Kulat Cordyceps terkenal dengan khasiat dan nilai perubatannya. Malah, khasiat kulat Cordyceps ini telah lama dimanfaatkan dalam Perubatan Tradisional Cina untuk merawat kelesuan, penyakit buah pinggang, kesakitan dan libido yang rendah.
Pada masa ini, produk-produk makanan tambahan (suplemen) dan produk lain yang mengandungi ekstrak Cordyceps semakin popular.
Bagi anda yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai khasiat kulat Cordyceps, artikel ini menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai khasiat-khasiat kulat Cordyceps berdasarkan penyelidikan.

Cordyceps ialah sejenis kulat parasit yang bersifat endoparasitoids iaitu menumpang pada perumah lain, antaranya pada serangga seperti ulat dan bahan dari larva ulat akan diserap sebagai makanan.
Terdapat lebih daripada 700 spesies kulat Cordyceps di dunia dan dua daripadanya menjadi tumpuan dalam banyak penyelidikan iaitu Cordyceps sinensis dan Cordyceps militaris.
Spesies Cordyceps yang terbaik adalah Cordyceps sinensis. Cordyceps sinensis yang asli sukar untuk diperolehi dan mempunyai harga yang mahal.
Kulat Cordyceps tumbuh secara semula jadi di pergunungan yang tinggi yang mempunyai altitud sekitar 3,600 – 4,000 m di atas paras laut.
Spesies Cordyceps telah ditemui di negara-negara seperti Amerika Utara, Eropah, dan Asia termasuklah China, Jepun, Nepal, Bhutan, Vietnam, Korea, dan Thailand.
Terdapat banyak penyelidikan telah dijalankan untuk melihat khasiat Cordyceps kepada kesihatan. Antara adalah:
1. Boleh Membantu Melawan Keradangan
Kulat Cordyceps dikatakan boleh membantu melawan keradangan.
Keradangan yang sedikit mungkin mempunyai manfaat tetapi jika berlebihan dan berpanjangan, keradangan boleh membawa kepada penyakit seperti kanser dan penyakit jantung.
Kajian makmal terhadap sel-sel manusia mendapati ekstrak Cordyceps sinensis boleh menghalang protein-protein yang meningkatkan keradangan dalam badan manusia. [1]
Kajian lain pula melaporkan bahawa ekstrak air kulat Cordyceps militaris mempunyai kesan antiradang dengan mengurangkan penghasilan protein-protein yang meningkatkan keradangan. [2]
2. Mempunyai Ciri-ciri Antipenuaan
Penyelidik percaya bahawa kulat Cordyceps juga turut mempunyai ciri-ciri antipenuaan berdasarkan kandungan antioksidannya.
Satu kajian yang dijalankan terhadap tikus tua mendapati ekstrak Cordyceps sinensis boleh meningkatkan antioksidan dalam haiwan tersebut yang seterusnya meningkatkan memori dan fungsi seksual. [3]
Manakala, satu kajian lain pula mendapati tikus yang menerima ekstrak Cordyceps sinensis hidup beberapa bulan lebih lama berbanding tikus yang diberikan plasebo. [4]
3. Boleh Meningkatkan Prestasi Senaman
Kulat Cordyceps juga dipercayai boleh meningkatkan penghasilan molekul adenosine triphosphate (ATP) iaitu molekul yang penting untuk membekal dan menyimpan tenaga di dalam sel-sel badan.
Keadaan ini mungkin boleh mengatasi masalah kelesuan atau keletihan.
Sebagai contoh, satu kajian terhadap haiwan mendapati polisakarida (karbohidrat) daripada kulat Cordyceps militaris menunjukkan kesan antikelesuan. [5]
Selain itu, terdapat juga kajian yang menguji kesan campuran cendawan yang mengandungi Cordyceps militaris atas prestasi senaman dalam kalangan belia. [6]
Selepas tiga minggu, peserta yang menerima campuran cendawan tersebut menunjukkan peningkatan terhadap VO2 max sebanyak 11%. [6]
VO2 max ialah ukuran yang digunakan untuk menentukan tahap kecergasan.
4. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser
Terdapat banyak jenis kulat Cordyceps yang telah didokumenkan memaparkan keupayaan untuk menghalang pertumbuhan tumor disebabkan oleh pelbagai sebatian bioaktif yang ada padanya.
Khasiat kulat Cordyceps ini dapat dilihat dalam banyak kajian tabung uji yang menunjukkan kulat Cordyceps boleh menghalang pertumbuhan banyak sel-sel kanser seperti kanser paru-paru, usus besar dan hati. [7, 8, 9]
Terdapat juga kajian terhadap haiwan yang menunjukkan bahawa kulat Cordyceps mempunyai kesan antitumor terhadap kanser hati dan melanoma. [10]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian ini kebanyakan masih diperingkat tabung uji dan kajian terhadap haiwan.
