Mungkin ada yang beranggapan minuman sukan dan minuman tenaga adalah jenis minuman yang sama. Sebenarnya, dua minuman ini adalah berbeza. Minuman sukan adalah tidak sama dengan minuman tenaga.
Menjadi satu kelaziman bagi kita apabila menonton rancangan sukan dan melihat atlet menyedut atau minum minuman yang berwarna sebelum, semasa atau selepas perlawanan.
Begitu juga dengan minuman tenaga, sesetengahnya diiklankan dalam sukan-sukan tertentu seperti sukan permotoran.
Kedua-dua jenis minuman ini mempunyai industri yang besar di seluruh dunia.
Artikel ini akan mengupas dengan lebih lanjut mengenai perbezaan antara minuman sukan dan minuman tenaga sebagai panduan umum buat masyarakat.
Minuman Sukan vs. Minuman Tenaga
Minuman sukan ialah minuman yang mengandungi karbohidrat dalam bentuk gula, elektrolit dan sesetengahnya turut mengandungi vitamin.
Kandungan gula dalam minuman sukan biasa terdiri daripada glukosa, sukrosa atau sirap jagung. Manakala, minuman ini mengandungi elektrolit yang terdiri daripada mineral natrium (sodium), kalium (potassium), magnesium dan juga kalsium.
Terdapat juga sesetengah minuman sukan yang dijual rendah atau tidak mengandungi karbohidrat (sifar kalori) bagi memenuhi permintaan golongan yang hanya memerlukan air dan elektrolit tanpa lebihan kalori.
Antara jenama-jenama popular minuman sukan di Malaysia adalah Gatorade, 100Plus, Revive, Powerade dan Lucozade Sport.
Minuman tenaga pula ialah minuman yang mengandungi kafeina (caffeine) pada jumlah tertentu yang bertujuan untuk meningkatkan kewaspadaan dan tenaga.
Minuman tenaga ini juga biasanya mengandungi bahan lain seperti gula, asid amino, vitamin B dan herba seperti ginseng atau tongkat ali.
Minuman tenaga ini dipasarkan sebagai produk yang boleh meningkatkan tenaga, ketahanan fizikal dan prestasi otak.
Antara jenama-jenama popular bagi minuman tenaga di Malaysia adalah Red Bull, Livita, Monster, Orang Kampung Longjack dan Power Root.
Siapa yang Sesuai Minum Minuman Sukan?
Minuman sukan yang mengandungi air, karbohidrat dan elektrolit ini sesuai untuk atlet atau ahli sukan yang melakukan sukan yang berintensiti tinggi pada satu jangka masa yang lama iaitu sekurang-kurangnya 1 jam.
Air dan elektrolit akan hilang melalui peluh dan perlu digantikan terutamanya semasa latihan jangka panjang. [1]
Badan akan menggunakan glikogen iaitu karbohidrat yang disimpan dalam otot dan hati sebagai bahan bakar semasa latihan atau sukan. [2]
Pengambilan karbohidrat sebelum dan semasa latihan atau pertandingan boleh membantu badan memperlahankan kehilangan simpanan karbohidratnya. [1]
Minuman sukan ini direka khas untuk menyediakan 3 bahan ini dengan matlamat untuk meningkatkan prestasi latihan dan mempercepatkan pemulihan. [3]
Sesuai atau Tidak untuk Latihan Jangka Pendek
Manfaat minuman sukan untuk latihan jangka pendek tidak diketahui dengan jelas.
Menurut satu kajian yang dijalankan terhadap atlet berbasikal, minuman sukan boleh meningkatkan prestasi sebanyak 2 % semasa 1 jam latihan berbasikal yang intensif. [4]
Walau bagaimanapun, tiada bukti yang jelas mengenai kesan minuman sukan terhadap sukan jangka pendek seperti lari pecut, lompat jauh atau lompat tinggi atau sukan yang memerlukan kelincahan.
Begitu juga dengan latihan ketahanan seperti angkat berat, tiada manfaat yang jelas boleh diperolehi daripada pengambilan minuman sukan ini. [5]
Sesuai atau Tidak untuk Sukan Berpasukan
Bola sepak, rugbi, bola keranjang dan hoki adalah antara sukan berpasukan yang popular dan pengambilan minuman sukan juga turut menjadi kelaziman bagi sukan-sukan ini.
Sukan ini bersifat aktiviti yang bersela iaitu melibatkan pergerakan yang intensif, pergerakan perlahan dan juga rehat.
Menjadi persoalan adakah minuman sukan turut bermanfaat bagi atlet-atlet sukan berpasukan ini?
