Cendawan maitake mempunyai sejarah yang panjang bagi orang Jepun dan China. Khasiat cendawan maitake telah dimanfaatkan dalam perubatan di Asia sejak berabad-abad lamanya.
Cendawan maitake atau nama saintifiknya Grafiola frondosa (G. frondosa) adalah sejenis cendawan daripada keluarga Grifolaceae yang tumbuh dalam kelompok besar yang berbentuk sudu.
Cendawan ini berwarna perang kekalabuan pada bahagian atas dan berwarna putih dibawahnya. Selain khasiatnya, cendawan maitake ini juga turut mempunyai rasa yang enak iaitu rasa manis dan umami.

Istilah maitake dalam bahasa Jepun bermaksud “cendawan menari.” Nama ini diberi kerana sesiapa sahaja yang menjumpainya akan menari kegirangan.
Dalam bahasa Cina pula, cendawan maitake dikenali sebagai “hui-shu-hua” yang bermaksud bunga pokok kelabu.
Cendawan maitake turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti Hen of the woods, Sheep’ head, Ram’s head atau King of mushrooms.
Cendawan maitake boleh dikategorikan sebagai makanan berkhasiat kerana mengandungi pelbagai nutrien penting seperti:
- Protein
- Karbohidrat
- Serat makanan
- Vitamin D2
- Kalium
- Magnesium
- Kalsium
- Fosforus
Selain itu, ia turut rendah dengan kandungan lemak dan kalori.
Cendawan maitake mempunyai sejarah penggunaan yang panjang dalam perubatan Jepun dan China. Ia digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi dan diabetes (penyakit kencing manis).
Terdapat beberapa kajian haiwan dan manusia mengenai khasiat cendawan maitake, tetapi lebih banyak kajian masih diperlukan.
Beberapa kajian menunjukkan cendawan maitake mungkin mempunyai khasiat berikut:
1. Boleh Membantu Merawat dan Mencegah Kanser
Cendawan maitake mungkin boleh membantu merawat atau mencegah kanser seperti kanser payudara.
Hasil kajian menunjukkan ekstrak pekat cendawan maitake ini berpotensi digunakan untuk merawat kanser payudara dengan merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser tersebut. [1]
Kajian makmal terhadap ekstrak pekat cendawan maitake mendapati ia boleh membunuh sel-sel kanser apabila digunakan bersama-sama dengan interleukin-2, protein yang terkenal dengan sifat melawan kansernya. Dalam kajian ini, ekstrak cendawan maitake meningkatkan keberkesanan interleukin-2. [2]
2. Boleh Membantu Mengawal Gula Darah
Seperti penggunaanya dalam perubatan tradisonal, kajian perubatan moden turut mendapati cendawan maitake boleh membantu mengawal gula darah.
Kajian terhadap tikus yang menghidap diabetes jenis 2 mendapati bahawa cendawan maitake boleh mengurangkan gula darah tikus tersebut selepas ia makan. [3]
Walaupun belum ada kajian terhadap manusia lagi, ini menunjukkan cendawan maitake boleh membantu penghidap diabetes menurunkan gula darah mereka.
3. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Cendawan maitake juga didapati boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Satu kajian pada tahun 2013 mendapati bahawa ekstrak cendawan maitake boleh menurunkan paras kolesterol bagi tikus yang dikaji. Ia juga didapati boleh meningkatkan asid lemak yang membekalkan tenaga. [4]
Berdasarkan kajian ini, para penyelidik berteori bahawa makan cendawan maitake boleh membantu mengekalkan arteri yang sihat.
4. Baik untuk Kesihatan Otak
Selain itu juga, memakan cendawan seperti cendawan maitake boleh mengurangkan kadar ketakmampuan kognitif ringan.
Ketakmampuan kognitif ringan sering berlaku sebelum penyakit Alzheimer. Ketakmampuan kognitif yang ringan boleh meningkatkan risiko anda mengalami keadaan neurologi seperti penyakit Alzheimer apabila anda semakin tua.
Kajian terhadap 663 orang yang berumur lebih dari 60 tahun mendapati bahawa mereka yang makan satu hingga dua hidangan lima auns cendawan setiap minggu mempunyai 43% pengurangan risiko ketakmampuan kognitif ringan. [5]
Manakala, orang yang makan lebih daripada dua hidangan seminggu mempunyai 52% penurunan risiko untuk ketakmampuan kognitif ringan.
5. Baik untuk Kesihatan Usus
Cendawan seperti cendawan maitake mengandungi mengandungi sebatian yang dipanggil polisakarida yang merupakan prebiotik.
Prebiotik menjadi makanan untuk bakteria baik dalam usus anda. Cendawan kekal tidak dicerna cukup lama untuk mencapai usus besar, tempat bakteria baik hidup.
Risiko dan Peringatan
Cendawan maitake boleh dihadam selagi cendawan tersebut tidak terlalu tua. Jika lebih tua, keliatan cendawan boleh menyukarkan untuk dihadam. Memasak cendawan boleh meningkatkan penghadamannya.
Walaupun tindak balas alahan dan sakit perut jarang berlaku, ia masih boleh berlaku.
Jika anda hamil, menyusu, atau menghidap penyakit autoimun, semak dengan doktor anda sebelum memakannya.
Rumusan
Cendawan maitake menunjukkan potensi yang besar untuk penyembuhan. Tidak ada jaminan, tetapi kemungkinannya menjanjikan.
Pastikan anda berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu jika anda ingin menambah cendawan ini dalam diet anda atau mengambil ini sebagai makanan tambahan (suplemen).
Doktor anda boleh membincangkan potensi risiko dan faedah, serta membantu menasihati anda tentang pilihan terbaik untuk anda.
Rujukan
- Alonso, E. N. et al. (2013). Genes related to suppression of malignant phenotype induced by Maitake D-Fraction in breast cancer cells. Journal of medicinal food.
- Derek M. J. et al. (2012). Maitake D-Fraction, a natural mushroom extract, synergizes with Interleukin-2 for increased lytic activity of peripheral blood mononuclear cells against various human tumor cell histologies. Cancer Res
- Chen, Y. H. et al. (2015). Submerged-Culture Mycelia and Broth of the Maitake Medicinal Mushroom Grifola frondosa (Higher Basidiomycetes) Alleviate Type 2 Diabetes-Induced Alterations in Immunocytic Function. International journal of medicinal mushrooms.
- Sato, M. et al. (2013). Effect of dietary Maitake (Grifola frondosa) mushrooms on plasma cholesterol and hepatic gene expression in cholesterol-fed mice. Journal of oleo science.
- Feng, L. et al. (2019). The Association between Mushroom Consumption and Mild Cognitive Impairment: A Community-Based Cross-Sectional Study in Singapore. Journal of Alzheimer’s disease.