Cendawan tiram atau nama saintifiknya Pleurotus ostreatus adalah cendawan yang kedua popular di pasaran cendawan. Khasiat cendawan tiram dalam perubatan dan pemakanan serta rasanya yang enak menjadikan cendawan ini sebagai pilihan bagi kebanyakan orang.
Selain itu, cendawan tiram juga lebih mudah untuk tumbuh, kurang diserang perosak dan memerlukan kos yang lebih rendah untuk diusahakan. Terdapat kira-kira 200 spesies cendawan yang dijadikan sebagai makanan di seluruh dunia. Tetapi hanya 35 spesies sahaja diusahakan dalam bentuk komersial.
Antara beberapa spesies cendawan tiram yang diusahakan secara komersial adalah:
- Cendawan tiram (P. ostreatus)
- Cendawan tiram raja (P. eryngii)
- Cendawan phenix (P. pulmonarius)
- Cendawan tiram merah jambu (P. djamor)
- Cendawan tiram india (P. sajor-caju)
- Cendawan tiram abalone (P. cystidiosus)
- Cendawan tiram emas (P. citrinopieatus)

Artikel ini akan menyenaraikan 10 khasiat cendawan tiram yang bermanfaat untuk kesihatan berdasarkan sokongan kajian-kajian.
1. Kaya dengan Antioksidan
Cendawan tiram merupakan kulat yang boleh dimakan dan diklasifikasikan sebagai sayuran dalam dunia makanan.
Cendawan ini turut mempunyai pelbagai khasiat dan salah satu daripadanya adalah kaya dengan antioksidan.
Antioksidan adalah sebatian yang diperlukan oleh badan untuk melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Di samping itu, sekiranya berlaku ketidakseimbangan antara jumlah antioksidan dan radikal bebas, ia akan menyebabkan keadaan yang dipanggil tekanan oksidatif atau tekanan pengoksidaan.
Tekanan oksidatif ini boleh menyebabkan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung , diabetes dan lain-lain lagi.
Beberapa jenis antioksidan yang ditemui dalam cendawan tiram adalah: [1, 2]
- Asid galik
- Asid protokatekuik
- Asid klorogenik
- Hesperetin
- Naringenin
- Formononetin
- Biochanin-A
- Vitamin A
- Vitamin D
- Selenium
Kesan antioksidan ini dapat dilihat dalam satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati ekstrak cendawan tiram boleh menambah baik paras antioksidan dan mengurangkan penanda keradangan bagi haiwan tersebut. [3]
2. Rendah Kalori dan Karbohidrat
Cendawan tiram juga merupakan makanan yang rendah kalori dan karbohidrat.
Bagi 100 gram cendawan ini, hanya terdapat: [2]
- Kalori: 33 kcal
- Karbohidrat: 6.1 gram
- Serat diet: 2.3 gram
- Gula: 1 gram
Ini menjadikan cendawan tiram adalah salah satu pilihan makanan yang baik untuk mereka yang ingin mengurangkan berat badan.
Kandungan serat dietnya yang tinggi turut membantu membuatkan pemakannya berasa kenyang dengan lebih lama.
Tambahan daripada itu juga, cendawan tiram bebas daripada gluten dan kolesterol.
3. Baik untuk Sistem Penghadaman
Cendawan tiram juga berkhasiat kepada sistem penghadaman.
Khasiat cendawan tiram ini disumbang oleh kandungan serat dietnya. Cendawan tiram mempunyai beta-glukan yang sedikit berbeza daripada barli atau oat.
Serat diet ini boleh mengikat lemak dan kolesterol dan mengurangkan penyerapan bahan ini dalam usus serta meningkatkan pembuangan bahan ini melalui najis. Kesan kebaikan ini dapat dilihat dalam ujian yang dijalankan terhadap haiwan. [4]
Kajian terbaru yang dijalankan terhadap haiwan turut mendapati pemakanan yang mengandungi cendawan tiram boleh mengurangkan pertumbuhan bakteria jahat dan meningkatkan penghasilan asid lemak rantaian pendek iaitu makanan kepada bakteria baik dalam usus. [5]
4. Baik untuk Kesihatan Jantung
Cendawan tiram juga turut didapati mempunyai kebaikan terhadap kesihatan jantung.
Khasiat ini adalah melalui pengurangan paras kolesterol dan lemak dalam darah yang merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada penyakit jantung.
Satu kajian yang dijalankan terhadap pesakit hipertensi mendapati pengambilan serbuk cendawan tiram sebanyak 3 gram sehari selama 90 hari boleh menyebabkan penurunan terhadap paras kolesterol total dan kolesterol LDL (kolesterol jahat), masing-masing sebanyak 12% dan 19%. [6]
Kajian terhadap haiwan yang menghidap kolesterol tinggi turut mendapati diet yang mengandungi 5% serbuk cendawan tiram boleh mengurangkan paras kolesterol total, trigliserida (lemak dalam darah), kolesterol jahat dan jumlah lemak (lipid).
