Selain cendawan butang, kulat sisir adalah salah satu cendawan yang turut mudah untuk didapati di seluruh dunia. Kulat sisir juga mempunyai khasiat atau nilai perubatan yang mungkin tidak diketahui ramai.
Justeru itu, artikel ini menyenaraikan beberapa khasiat dan kelebihan kulat sisir untuk kesihatan manusia.
Di Malaysia, kulat sisir dikenali dengan beberapa nama seperti cendawan sisir, cendawan kukur, kodop (Sabah) atau kulat kerang (Sarawak).
Dalam bahasa Inggeris pula, kulat sisir dikenali dengan nama “split gill mushroom.” Secara saintifiknya, kulat sisir ini dikenali dengan nama “Schizophyllum commune.”
Kulat sisir ini tumbuh secara semula jadi pada batang-batang pokok yang telah mati atau berdekatan dengan pokok yang telah mati.
Selain menjadi sumber makanan untuk mendapatkan nutrien seperti protein, karbohidrat dan serat, kulat sisir juga turut mempunyai nilai-nilai perubatan yang mungkin bermanfaat untuk anda.
Antara khasiat-khasiat kulat sisir adalah seperti berikut:
1. Bersifat Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser, asma atau Alzheimer.
Kulat sisir juga didapati mempunyai ciri-ciri antioksidan. Satu kajian mendapati protein yang diperolehi daripada kulat sisir mempunyai ciri-ciri antioksidan. [1]
2. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser
Ciri-ciri antioksidan kulat sisir mungkin turut menyumbang kepada aktiviti antitumor atau antikanser kulat ini.
Kesan antikanser kulat sisir dapat dilihat dalam beberapa kajian. Sebagai contoh, satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Korea Selatan mendapati serat beta-glukan daripada kulat sisir menunjukkan aktiviti antikanser terhadap sel-sel kanser payudara. [2]
Selain itu, terdapat satu percubaan klinikal yang melibatkan 220 orang pesakit kanser serviks tahap 2 dan 3 yang turut menggunakan polisakarida (karbohirat) daripada kulat sisir.
Kajian ini mendapati polisakarida daripada kulat sisir menunjukkan kesan pengurangan tumor yang ketara kepada pesakit kanser serviks tahap 2 dan 3.
Tambahan itu juga, pesakit kanser tahap 2 yang menerima polisakarida kulat sisir ini juga mempunyai tempoh kemandirian (survival time) yang lebih lama berbanding kumpulan kawalan. [3]
3. Boleh Merawat Sembelit
Khasiat kulat sisir juga turut bermanfaat kepada mereka yang mengalami sembelit.
Khasiat ini dibuktikan dalam satu percubaan klinikal yang mendapati serat beta-glukan yang diambil daripada kulat sisir boleh membantu menambah baik gejala-gejala berkaitan dengan sembelit. [4]
4. Baik untuk Sistem Penghadaman
Kulat sisir juga turut baik untuk sistem penghadaman.
Kajian menunjukkan bahawa serat beta-glukan daripada kulat sisir boleh meningkatkan populasi bakteria baik dalam usus. [4]
Kajian lain turut menyokong bahawa serat beta-glukan daripada kulat sisir boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria-bakteria baik (probiotik) serta meningkatkan sistem imun. [5]
5. Bersifat Antibakteria
Kulat sisir juga dilihat berpotensi untuk dimanfaatkan bagi tujuan keselamatan makanan.
Hal ini demikian kerana kulat sisir didapati mempunyai ciri-ciri antibakteria terhadap bakteria yang menyebabkan keracunan makanan.
Satu kajian melaporkan bahawa ekstrak kulat sisir boleh membunuh bakteria yang menyebabkan keracunan makanan iaitu Staphylococcus aureus (S. aureus). [6]
Rumusan
Kajian-kajian terhadap menunjukkan bahawa kulat sisir mempunyai khasiat dan kebaikan yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan manusia.
Kulat sisir bersifat antioksidan yang boleh mencegah daripada tekanan oksidatif. Selain itu, kulat ini juga dilihat berpotensi untuk merawat dan mencegah kanser.
Jika anda mengalami sembelit, kulat sisir mungkin boleh membantu mengurangkan gejala-gejala yang dihadapi.
Rujukan
- Wongaem, A. et al. (2021). Antioxidant properties of peptides obtained from the split gill mushroom (Schizophyllum commune). Journal of food science and technology.
- Lee, J.-S. et al. (2011). Macrophage and Anticancer Activities of Feed Additives on β-Glucan from Schizophyllum commune in Breast Cancer Cells. Journal of the Korean Society of Food Science and Nutrition.
- Okamura, K. et al. (1986). Clinical evaluation of schizophyllan combined with irradiation in patients with cervical cancer. A randomized controlled study. Cancer.
- Hui-Yeon Jang. et al. (2023). TBG-136, a Schizophyllum commune-derived β-glucan benefits gut microbiota and intestinal health: A randomized, double-blind, and placebo-controlled clinical trial. Journal of Functional Foods.
- Saetang, N. et al. (2023). Unlocking the benefits of split gill mushroom: Chemical analysis and prebiotic properties of schizophyllan extract. International Journal of Biological Macromolecules.
- Yodsenee, K. et al. (2022). In vitro study of antioxidant and antimicrobial activities of soybean tempeh and split gill fungus (Schizophyllum commune) as plant-based diets. International Journal of Agricultural Technology.