Air kelapa sememangnya enak untuk diminum. Terutamanya ketika cuaca panas. Tetapi, tahukah kita apa khasiat air kelapa?
Selain rasanya yang sedap dan menyegarkan, air kelapa turut mengandungi nutrien-nutrien yang baik untuk kesihatan.
Nama saintifik bagi kelapa ialah Cocos nucifera L. Pokok kelapa banyak tumbuh di kawasan tropika dan sub-tropika. Pokok kelapa juga dikenali sebagai “pokok kehidupan”.
Kedua-dua buah kelapa muda dan tua mengandungi air di dalamnya. Namun, air kelapa muda lebih menjadi pilihan kerana rasanya yang lebih enak.

Berikut adalah khasiat air kelapa berdasarkan sokongan kajian-kajian:
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Dalam 100 mililiter air kelapa yang tidak dicampur gula tambahan, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut:
- Kalori: 18 kcal
- Protein: 0.22 gram
- Karbohidrat: 4.24 gram
- Gula: 3.92 gram
- Kalsium: 7 miligram
- Magnesium: 6 miligram
- Fosforus: 5 miligram
- Kalium: 165 miligram
- Natrium: 26 miligram
- Vitamin C: 9.9 miligram
Air kepala turut mengandungi sedikit mineral zat besi, zink, tembaga dan vitamin B1.
2. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati air kelapa boleh membantu mengawal paras gula dalam darah bagi haiwan yang menghidap diabetes. [1]
Selain itu, kajian lain menunjukkan kemampuan air kepala untuk membantu mengekalkan paras gula dalam darah yang baik bagi haiwan yang menghidap diabetes. [2]
Kajian lain juga turut mendapat keputusan yang sama di mana air kelapa mengurangkan paras gula dalam darah dan mengurangkan tekanan oksidatif. [3]
Kajian-kajian terhadap haiwan dan makmal menunjukkan kesan yang sangat positif. Namun begitu, percubaan klinikal terhadap manusia masih diperlukan untuk mengetahui sama ada air kelapa mempunyai kesan yang sama terhadap manusia.
3. Mengandungi Antioksidan
Diet yang mengandungi banyak antioksidan adalah baik untuk mengatasi masalah radikal bebas yang berlebihan.
Radikal bebas yang berlebihan menyebabkan sel-sel badan mengalami tekanan oksidatif yang membawa kepada kerosakan sel dan meningkatkan risiko penyakit.
Satu kajian terhadap tikus makmal dengan kerosakan hati menunjukkan penambahbaikkan terhadap tekanan oksidatif dan kesan perlindungan terhadap kerosakan hati apabila dirawat dengan air kelapa. [5]
Dalam satu kajian lain, tikus makmal yang menghidap tekanan darah tinggi diberikan diet tinggi gula (fruktosa) dirawat dengan air kelapa. Hasil kajian mendapati terdapat penurunan aktiviti radikal bebas, tekanan darah, trigliserida dan juga kadar insulin. [6]
Walau bagaimanapun, tiada lagi kajian terhadap manusia adalah terhad.
4. Boleh Mencegah Batu Karang
Batu karang terbentuk apabila kalsium, oksalat dan sebatian lain bergabung membentuk kristal dalam air kencing.
Kemudian, kristal ini akan membentuk batu yang dikenali sebagai batu karang.
Kajian terhadap haiwan mendapati air kelapa boleh menghalangkan pemendapan kristal dalam buah pinggang dan mengurangkan bilangan kristal dalam air kencing. [7]
Dalam satu kajian lain terhadap 8 individu sihat mendapati pengambilan air kelapa dapat meningkatkan sitrat urin iaitu bahan utama yang menghalang pembentukan batu karang. [8]
5. Boleh Menjadi Minuman Sukan
Air kelapa boleh dikatakan minuman terbaik untuk menghidratkan badan dan mengantikan kembali elektrolit yang hilang semasa bersenam atau bersukan.
Elektrolit adalah mineral yang memainkan peranan penting dalam badan termasuklah untuk keseimbangan bendalir. Antara mineral-mineral ini adalah kalsium, magnesium, kalium dan natrium.
