Cendawan Volvariella atau cendawan jerami padi adalah cendawan yang banyak diusahakan di Asia Tenggara. Meskipun begitu, mungkin masih ramai yang tidak tahu akan khasiat cendawan Volvariella ini.
Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai khasiat cendawan Volvariella terhadap kesihatan anda.
Cendawan Volvariella atau nama saintifiknya Volvariella volvacea ialah sejenis fungus yang terkenal dengan aroma dan tekstur yang unik. Cendawan ini daripada keluarga Pluteaceae.
Cendawan ini banyak ditanam di kawasan-kawasan tropika, subtropika dan beriklim sederhana menggunakan jerami padi atau sisa kapas. Oleh sebab itu, cendawan ini turut dikenali sebagai cendawan jerami padi.
Tambahan lagi, cendawan Volvariella ini turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti cendawan jerami dan cendawan Cina.
Selain menjadi sumber makanan untuk mendapatkan pelbagai nutrien, cendawan Volvariella juga dipercayai mempunyai khasiat atau nilai-nilai terapeutik yang menarik seperti antitumor, sumber antioksidan, antiradang, antimikrob dan lain-lain lagi.
Berikut adalah senarai khasiat-khasiat cendawan Volvariella yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan anda:
1. Mengandungi Nutrien-nutrien Penting
Cendawan Volvariella mengandungi nutrien-nutrien penting yang diperlukan oleh badan untuk berfungsi dengan baik.
Cendawan ini juga turut rendah dengan nilai kalori, maka anda tidak perlu terlalu gusar sekiranya memakan cendawan ini dengan banyak.
Bagi 100 gram cendawan Volvariella segar, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Protein: 3.90 gram
- Serat: 1.87 gram
- Vitamin B1: 1.63 – 2.98 miligram
- Vitamin B2: 0.14 miligram
- Vitamin B3: 2.40 miligram
- Vitamin C: 18.00 miligram
- Zat besi: 1.70 gram
- Kalium: 0.32 gram
- Fosforus: 0.10 gram
- Kalsium: 5.60 gram
Profil nutrien ini menunjukkan bahawa cendawan Volvariella boleh membekalkan protein, vitamin C, kalium, fosforus dan kalsium yang tinggi kepada pemakannya.
Cendawan ini juga boleh menjadi makanan pengganti kepada daging bagi mereka yang mengamalkan diet vegan.
2. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser, asma atau Alzheimer.
Cendawan Volvariella juga didapati turut menunjukkan aktiviti-aktiviti antioksidan. Ini berdasarkan kajian oleh pengkaji dari The Chinese University of Hong Kong.[2]
3. Berpotensi Mencegah atau Merawat Kanser
Cendawan Volvariella juga berpotensi dalam mencegah atau merawat kanser.
Selain aktiviti antioksidannya, cendawan ini juga turut mengandungi protein yang mempunyai ciri-ciri antikanser.
Ini dapat dibuktikan dalam kajian tabung uji yang menunjukkan bahawa ekstrak protein daripada cendawan Volvariella boleh membunuh sel-sel kanser usus besar dan leukimia. [3]
4. Baik untuk Sistem Imun Badan
Kandungan vitamin C yang tinggi dalam cendawan Volvariella juga boleh menyumbang kepada khasiatnya terhadap sistem imun (pertahanan) badan.
Selain bertindak sebagai antioksidan, vitamin C juga turut terlibat dalam sistem imun badan dengan merangsang aktiviti sel-sel darah putih.
5. Boleh Membekalkan Asid Amino Perlu
Asid amino ialah sebatian yang memainkan peranan penting kepada badan manusia.
Kita memerlukan asid amino untuk proses-proses yang penting seperti pembentukan protein, hormon dan neurotransmiter.
Badan kita memerlukan 20 asid amino yang berbeza-beza untuk membesar dan berfungsi dengan baik.
Daripada 20 ini, 9 asid amino dikelaskan sebagai “perlu”. Ini bermaksud, asid amino ini perlu didapati daripada diet (pemakanan) kerana badan tidak dapat menghasilkannya sendiri.
Cendawan Volvariella boleh membekalkan 7 daripada 9 asid amino perlu kepada anda. [4]
6. Boleh Membantu Mengekalkan ‘Awet Muda’
Sekiranya digunakan dalam produk kosmetik, cendawan Volvariella juga turut berkhasiat dalam membantu anda kekal ‘awet muda.’
Terdapat kajian melaporkan bahawa cendawan ini boleh membekalkan polisakarida (karbohidrat) untuk digunakan sebagai pelembap, agen antikedutan dan pemutihan di dalam produk kosmetik. [5]
7. Baik untuk Penghadaman
Cendawan Volvariella juga turut berkhasiat kepada sistem penghadaman.
Kajian tabung uji mendapati polisakarida (karbohidrat) cendawan Volvariella mempunyai kesan positif terhadap kesihatan sistem penghadaman dan mencegah daripada penyakit berkaitan penghadaman melalui penambahbaikan persekitaran mikrob di dalam usus. [6]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan.
Rumusan
Cendawan Volvariella atau cendawan jerami padi mempunyai banyak khasiat dan potensi yang masih kurang diterokai.
Selain menjadi sumber makanan, cendawan Volvariella berkhasiat dalam membekalkan nutrien-nutrien penting kepada badan.
Cendawan ini juga bersifat antioksidan dan boleh membekalkan protein, vitamin C dan kalsium yang tinggi kepada pemakannya.
Kajian-kajian awal menunjukkan bahawa cendawan ini juga turut berpotensi dalam membantu mencegah dan merawat kanser, baik untuk sistem penghadaman dan melambatkan penuaan.
Rujukan
- Kumar, V. et al. (2021). Cultivation technology and spawn production of Volvariella volvacea: Paddy straw mushroom. The Pharma Innovation Journal.
- Cheung, L.M. et al. (2003). Antioxidant activity and total phenolics of edible mushroom extracts. Food Chemistry.
- Wu, J. Y. et al. (2011). Anti-Cancer Effects of Protein Extracts from Calvatia lilacina, Pleurotus ostreatus and Volvariella volvacea. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Zahid, A. et al. (2019). Nutritional and Medicinal Significance of Paddy Straw Mushroom (Volvariella volvacea). Sci Lett.
- Sangthong, S. et al. (2022). Polysaccharides from Volvariella volvacea Mushroom: Extraction, Biological Activities and Cosmetic Efficacy. Journal of fungi.
- Hu, W. et al. (2023). Effects of in vitro simulated digestion and fecal fermentation of polysaccharides from straw mushroom (Volvariella volvacea) on its physicochemical properties and human gut microbiota. International journal of biological macromolecules.