Pemberian cendawan tiram ini juga turut mengurangkan berat badan haiwan yang diuji tersebut. [7]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian yang lebih berkualiti terutamanya terhadap manusia masih diperlukan untuk melihat kesan cendawan tiram terhadap kesihatan jantung.
5. Boleh Membantu Menguatkan Imun Badan
Cendawan tiram juga turut berkhasiat dalam membantu menguatkan sistem imun badan manusia.
Khasiat cendawan tiram ini disumbang oleh serat diet yang dipanggil “pleuran”. Pleuran adalah sejenis beta-glukan yang diekstrak daripada cendawan tiram.
Satu kajian telah dijalankan terhadap kanak-kanak yang menghidap jangkitan pada saluran pernafasan secara berulang-ulang. Kajian ini mendapati pleuran ini boleh mengurangkan tanda tindak balas alahan atau jangkitan parasit serta menstabilkan paras antibodi (IgE). [8]
Ini menunjukkan serat daripada cendawan tiram mempunyai kesan antialahan.
Kajian lain yang dijalankan terhadap 90 orang yang diserang virus herpes simplex jenis 1 (HSV-1) mendapati rawatan menggunakan suplemen gabungan pleuran, vitamin C dan zink berjaya mengurangkan tempoh simptom-simptom yang berlaku.
Rawatan menggunakan pleuran ini juga turut mengurangkan keterukan simptom-simptom pernafasan yang berlaku berbanding pengambilan vitamin C sahaja. [9]
6. Boleh Membantu Mengawal Gula Darah
Cendawan tiram juga berkhasiat dalam membantu mengawal paras gula darah.
Khasiat ini berguna terutamanya kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 89 orang pesakit diabetes jenis 2 melaporkan bahawa pengambilan 150 gram cendawan tiram yang dimasak setiap hari selama seminggu berjaya mengurangkan paras gula darah puasa sebanyak 22% dan paras gula darah selepas sarapan sebanyak 23%. [10]
Kajian lain turut dijalankan terhadap wanita yang menghidap penyakit diabetes jenis 2 yang dirawat dengan ubat. Pemberian cendawan tiram sebanyak 200 gram sehari bagi menggantikan sayur menyebabkan penurunan paras gula darah puasa sebanyak 12% selepas 2 bulan percubaan dan 20% selepas 1 tahun.
Paras gula darah selepas makan juga turut mengalami penurunan sebanyak 14% selepas 2 bulan dan kira-kira 28% selepas 1 tahun. [11]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut yang lebih berkualiti dan melibatkan peserta yang lebih ramai masih diperlukan untuk menguatkan lagi hasil kajian ini.
7. Bersifat Antiradang
Cendawan tiram juga bersifat antiradang. Ini bermakna cendawan ini boleh mengurangkan atau mencegah keradangan.
Keradangan adalah tindak balas normal badan apabila berlaku kecederaan atau jangkitan. Semasa proses keradangan ini, sel-sel prokeradangan akan melepaskan pengantara prokeradangan seperti nitrik oksida (NO), prostaglandin atau sitokin.
Cendawan tiram menunjukkan aktiviti antikeradangan melalui: [12]
- Aktiviti antihistamin
- Pencegahan migrasi sel ke kawasan keradangan
- Pencegahan penghasilan nitrik oksida (NO)
Satu kajian yang dijalankan terhadap 105 orang pesakit dermatitis atopi mendapati penggunaan krim sapuan yang berasaskan beta-glukan (mengandungi pleuran daripada cendawan tiram) berjaya mengurangkan simptom-simptom dermatitis atopi.
Kajian ini turut mendapati berlaku pengurangan terhadap bilangan hari dimana keterukan dermatitis atopi ini berlaku. [13]
Dermatitis atopi adalah salah satu penyakit kulit dengan keradangan kronik. Kajian ini menunjukkan krim berasaskan beta-glukan berpotensi digunakan sebagai terapi sokongan terhadap dermatitis atopi.
8. Berpotensi Mencegah Kanser
Cendawan tiram juga dilihat berpotensi untuk mencegah kanser. Potensi cendawan tiram ini dapat dilihat dalam beberapa kajian.
Satu kajian makmal melaporkan bahawa cendawan tiram boleh menrencatkan pengembangbiakan sel-sel kanser payudara dan kanser kolon (usus) tanpa menjejaskan sel-sel yang normal. [14]
Kajian lain pula mendapati ekstrak air panas cendawan tiram boleh menrencatkan pengembangbiakan sel-sel kanser hati. [15]
Meskipun begitu, kajian-kajian lanjutan terutamanya kajian klinikal masih diperlukan.
9. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Cendawan tiram juga didapati turut boleh membantu menurunkan tekanan darah. Khasiat ini boleh mendatangkan manfaat kepada pesakit tekanan darah tinggi atau hipertensi.
Satu kajian yang dijalankan terhadap pesakit diabetes mendapati pengambilan cendawan tiram yang dimasak menggantikan sayur-sayuran selama 7 hari menunjukkan penurunan ketara terhadap tekanan darah sistolik (4%) dan tekanan darah diastolik (2%). [16]
Namun, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan.
