Daging kambing atau daging kambing biri-biri merupakan hidangan yang istimewa bagi masyarakat di negara ini. Mungkin kerana rasanya yang berbeza daripada daging lembu. Daging kambing juga mempunyai kebaikan yang tertentu yang menjadi pelengkap kepada pemakanan yang sihat.
Istilah “lamb” atau “mutton” adalah istilah Inggeris yang lazimnya boleh dijumpai di pasaraya atau restoran. Lamb merujuk kepada daging kambing biri-biri muda manakala mutton pula merujuk kepada daging kambing biri-biri dewasa.
Daging kambing adalah sejenis daging merah yang tinggi dengan kandungan protein yang berkualiti serta nutrien-nutrien yang lain.
Berikut adalah kebaikan-kebaikan daging kambing yang perlu anda tahu:
Fakta Nutrisi
Protein adalah makronutrien yang utama bagi daging kambing. Bagi 100 gram daging kambing mentah bahagian loin (batang pinang) terdapat nutrien-nutrien seperti: [1]
- Kalori: 143 kcal
- Protein: 20.9 gram
- Karbohidrat: 0 gram
- Lemak: 5.9 gram
Protein
Seperti daging merah yang lain, daging kambing adalah sumber utama kepada protein.
Daging kambing mengandungi protein yang berkualiti tinggi dan mengandungi kesemua sembilan asid amino perlu yang diperlukan oleh badan untuk pertumbuhan dan penyelenggaraan.
100 gram daging kambing boleh membekalkan kira-kira 34-36% keperluan protein harian bagi lelaki dewasa di Malaysia.
Oleh itu, pengambilan daging kambing atau daging yang lain bermanfaat terutamanya kepada ahli bina badan, atlet dan mereka yang baru menjalani pembedahan.
Lemak
Daging kambing mempunyai jumlah lemak yang berbeza-beza bergantung bahagian mana yang dimakan atau sebanyak mana ia telah dibuang. Kandungan lemak bagi daging kambing juga bergantung kepada pemakanan, usia dan jantinanya.
Kebaikan daging kambing berbanding daging ruminan yang lain adalah daging kambing mengandungi jumlah lemak trans asid linoleik berkonjugat (CLA) yang tertinggi. [2]
Asid linoleik berkonjugat (CLA) dikaitkan dengan pelbagai khasiat atau kebaikan kepada kesihatan seperti mengurangkan jisim lemak badan serta berpotensi mengurangkan risiko kepada diabetes dan kanser. [3, 4, 5]
Walau bagaimanapun, pengambilan CLA pada jumlah (dos) yang banyak seperti dalam bentuk suplemen boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan. [6]
Vitamin dan Mineral
Selain kandungan protein, daging kambing juga turut mengandungi vitamin dan mineral lain yang bermanfaat kepada badan. Antaranya adalah:
- Kumpulan vitamin B: Daging kambing mengandungi vitamin B1, B2, B3, B5, B6, B9 dan B12. Vitamin B pada umumnya penting bagi badan untuk menukarkan makanan yang dimakan kepada tenaga. Manakala, vitamin B6, B9 (folat) dan B12 juga penting kepada kesuburan wanita.
- Vitamin E: Vitamin E pulak bertindak sebagai antioksidan dan boleh membantu menguatkan sistem imun badan.
- Kalsium: Kalsium adalah mineral yang penting untuk kekuatan tulang dan gigi. Pengambilan kalsium yang mencukupi boleh mengurangkan risiko kepada osteoporosis.
- Zat besi: Zat besi adalah mineral yang sering tidak diperolehi dengan secukupnya. Zat besi penting untuk penghasilan sel-sel darah merah.
- Magnesium: Magnesium juga merupakan mineral yang diperlukan oleh badan untuk kekal sihat. Mineral ini terlibat dalam banyak proses dalam badan termasuklah fungsi otot dan saraf. Magnesium juga turut membantu mengawal paras gula darah dan tekanan darah.
- Fosforus: Fosforus adalah mineral yang banyak terkandung dalam tulang dan gigi manusia. Mineral ini turut diperlukan untuk menghasilkan tenaga.
- Kalium: Kalium atau potassium adalah mineral penting yang diperlukan oleh badan untuk pelbagai fungsi. Kalium juga diperlukan oleh buah pinggang dan jantung untuk berfungsi dengan baik.
- Selenium: Daging kambing turut mengandungi selenium iaitu mineral yang bertindak sebagai antioksidan serta diperlukan untuk menghasilkan DNA, fungsi kelenjar tiroid dan sistem reproduktif.