Oleh itu, kajian-kajian lanjutan terutamanya terhadap manusia masih diperlukan.
5. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Diabetes adalah penyakit di mana badan tidak menghasilkan atau bertindak balas terhadap hormon insulin, yang biasanya mengangkut glukosa (gula) ke dalam sel-sel anda untuk tenaga.
Apabila badan anda tidak menghasilkan insulin yang mencukupi atau bertindak balas dengan baik kepadanya, glukosa tidak boleh memasuki sel, maka ia kekal di dalam darah.
Dari masa ke masa, mempunyai terlalu banyak glukosa dalam darah boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.
Kulat Cordyceps mengandungi sejenis gula khas yang boleh membantu merawat diabetes. Kulat ini boleh membantu mengekalkan paras gula darah pada paras yang sihat dengan meniru tindakan insulin.
Kajian terhadap haiwan melaporkan bahawa kulat Cordyceps boleh menurunkan paras gula darah. [11]
6. Baik untuk Kesihatan Jantung
Kulat Cordyceps juga dipercayai mempunyai kesan yang baik terhadap kesihatan jantung.
Paras kolesterol jahat (kolesterol LDL) dan trigliserida yang tinggi boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung.
Kajian terhadap haiwan mendedahkan bahawa kulat Cordyceps militaris boleh membantu menurunkan paras kolesterol jahat (kolesterol LDL). [12]
Selain itu, kajian ini turut menunjukkan bahawa kulat Cordyceps militaris boleh menurunkan paras trigliserida bagi haiwan yang diuji. [12]
7. Boleh Membantu Merawat Penyakit Buah Pinggang
Mereka yang mengalami penyakit buah pinggang kronik mengalami kehilangan fungsi buah pinggang yang berlaku secara beransur-ansur.
Satu kajian semula yang melibatkan 22 kajian melaporkan bahawa kulat Cordyceps boleh menjadi terapi tambahan kepada ubat konvensional dalam meningkatkan fungsi buah pinggang dan menangani beberapa komplikasi. [13]
Rumusan
Kulat atau cendawan Cordyceps terkenal dalam Perubatan Tradisional Cina dan telah digunakan selama berabad-abad untuk merawat pelbagai penyakit.
Walau terdapat banyak kajian yang melibatkan kulat ini, namun kajian terhadap manusia masih terhad.
Kajian terhadap manusia menunjukkan kulat Cordyceps boleh membantu meningkatkan tenaga yang secara tidak langsungnya mengurangkan kelesuan.
Rujukan
- Kuo, Y. C. et al. (1996). Cordyceps sinensis as an immunomodulatory agent. The American journal of Chinese medicine.
- Jo, W. S. et al. (2010). The Anti-inflammatory Effects of Water Extract from Cordyceps militaris in Murine Macrophage. Mycobiology.
- Ji, D. B. et al. (2009). Antiaging effect of Cordyceps sinensis extract. Phytotherapy research.
- Tan, N.-Z. et al. (2011). The lifespan-extending effect of Cordyceps sinensis Cs-4 in normal mice and its molecular mechanisms. The FASEB Journal.
- Xu Y. F. (2016). Effect of Polysaccharide from Cordyceps militaris (Ascomycetes) on Physical Fatigue Induced by Forced Swimming. International journal of medicinal mushrooms.
- Hirsch, K. R. et al. (2017). Cordyceps militaris Improves Tolerance to High-Intensity Exercise After Acute and Chronic Supplementation. Journal of dietary supplements.
- Bizarro, A. et al. (2015). Cordyceps militaris (L.) Link Fruiting Body Reduces the Growth of a Non-Small Cell Lung Cancer Cell Line by Increasing Cellular Levels of p53 and p21. Molecules.
- Lee, H. H. et al. (2015). Anti-cancer effect of Cordyceps militaris in human colorectal carcinoma RKO cells via cell cycle arrest and mitochondrial apoptosis. Daru.
- Lee, S. et al. (2015). Anti-tumor effect of Cordyceps militaris in HCV-infected human hepatocarcinoma 7.5 cells. Journal of microbiology.
- Nakamura, K. et al. (1999). Inhibitory effect of Cordyceps sinensis on spontaneous liver metastasis of Lewis lung carcinoma and B16 melanoma cells in syngeneic mice. Japanese journal of pharmacology.
- Lo, H. C. et al. (2004). The anti-hyperglycemic activity of the fruiting body of Cordyceps in diabetic rats induced by nicotinamide and streptozotocin. Life sciences.
- Gao, J. et al. (2011). Lipid-lowering effect of cordycepin (3′-deoxyadenosine) from Cordyceps militaris on hyperlipidemic hamsters and rats. Yao xue xue bao.
- Zhang, H. W. et al. (2014). Cordyceps sinensis (a traditional Chinese medicine) for treating chronic kidney disease. The Cochrane database of systematic reviews.