Badan panas atau cuaca panas sudah pasti menyebabkan anda tidak selesa dan mahukan sesuatu yang menyejukkan seperti minuman. Mujurlah, terdapat 8 jenis minuman yang boleh membantu sejukkan badan anda.
Cuaca yang panas atau bekerja di bawah terik matahari membuatkan anda banyak berpeluh dan kehilangan banyak elektrolit. Keadaan ini boleh menyebabkan anda keletihan, kurang bertenaga dan boleh menyebabkan dehidrasi.
Salah satu cara terbaik untuk menurunkan suhu badan ialah dengan meminum air yang banyak. Meskipun begitu, air kosong sahaja tidak memadai sekiranya anda kehilangan banyak elektrolit.
Terdapat beberapa jenis minuman yang boleh membantu anda memulihkan tenaga dan menyejukkan badan. Antaranya adalah:
1. Air Kelapa
Air kelapa adalah minuman yang baik untuk menyegarkan badan dan menurunkan suhu badan.
Air kelapa mengandungi pelbagai nutrien seperti vitamin, mineral dan elektrolit yang menjadikannya minuman yang berkesan untuk menghidratkan badan anda. [1]
Selain itu, air kelapa juga mempunyai pelbagai khasiat lain seperti mengandungi antioksidan, boleh membantu mengawal paras gula darah dan mencegah pembentukan batu karang.
2. Teh Pudina
Pudina adalah tumbuhan yang terkenal dengan ciri-ciri penyejukkannya. Ciri-ciri ini disumbang oleh kandungan mentolnya.
Anda boleh memanfaatkan ciri-ciri penyejukkan pudina ini dengan menyediakan minuman teh pudina sejuk.
Tambahan daripada itu juga, pudina juga turut mempunyai kesan menenangkan terhadap tisu-tisu perut dan usus. Khasiat ini menjadikan teh pudina sebagai minuman yang baik untuk mengurangkan sakit perut dan ketidakhadaman. [2]
3. Jus Tembikai
Jus tembikai juga merupakan minuman yang baik untuk sejukkan badan. Kandungan air yang tinggi dalam buah ini boleh membantu menurunkan suhu badan anda.
Selain mengenyangkan, jus tembikai juga boleh membantu membekalkan antioksidan yang dikenali sebagai likopena.
Kajian juga turut melaporkan bahawa jus tembikai berkesan dalam membantu pengawalan metabolisme seluruh badan dan meningkatkan tindak balas kardiovaskular dan sistem imun bagi manusia. [3]
4. Susu Mentega (Buttermilk)
Meminum susu mentega juga boleh membantu menyejukkan badan dan meningkatkan metabolisme.
Ia juga kaya dengan probiotik (susu mentega tradisional), vitamin dan mineral yang akan membantu memulihkan tenaga semula jadi badan anda jika anda berasa letih akibat panas.
Untuk sejukkan badan anda, cuba minum segelas susu mentega sejuk. Anda boleh menambah madu atau yogurt mengikut citarasa anda.
5. Air Barli
Air barli juga merupakan minuman yang sesuai diminum untuk sejukkan badan.
Perubatan Ayurveda menggunakan air barli untuk membantu menyejukkan badan semasa musim panas.
Selain itu, air barli juga turut kaya dengan vitamin dan antioksidan yang menyumbang kepada pelbagai khasiat dan kebaikan.
Kandungan antioksidan dalam air barli boleh mengekalkan kesihatan sel-sel badan dengan meneutralkan radikal bebas yang boleh menyebabkan tekanan oksidatif terhadap organ-organ badan.
6. Jus Pisang
Jus pisang juga adalah antara minuman terbaik untuk sejukkan badan anda sekiranya badan anda panas atau kehilangan banyak elektrolit.
Buah pisang tinggi dengan kandungan mineral kalium (potassium) iaitu salah satu elektrolit yang diperlukan oleh badan.
Selain itu, kalium juga boleh membantu mengekalkan tekanan darah. Cuaca panas dan suhu yang tinggi boleh mendatangkan kesan yang buruk bagi mereka yang menghidap tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.
Haba dan berpeluh juga boleh mengurangkan jumlah cecair dalam badan, yang boleh mengurangkan isipadu darah dan menyebabkan dehidrasi.
Justeru itu, minuman sepeti jus pisang boleh membantu anda kekal terhidrat dan mengawal tekanan darah pada paras yang normal.
7. Jus Beri
Dalam perubatan tradisional China, buah beri seperti beri biru dan strawberi dianggap sebagai buah yang bersifat alkali.
Buah ini dipercayai boleh menghasilkan tenaga sejuk dan menurunkan suhu badan.
Kandungan air yang tinggi bagi jus beri ini juga boleh membantu mencairkan darah dan melepaskan suhu badan yang berlebihan.
8. Air Tebu
Air tebu yang popular semasa bulan Ramadan juga adalah minuman yang boleh membantu menyejukkan badan.
Minuman ini juga boleh membantu mengembalikan tenaga dengan segera dan mengelakkan dehidrasi.
Air tebu juga dipercayai boleh memberikan kesan penyejukkan kepada badan terutamanya ketika cuaca panas.
Rumusan
Pendedahan terhadap haba yang berpanjangan akan mengakibatkan badan berpeluh dengan banyak sehingga ia menghabiskan cecair dan garam dalam badan.
Keadaan ini menyebabkan proses penyejatan tidak dapat berlaku. Apabila proses ini berhenti, suhu badan meningkat dan menyebabkan penyakit haba yang serius seperti strok haba.
8 minuman yang disenaraikan dalam artikel ini boleh membantu menurunkan suhu badan atau menyejukkan badan serta mengelakkan daripada berlakunya dehidrasi dan strok haba.
Selain menyejukkan, minuman-minuman ini juga turut mempunyai pelbagai khasiat lain yang bermanfaat kepada peminumnya.
Rujukan
- Saat, M. et al. (2002). Rehydration after exercise with fresh young coconut water, carbohydrate-electrolyte beverage and plain water. Journal of physiological anthropology and applied human science.
- McKay, D. L., & Blumberg, J. B. (2006). A review of the bioactivity and potential health benefits of peppermint tea (Mentha piperita L.). Phytotherapy research.
- Manivannan, A. et al. (2020). Versatile Nutraceutical Potentials of Watermelon-A Modest Fruit Loaded with Pharmaceutically Valuable Phytochemicals. Molecules.