10. Bersifat Antibakteria dan Antikulat
Cendawan tiram juga turut bersifat antibakteria dan antikulat.
Ekstrak cendawan tiram dilaporkan menunjukkan ciri-ciri antibakteria dan antikulat yang baik terhadap bakteria jenis Escherichia coli, Pseudomonas aeruginosa, Staphylococcus aureus, Klebsiella oxytoca, Bacillus subtilis, dan kulat Candida albicans. [17]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang lazimnya menyebabkan keracunan makanan. Kulat Candida adalah kulat yang menyebabkan jangkitan di faraj dan mulut.
Ekstrak cendawan tiram juga turut didapati lebih berkesan berbanding antibiotik terhadap bakteria-bakteria yang kebal antibiotik seperti methicilin- dan vancomycin- S. aureus , S. typhi, Acinetobacter sp., dan P. mirabilis. [18]
Ini menunjukkan ekstrak cendawan tiram berpotensi digunakan sebagai agen antibakteria terhadap bakteria kebal antibiotik.
Rumusan
Cendawan tiram adalah salah satu makanan fungsian yang boleh mendatangkan pelbagai khasiat kesihatan kepada pemakannya.
Selain membekalkan mineral dan vitamin, cendawan tiram juga didapati kaya dengan antioksidan, baik untuk sistem penghadaman, baik untuk kesihatan jantung, menguatkan sistem imun badan, boleh mengurangkan keradangan dan lain-lain lagi.
Justeru itu, cendawan tiram sangat baik jika disertakan dalam menu harian anda.
Rujukan
- Alam, N. et al. (2010). Antioxidant Activities and Tyrosinase Inhibitory Effects of Different Extracts from Pleurotus ostreatus Fruiting Bodies. Mycobiology.
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Jayakumar, T. et al. (2007). Protective effect of an extract of the oyster mushroom, Pleurotus ostreatus, on antioxidants of major organs of aged rats. Experimental gerontology.
- Caz, V. et al. (2015). Modulation of Cholesterol-Related Gene Expression by Dietary Fiber Fractions from Edible Mushrooms. Journal of agricultural and food chemistry.
- Maheshwari, G. et al. (2021). Influence of a Biotechnologically Produced Oyster Mushroom (Pleurotus sajor-caju) on the Gut Microbiota and Microbial Metabolites in Obese Zucker Rats. Journal of agricultural and food chemistry.
- Choudhury, Bazlul et al. (2013). Pleurotus ostreatus improves lipid profile of obese hypertensive nondiabetic males. Bangladesh Journal of Mushroom.
- Alam, N. et al. (2011). Hypolipidemic Activities of Dietary Pleurotus ostreatus in Hypercholesterolemic Rats. Mycobiology.
- Jesenak, M. et al. (2014). Anti-allergic effect of Pleuran (β-glucan from Pleurotus ostreatus) in children with recurrent respiratory tract infections. Phytotherapy research.
- Urbancikova, I. et al. (2020). Efficacy of Pleuran (β-Glucan from Pleurotus ostreatus) in the Management of Herpes Simplex Virus Type 1 Infection. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Khatun, K. et al. (2007). Oyster mushroom reduced blood glucose and cholesterol in diabetic subjects. Mymensingh medical journal.
- Sayeed, M. A. et al. (2015). Effect of edible mushroom (Pleurotus ostreatus) on type-2 diabetics. Ibrahim Medical College Journal.
- Jayasuriya, W. et al. (2020). Anti-Inflammatory Activity of Pleurotus ostreatus, a Culinary Medicinal Mushroom, in Wistar Rats. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Jesenak, M. et al. (2016). β-Glucan-based cream (containing pleuran isolated from pleurotus ostreatus) in supportive treatment of mild-to-moderate atopic dermatitis. The Journal of dermatological treatment.
- Jedinak, A., & Sliva, D. (2008). Pleurotus ostreatus inhibits proliferation of human breast and colon cancer cells through p53-dependent as well as p53-independent pathway. International journal of oncology.
- Popović, V. et al. (2013). Mycotherapy of cancer: an update on cytotoxic and antitumor activities of mushrooms, bioactive principles and molecular mechanisms of their action. Current topics in medicinal chemistry.
- Khatun, K. et al. (2007). Oyster mushroom reduced blood glucose and cholesterol in diabetic subjects. Mymensingh medical journal.
- Ganeshpurkar, A. et al. (2016). Study of Antimicrobial and Cytotoxic Potential of the Oyster Mushroom Pleurotus ostreatus cv. Florida (Agaricomycetes). International journal of medicinal mushrooms.
- Skariyachan, S. et al. (2016). Exploring the Medicinal Potential of the Fruit Bodies of Oyster Mushroom, Pleurotus ostreatus (Agaricomycetes), against Multidrug-Resistant Bacterial Isolates. International journal of medicinal mushrooms.