Cendawan butang atau turut dikenali cendawan putih adalah cendawan yang paling banyak di tanam dan dijual di seluruh dunia. Terdapat banyak khasiat cendawan butang yang boleh dimanfaatkan anda.
Cendawan butang atau nama saintifiknya, Agaricus bisporus adalah cendawan yang boleh dimakan dan dituai pada beberapa peringkat kematangan.
Apabila dituai semasa muda atau belum matang, ia dikenali sebagai cendawan putih kerana warnanya yang putih atau cendawan crimini sekiranya ia mempunyai sedikit rona coklat.

Apabila ia telah matang, ia dikenali sebagai cendawan butang atau cendawan portobello. Pada peringkat ini, cendawan ini lebih besar dan mempunyai warna yang lebih gelap.
Cendawan butang juga adalah antara cendawan yang paling mudah untuk didapati di pasaran.
Profil Nutrisi Cendawan Butang
Cendawan butang mempunyai profil nutrisi yang menarik dan menjadi penyumbang kepada khasiatnya.
Seperti kebanyakan cendawan, cendawan butang juga turut rendah dengan kalori.
Bagi secawan (70 gram) cendawan butang yang telah dihiris atau dipotong, terdapat nutrien-nutrien berikut:
- Kalori/Tenaga: 15.4 kcal
- Protein: 2.16 gram
- Lemak: 0.24 gram
- Karbohidrat: 2.28 gram
- Serat: 0.7 gram
- Kalsium: 2.1 miligram
- Zat besi: 0.35 miligram
- Magnesium: 6.3 miligram
- Fosforus: 60.2 miligram
- Kalium: 223 miligram
- Selenium: 6.51 mikrogram
- Vitamin C: 1.47 miligram
- Vitamin B3: 2.53 miligram
- Vitamin B5: 1.05 miligram
- Folat: 11.9 mikrogram
- Vitamin D: 0.14 mikrogram
Selain itu, cendawan butang turut mengandungi sejumlah kecil mineral zink, tembaga, mangan serta vitamin B1, B2, B6 dan B12.
Khasiat dan Kebaikan Cendawan Butang
Cendawan butang digunakan secara meluas kerana nilai pemakanannya dan ciri-ciri perubatan.
Berikut adalah khasiat dan kebaikan cendawan butang:
1. Mengandungi Antioksidan
Cendawan butang mengandungi antioksidan yang memainkan peranan penting terhadap nilai perubatannya.
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser, asma, strok atau Alzheimer.
Satu kajian pada tahun 2013 menunjukkan bahawa cendawan butang mengandungi antioksidan seperti katekin, asid ferulik, asid galik, asid protokatekuik dan mirisetin. [1]
Selain itu, cendawan butang juga turut mengandungi vitamin dan mineral yang bersifat antioksidan seperti vitamin C dan selenium.
2. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Cendawan butang juga dilihat mempunyai khasiat dan kebaikan terhadap kesihatan jantung kerana boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati haiwan yang diberikan serbuk cendawan butang menunjukkan pengurangan ketara terhadap paras kolesterol total dan kolesterol LDL (kolesterol jahat). [2]
Tambahan itu juga, satu kajian terhadap 10 lelaki mendapati bahawa pengambilan sama ada 8 gram 6 gram serbuk cendawan butang sebagai sebahagian daripada makanan mengurangkan paras trigliserida (lemak) darah dengan ketara, berbanding dengan kumpulan kawalan. [3]
3. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Cendawan butang juga mempunyai manfaat kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes.
Kajian terhadap haiwan yang menghidap diabetes mendapati pengambilan cendawan butang selama 3 minggu boleh menurunkan paras gula darah dengan ketara. [2]
Di samping itu, polisakarida (karbohidrat) yang terdapat dalam cendawan butang juga didapati boleh membantu merendahkan paras gula darah. [4]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian diperlukan untuk melihat potensi sebenar cendawan ini dalam merawat diabetes.
