk mengukur keradangan kronik. [7]
Terdapat juga kajian yang mendapati pengambilan ikan salmon berkesan untuk mengurangkan parameter-parameter keradangan secara ketara. [8]
6. Boleh Melindungi Kesihatan Otak
Ikan berlemak seperti ikan salmon ini juga berkhasiat kepada kesihatan otak.
Ikan berlemak dan minyak ikan didapati boleh mengurangkan simptom-simptom kemurungan, mengurangkan keresahan, melambatkan kemerosotan memori akibat usia dan merendahkan risiko kepada demensia (nyanyuk).
Satu kajian melibatkan 1566 warga tua mendapati pengambilan sekurang-kurangnya 1 hidangan ikan dalam seminggu didapati boleh mengurangkan kadar kemerosotan kognitif. [9]
7. Tinggi dengan Kandungan Selenium
Selenium ialah zat yang diperlukan oleh badan untuk kekal sihat. Selenium adalah penting untuk fungsi kelenjar tiroid, penghasilan DNA, pembiakan dan melindungi badan daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Kajian terhadap 44 orang sukarelawan menunjukkan bahawa pengambilan ikan salmon menyebabkan peningkatan paras selenium dalam darah lebih tinggi daripada pengambilan kapsul minyak ikan salmon. [10]
8. Tinggi dengan Vitamin B12
Ikan salmon juga adalah sumber makanan yang baik untuk mendapatkan vitamin B12. Vitamin B12 hanya boleh diperolehi daripada haiwan dan tiada dalam sayur-sayuran atau tumbuhan.
Vitamin B12 ialah vitamin yang bertanggungjawab memastikan sel-sel darah dan saraf kekal sihat. Vitamin ini juga turut membantu menghasilkan DNA dan mencegah berlakunya anemia megaloblasia iaitu keadaan sumsum tulang menghasilkan sel-sel darah merah yang tidak normal .
Justeru itu, adalah penting untuk mendapatkan vitamin ini bagi mengelakkan simptom-simptom kekurangan seperti keletihan, lemah, sembelit dan hilang selera makan.
9. Baik untuk Kesihatan Mata
Khasiat ikan salmon juga turut merangkumi kesihatan mata. Kandungan vitamin A dalam ikan ini penting untuk fungsi sistem imun, pembiakan dan juga penglihatan.
Kekurangan vitamin A boleh menyebabkan penyakit mata iaitu xeroftalmia. Penyakit ini boleh menyebabkan rabun malam dan buta sekiranya tidak dibendung.
10. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Ikan salmon juga mempunyai khasiat dan manfaat kepada mereka yang ingin mengurangkan berat badan.
Selain agak rendah dengan nilai kalori, pengambilan makanan berprotein tinggi seperti ikan salmon ini boleh membantu mengawal hormon yang mengawal selera makan dan membuatkan anda kenyang lebih lama.
Tambahan lagi, terdapat kajian yang melaporkan bahawa minyak ikan atau Omega-3 dalam ikan salmon atau ikan berlemak lain boleh menggalakkan pengurangan lemak dibahagian perut bagi individu yang memiliki berat badan berlebihan jika digabungkan dengan perubahan gaya hidup. [11]
Rumusan
Ikan salmon adalah salah satu ikan import yang boleh diperolehi di pasaran Malaysia. Ikan salmon adalah sejenis ikan yang unik kerana boleh dihidup di kawasan air masin dan air tawar.
Terdapat banyak khasiat ikan salmon yang boleh diperolehi seperti kaya dengan minyak ikan (Omega-3), baik untuk kesihatan jantung dengan keupayaannya menurunkan paras kolesterol dan tekanan darah, membantu mengurangkan keradangan dan lain-lain lagi.
Bagi mereka yang mampu, anda boleh memanfaatkan khasiat ikan salmon ini dalam diet harian anda.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Zibaeenezhad, M. J. et al. (2017). Comparison of the effect of omega-3 supplements and fresh fish on lipid profile: a randomized, open-labeled trial. Nutrition & diabetes.
- Lara, J. J. et al. (2007). Benefits of salmon eating on traditional and novel vascular risk factors in young, non-obese healthy subjects. Atherosclerosis.
- Harris, W. S. et al. (1983). The comparative reductions of the plasma lipids and lipoproteins by dietary polyunsaturated fats: salmon oil versus vegetable oils. Metabolism: clinical and experimental.
- Ramel, A. et al. (2010). Moderate consumption of fatty fish reduces diastolic blood pressure in overweight and obese European young adults during energy restriction. Nutrition.
- Richter, M. et al. (2019). Revised Reference Values for the Intake of Protein. Annals of nutrition & metabolism.
- Tani, S. et al. (2021). Association among daily fish intake, white blood cell count, and healthy lifestyle behaviors in an apparently healthy Japanese population: implication for the anti-atherosclerotic effect of fish consumption. Heart and vessels.
- Ramel, A. et al. (2010). Effects of weight loss and seafood consumption on inflammation parameters in young, overweight and obese European men and women during 8 weeks of energy restriction. European journal of clinical nutrition.
- Qin, B. et al. (2014). Fish intake is associated with slower cognitive decline in Chinese older adults. The Journal of nutrition.
- Stonehouse, W. et al. (2011). Consumption of salmon v. salmon oil capsules: effects on n-3 PUFA and selenium status. The British journal of nutrition.
- Du, S. et al. (2015). Does Fish Oil Have an Anti-Obesity Effect in Overweight/Obese Adults? A Meta-Analysis of Randomized Controlled Trials. PloS one.