Kajian-kajian mendapati air kelapa muda menghidratkan badan selepas bersenam lebih baik daripada air biasa dan mempunyai elektrolit yang tinggi sama seperti minuman sukan. [9, 10]
6. Boleh Membantu Mengawal Tekanan Darah
Air kelapa boleh membantu mengawal tekanan darah.
Satu kajian terhadap 28 individu yang mempunyai tekanan darah tinggi mendapati air kelapa boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dan tekanan darah diastolik masing-masing sebanyak 71% dan 29%. [11]
Tekanan darah diastolik ialah tekanan dalam arteri semasa jantung berkeadaan relaks. Manakala, tekanan darah sistolik ialah tekanan maksimum yang berlaku semasa ventrikel kiri mengecut untuk mengepam darah keluar melalui aorta.
Selain itu, air kelapa juga turut mengandungi kandungan kalium yang tinggi. Kalium adalah salah satu nutrien penting yang boleh mengurangkan tekanan darah. [12]
7. Bersifat Antiradang
Keradangan ialah proses di mana sistem imun badan bertindak balas terhadap perengsa atau bahan iritasi seperti kuman, kecederaan atau bahan kimia.
Contoh paling mudah keradangan ialah luka yang membengkak bertukar merah dan menyakitkan.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati air kelapa muda dan air kelapa tua mempunyai ciri-ciri antiradang. Kajian ini juga mendapati air kelapa muda mempunyai kesan antiradang yang lebih kuat berbanding air kelapa tua. [13]
Rumusan
Air kelapa adalah antara minuman yang sedap dan menyegarkan terutamanya diminum ketika cuaca panas.
Selain rasanya, air kelapa juga mempunyai khasiat yang banyak untuk kesihatan kita. Khasiat air kelapa ini baik untuk tekanan darah, gula dalam darah, kesihatan buah pinggang dan bersifat antiradang.
Walaupun memerlukan lebih banyak kajian klinikal, kajian-kajian dijalankan setakat ini menunjukkan banyak kesan positif air kelapa untuk kesihatan.
Akhir sekali, sekiranya anda ingin minum air kelapa ini pastikan tidak menambahnya dengan gula tambahan (gula putih).
Rujukan
- Preetha, P. P. et al. (2015). Mature coconut water exhibits antidiabetic and antithrombotic potential via L-arginine-nitric oxide pathway in alloxan induced diabetic rats. Journal of basic and clinical physiology and pharmacology.
- Pinto, I. F. et al. (2015). Study of Antiglycation, Hypoglycemic, and Nephroprotective Activities of the Green Dwarf Variety Coconut Water (Cocos nucifera L.) in Alloxan-Induced Diabetic Rats. Journal of medicinal food.
- Preetha, P. P. et al. (2012). Hypoglycemic and antioxidant potential of coconut water in experimental diabetes. Food & function.
- Loki, A. L., & Rajamohan, T. (2003). Hepatoprotective and antioxidant effect of tender coconut water on carbon tetrachloride induced liver injury in rats. Indian journal of biochemistry & biophysics.
- Bhagya, D. et al. (2012). Therapeutic effects of tender coconut water on oxidative stress in fructose fed insulin resistant hypertensive rats. Asian Pacific journal of tropical medicine.
- Gandhi, M. et al. (2013). Prophylactic effect of coconut water (Cocos nucifera L.) on ethylene glycol induced nephrocalcinosis in male wistar rat. International braz j urol.
- Patel, R. M. et al. (2018). Coconut Water: An Unexpected Source of Urinary Citrate. BioMed research international.
- Saat, M. et al. (2002). Rehydration after exercise with fresh young coconut water, carbohydrate-electrolyte beverage and plain water. Journal of physiological anthropology and applied human science.
- Ismail, I. et al. (2007). Rehydration with sodium-enriched coconut water after exercise-induced dehydration. The Southeast Asian journal of tropical medicine and public health.
- Alleyne, T. et al. (2005). The control of hypertension by use of coconut water and mauby: two tropical food drinks. The West Indian medical journal.
- Haddy, F. J. et al. (2006). Role of potassium in regulating blood flow and blood pressure. American journal of physiology. Regulatory, integrative and comparative physiology.
- Rao, S. S., & Najam, R. (2016). Coconut water of different maturity stages ameliorates inflammatory processes in model of inflammation. Journal of intercultural ethnopharmacology.