4. Berpotensi Merawat atau Mencegah Kanser
Kandungan antioksidan dalam cendawan butang turut menyumbang kepada aktiviti antikanser cendawan ini.
Antioksidan ini membantu memerangi kesan berbahaya tekanan oksidatif yang membawa kepada kerosakan sel yang boleh mempercepatkan penuaan dan meningkatkan risiko terhadap kanser tertentu.
Satu kajian pada 2012 mendedahkan bahawa polisakarida dalam cendawan butang mempunyai keupayaan untuk menghalang pertumbuhan sel-sel kanser payudara. [5]
Satu kajian lain turut melaporkan bahawa lektin dan sebatian fenolik dalam cendawan butang boleh melemahkan sel-sel tumor. Bagi kajian ini, pembiakan sel-sel leukimia direncatkan oleh ekstrak cendawan butang. [6]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan terutamanya percubaan klinikal masih diperlukan untuk mengetahui kesan antikanser cendawan butang terhadap kanser dalam badan manusia.
5. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria
Cendawan butang juga merupakan makanan yang boleh membantu melawan jangkitan bakteria.
Khasiat atau kebaikan cendawan butang ini boleh dilihat dalam satu kajian yang mendapati ekstrak etanol dan ekstrak air cendawan butang boleh menghalang pertumbuhan bakteria jenis Escherichia coli (E.coli) dan Staphylococcus aureus (S. aureus). [7]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan keracunan makanan.
Cara Penyediaan dan Kegunaan
Cendawan butang boleh didapati dalam banyak bentuk seperti segar, sejukbeku, ditin, kering atau serbuk.
Cendawan segar mempunyai jangka hayat yang singkat iaitu 3-4 hari. Oleh itu, pembekuan, pengetinan dan pengeringan adalah beberapa kaedah yang digunakan untuk memanjangkan jangka hayatnya tanpa menjejaskan kualiti pemakanannya.
Anda boleh menikmati cendawan segar dan kering yang dimasak atau mentah. Jika anda mahu, anda juga boleh menghidrat semula cendawan kering dengan merendamnya di dalam air.
Rumusan
Cendawan butang adalah sumber makanan yang berkhasiat dan mempunyai banyak kebaikan.
Cendawan ini tinggi dengan kandungan protein dan rendah dengan kalori. Ini membolehkan anda memakannya tanpa berfikir panjang tentang jumlah kalorinya.
Cendawan butang didapati kaya dengan kandungan antioksidan, baik untuk kesihatan jantung, baik untuk penghidap diabetes dan lain-lain.
Tambahan itu juga, ia juga mudah untuk dimasak dan disediakan.
Rujukan
- Jun Liu, et al. (2013). In vitro and in vivo antioxidant activity of ethanolic extract of white button mushroom (Agaricus bisporus). Food and Chemical Toxicology
- Jeong, S. C. et al. (2010). White button mushroom (Agaricus bisporus) lowers blood glucose and cholesterol levels in diabetic and hypercholesterolemic rats. Nutrition research.
- Weigand-Heller, A. J. et al. (2012). The bioavailability of ergothioneine from mushrooms (Agaricus bisporus) and the acute effects on antioxidant capacity and biomarkers of inflammation. Preventive medicine.
- Ganesan, K., & Xu, B. (2019). Anti-Diabetic Effects and Mechanisms of Dietary Polysaccharides. Molecules.
- Jeong, S. C. et al. (2012). Macrophage immunomodulating and antitumor activities of polysaccharides isolated from Agaricus bisporus white button mushrooms. Journal of medicinal food.
- Jagadish, L.K. et al. (2009). Comparative study on the antioxidant, anticancer and antimicrobial property of Agaricus bisporus (J.E. Lange) Imbach before and after boiling. African Journal of Biotechnology.
- Risen, M.H. et al. (2017). Antibacterial Activity of Agaricus Bisporus and Pleurotus Ostreatus Extracts Against Some Gram Negative and Positive Bacteria. European Journal of Biomedical and Pharmaceutical Sciences.