Cendawan atau kulat telah menjadi sebahagian daripada diet manusia selama berabad-abad lamanya. Ia terkenal dengan nilai nutrisi yang tinggi dan tekstur yang unik. Terdapat pelbagai jenis cendawan yang boleh dimakan, antaranya ialah cendawan butang, shiitake, enoki, maitake, dan cendawan tiram. Kesemuanya menawarkan rasa yang tersendiri, menjadikannya bahan serba guna dalam pelbagai masakan di seluruh dunia.
Namun, penting untuk diingat bahawa tidak semua cendawan selamat dimakan, kerana terdapat spesies cendawan beracun yang menyerupai cendawan yang boleh dimakan. Oleh itu, pengenalpastian yang tepat amat penting, terutamanya jika memetik cendawan liar.
Cendawan yang boleh dimakan bukan sahaja lazat, tetapi juga kaya dengan nutrien penting seperti protein, serat, vitamin D, serta mineral seperti selenium dan kalium. Ia juga rendah kalori, menjadikannya pilihan makanan yang sesuai untuk mereka yang ingin menjaga kesihatan.

Artikel ini menyenaraikan 10 jenis cendawan yang boleh dimakan dan kebanyakannya mudah untuk didapati di pasaran.
Berikut adalah cendawan-cendawan yang boleh dimakan berserta khasiatnya:
1. Cendawan Butang
Cendawan butang atau nama saintifiknya Agaricus bisporus ialah cendawan yang banyak dijual di pasaran.
Cendawan ini turut dikenali dengan nama cendawan portobello.
Cendawan butang kaya dengan pelbagai nutrien dan ia juga turut mengandungi antioksidan. Antioksidan ini boleh melindungi badan daripada tekanan oksidatif yang menyumbang kepada penyakit-penyakit kronik.
Selain itu, cendawan ini juga turut berpotensi dalam membantu menurunkan paras kolesterol dan paras gula darah serta bersifat antikanser.
2. Cendawan Shiitake
Cendawan shiitake atau nama saintifiknya Lentinus edodes ialah cendawan yang sinonim dengan masyarakat di Jepun, Korea dan China.
Kini, cendawan ini telah banyak diusahakan secara komersial di seluruh dunia. Selain dijadikan makanan, cendawan shiitake turut dijadikan bahan dalam perubatan tradisional.
Pengambilan cendawan shiitake dilaporkan boleh membantu menguatkan sistem imun, baik untuk kesihatan jantung, boleh melawan kanser dan mencegah kecacatan kognitif.
3. Cendawan Enoki
Cendawan enoki atau turut dikenali sebagai cendawan enokitake atau enokidake sememangnya popular di negara ini.
Secara saintifiknya ia dikenali sebagai Flammulina filiformis.
Walaupun bentuknya yang kecil, cendawan enoki sebenarnya mempunyai khasiat yang memberangsangkan.
Cendawan enoki berpotensi dalam mencegah dan merawat kanser, baik untuk kesihatan jantung, otak dan menguatkan sistem imun badan.
4. Cendawan Tiram
Cendawan tiram atau nama saintifiknya Pleurotus ostreatus adalah cendawan yang kedua popular di pasaran cendawan.
Cendawan ini turut mempunyai banyak khasiat dalam pemakanan dan perubatan. Cendawan tiram kaya dengan antioksidan yang boleh melindungi badan daripada radikal bebas.
Selain itu, cendawan tiram juga didapati mempunyai kesan yang baik terhadap kesihatan jantung, menguatkan imun badan, baik untuk penghadaman, bersifat antikanser, dan boleh membantu mengawal paras gula darah.
5. Cendawan Volvariella
Cendawan volvariella atau cendawan jerami padi ialah cendawan yang banyak diusahakan di Asia Tenggara.
Cendawan volvariella boleh menjadi sumber makanan yang berkhasiat kerana kandungan nutrien yang tinggi.