- Zink: Mineral zink juga turut penting untuk sistem imun badan dan diperlukan untuk pertumbuhan bayi atau kanak-kanak.
Nutrien-nutrien lain
Selain vitamin dan mineral yang dinyatakan di atas, daging kambing turut mengandungi nutrien-nutrien lain yang turut menyumbang kepada khasiat dan kebaikannya. Antaranya adalah:
- Glutation: Glutation adalah antioksidan yang banyak terkandung dalam daging yang terlibat dalam membaiki dan membina tisu badan, mengurangkan tekanan oksidatif dan mengurangkan rintangan insulin. [7]
- Kreatina (creatine): Kreatina adalah sebatian yang dihasilkan oleh badan melalui asid amino daripada daging iaitu glisina dan arginina. Kreatina adalah penting sebagai sumber tenaga kepada otot. Ia boleh membantu dalam pertumbuhan dan kekuatan otot. [8, 9]
- Taurina: Taurina adalah asid amino yang mengandungi sulfur yang boleh dijumpai dalam daging atau makanan laut. Pengambilan taurina melalui pemakanan boleh mendatangkan kebaikan terhadap tekanan darah dan otot. [10, 11]
Kebaikan-kebaikan Daging Kambing yang Lain
Sesetengah orang berpendapat bahawa daging merah seperti daging kambing tinggi dengan kolesterol. Walaupun sesetengahnya benar, namun ia tetap bergantung kepada pemilihan bahagian daging yang ingin dimakan.
Anda masih boleh memilih daging yang pejal berbanding daging yang mengandungi banyak lemak.
Kajian mendapati pengambilan daging kambing pejal (lean meat) mempunyai tindak balas lemak dalam darah yang sama dengan pengambilan daging ayam pejal. Ini menunjukkan bahawa daging kambing pejal boleh disertakan dalam pemakanan yang sihat. [12]
Sekiranya anda mempunyai pilihan, pilihlah daging kambing yang diperolehi daripada kambing yang diberi makan rumput berbanding kambing yang mempunyai diet bercampur-campur.
Hal ini demikian kerana, daging kambing yang diberi makan rumput mempunyai kapasiti antioksidan yang lebih tinggi berbanding daging kambing yang diberi makan makanan yang bercampur-campur. [13]
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Lamb, loin, separable lean only, trimmed to 1/4″ fat, choice, raw
- Mulvihill, B. (2001). Ruminant meat as a source of conjugated linoleic acid (CLA). Nutrition Bulletin.
- Whigham, L. D. et al. (2007). Efficacy of conjugated linoleic acid for reducing fat mass: a meta-analysis in humans. The American journal of clinical nutrition.
- Castro-Webb, N. et al. (2012). Cross-sectional study of conjugated linoleic acid in adipose tissue and risk of diabetes. The American journal of clinical nutrition.
- Białek, A., & Tokarz, A. (2013). [Conjugated linoleic acid as a potential protective factor in prevention of breast cancer]. Postepy higieny i medycyny doswiadczalnej (Online).
- Clément, L. et al. (2002). Dietary trans-10,cis-12 conjugated linoleic acid induces hyperinsulinemia and fatty liver in the mouse. Journal of lipid research.
- Pathak, D. (2013). Correcting glutathione deficiency improves impaired mitochondrial fat burning, insulin resistance in aging. Baylor College of Medicine.
- Nissen, S. L., & Sharp, R. L. (2003). Effect of dietary supplements on lean mass and strength gains with resistance exercise: a meta-analysis. Journal of applied physiology.
- Rawson, E. S., & Volek, J. S. (2003). Effects of creatine supplementation and resistance training on muscle strength and weightlifting performance. Journal of strength and conditioning research.
- Sun, Q. et al. (2016). Taurine Supplementation Lowers Blood Pressure and Improves Vascular Function in Prehypertension: Randomized, Double-Blind, Placebo-Controlled Study. Hypertension.
- Kurtz, J. A. et al. (2021). Taurine in sports and exercise. Journal of the International Society of Sports Nutrition.
- Mateo-Gallego, R. et al. (2012). Effect of lean red meat from lamb v. lean white meat from chicken on the serum lipid profile: a randomised, cross-over study in women. The British journal of nutrition.
- Luo, Y. et al. (2019). Meat quality, fatty acids, volatile compounds, and antioxidant properties of lambs fed pasture versus mixed diet. Food science & nutrition.