Selain menjadi sumber makanan, cendawan Volvariella juga dipercayai mempunyai khasiat atau nilai-nilai terapeutik yang menarik seperti antitumor, sumber antioksidan, antiradang, antimikrob dan lain-lain lagi.
6. Cendawan Susu Harimau
Cendawan susu harimau atau cendawan susu rimau lebih dikenali sebagai cendawan yang digunakan untuk tujuan perubatan.
Pada asalnya, cendawan susu harimau yang tumbuh liar sukar untuk ditemui kerana ia tumbuh di hutan dan secara tunggal.
Di Malaysia, masyarakat orang asli suku Semai, Temuan dan Jakun menggunakan cendawan susu harimau untuk merawat asma, batuk, keracunan makanan, sakit sendi, bengkak payudara, penyakit hati, bengkak bahagian badan dan sebagai tonik.
Manakala, kajian-kajian perubatan moden mendapati cendawan susu harimau boleh membantu merawat asma, bertindak sebagai pencair darah, berpotensi mencegah kanser, dan membantu sistem penghadaman.
7. Cendawan Ganoderma
Cendawan ganoderma atau ganoderma lucidum sudah semestinya tidak asing lagi dalam dunia perubatan. Ini lebih dikenali sebagai cendawan ubat.
Ganoderma dilaporkan berkhasiat dalam membantu melawan kanser, menguatkan sistem imun badan, tinggi dengan antioksidan, melawan jangkitan bakteria dan virus serta membantu menurunkan paras gula darah.
8. Kulat Cordyceps
Kulat Cordyceps atau turut dikenali sebagai “kulat zombi” ialah cendawan parasit yang menumpang pada perumah lain seperti serangga yang dijadikan sumber makanannya.
Terdapat lebih daripada 700 spesies kulat Cordyceps di dunia dan dua daripadanya menjadi tumpuan dalam banyak penyelidikan iaitu Cordyceps sinensis dan Cordyceps militaris.
Spesies Cordyceps yang terbaik adalah Cordyceps sinensis. Cordyceps sinensis yang asli sukar untuk diperolehi dan mempunyai harga yang mahal.
Banyak penyelidikan mendapati kulat Cordyceps mempunyai banyak khasiat seperti:
- Boleh membantu melawan keradangan.
- Mempunyai ciri-ciri antipenuaan.
- Boleh meningkatkan prestasi senaman.
- Bersifat antikanser.
- Boleh membantu paras gula darah.
- Baik untuk Jantung
- Baik untuk Penyakit Buah Pinggang
9. Cendawan Maitake
Cendawan maitake atau nama saintifiknya Grafiola frondosa (G. frondosa) adalah sejenis cendawan daripada keluarga Grifolaceae yang tumbuh dalam kelompok besar yang berbentuk sudu.
Cendawan maitake juga merupakan cendawan berkhasiat yang mengandungi pelbagai nutrien.
Terdapat kajian-kajian yang melaporkan bahawa cendawan maitake mempunyai ciri-ciri antikanser, boleh membantu mengawal paras gula darah, menurunkan paras kolesterol, baik untuk kesihatan otak, dan baik untuk kesihatan usus.
10. Kulat Sisir
Kulat sisir atau nama saintifiknya “schizophyllum commune” ialah cendawan yang tumbuh secara semula jadi pada batang-batang pokok yang telah mati atau berdekatan dengan pokok yang telah mati.
Selain menjadi sumber makanan untuk mendapatkan nutrien seperti protein, karbohidrat dan serat, kulat sisir juga turut mempunyai nilai-nilai perubatan seperti:
- Mengandungi antioksidan
- Berpotensi mencegah dan merawat kanser
- Baik untuk sistem penghadaman
- Boleh merawat sembelit
- Bersifat antibakteria
Rumusan
Cendawan-cendawan yang disenaraikan ini mempunyai pelbagai nutrien dan khasiat yang sangat berguna kepada pemakannya.
Anda boleh mendapatkan khasiat-khasiat cendawan ini dengan menjadikannya sebahagian daripada diet harian anda.