Satu kajian yang dijalankan terhadap sukan bola sepak dan rugbi menunjukkan bahawa minuman berkarbohidrat seperti minuman sukan boleh meningkatkan prestasi dan mengurangkan kelesuan dalam kalangan atlet sukan ini. [6, 7]
Pengambilan minuman sukan sejurus selepas latihan atau pertandingan bagi sukan seperti ini juga dilaporkan boleh memulihkan penyimpanan glikogen dalam hati dan otot dengan cepat. [7]
Siapa yang Sesuai Minum Minuman Tenaga?
Minuman tenaga adalah minuman yang tinggi kafeina yang menyasarkan golongan yang memerlukan kewaspadaan mental atau menghilangkan rasa mengantuk ketika letih.
Pemandu lori, treler atau pekerja syif malam adalah golongan yang memerlukan minuman tenaga untuk terus berfungsi tatkala mereka keletihan atau mengantuk.
Sejauh mana keberkesanan minuman tenaga ini?
Satu kajian yang melibatkan 36 orang sukarelawan mendapati pengambilan minuman tenaga iaitu Red Bull sebanyak 500ml boleh meningkatkan daya tumpuan dan memori sebanyak 24%. [8]
Terdapat juga kajian yang mendapati minuman tenaga boleh membantu meningkatkan prestasi pemanduan dan mengurangkan mengantuk bagi mereka yang melakukan perjalanan yang jauh. [9]
Minuman tenaga ini juga turut diminum oleh pekerja syif malam untuk membolehkan mereka kekal berfungsi dan memenuhi tuntutan kerja.
Kesan Sampingan Minuman Sukan dan Minuman Tenaga
Minuman Sukan
Minuman sukan pada asasnya bermanfaat kepada atlet dewasa dan kajian turut menyokong manfaat minuman jenis ini kepada atlet yang menjalani latihan berintensiti tinggi pada jangka masa yang lama serta sukan berpasukan.
Walau bagaimanapun, bagi mereka yang hanya melakukan aktiviti atau latihan ringan, minuman ini tidak diperlukan.
Pengambilan minuman sukan yang banyak boleh meningkatkan risiko kegemukan (obesiti) kerana kandungan gulanya yang tinggi.
Kajian melibatkan 7500 peserta lelaki dan perempuan melaporkan bahawa pengambilan minuman sukan boleh meningkatkan berat badan yang menjerumus ke arah berat badan berlebihan atau obesiti terutamanya bagi lelaki. [10]
Minuman Tenaga
Minuman tenaga tidak digalakkan diminum oleh kanak-kanak dan remaja. Selain tinggi dengan kandungan gula, minuman tenaga juga tinggi dengan kafeina.
Pengambilan kafeina yang tinggi dalam sehari bagi individu yang sensitif boleh menyebabkan keresahan, insomnia, deyutan jantung yang tidak teratur dan kenaikan tekanan darah. [11]
Terdapat juga kebimbangan tentang pengambilan minuman tenaga yang boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan seperti kesihatan mental yang teruk, kesan buruk terhadap jantung, buah pinggang dan juga masalah gigi. [12]
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa minuman tenaga boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kualiti tidur bagi mereka yang bekerja syif. [13]
Rumusan
Minuman sukan adalah berbeza dengan minuman tenaga. Minuman sukan mengandungi gula, elektrolit dan vitamin yang dihasilkan khusus untuk ahli sukan yang melakukan sukan berintensiti tinggi pada jangka masa yang lama.
Manakala, minuman tenaga biasanya mengandungi kafeina, gula, asid amino dan herba yang dihasilkan untuk meningkatkan fungsi otak,kewaspadaa dan tenaga.
Minuman sukan sesuai untuk atlet yang melakukan sukan berintensiti tinggi pada jangka masa yang lama dan atlet sukan berpasukan. Minuman ini tidak digalakkan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Minuman tenaga pula perlu diambil pada kadar yang terkawal oleh orang dewasa dan perlu dijauhi oleh remaja dan kanak-kanak.
Rujukan
- Jeukendrup A. E. (2011). Nutrition for endurance sports: marathon, triathlon, and road cycling. Journal of sports sciences.
- Jensen, T. E., & Richter, E. A. (2012). Regulation of glucose and glycogen metabolism during and after exercise. The Journal of physiology.
- Maughan R. J. (1998). The sports drink as a functional food: formulations for successful performance. The Proceedings of the Nutrition Society.
- Jeukendrup, A. et al. (1997). Carbohydrate-electrolyte feedings improve 1 h time trial cycling performance. International journal of sports medicine.
- Escobar, K. A. et al. (2016). Carbohydrate intake and resistance-based exercise: are current recommendations reflective of actual need?. The British journal of nutrition.
- Baker, L. B. et al. (2015). Acute Effects of Carbohydrate Supplementation on Intermittent Sports Performance. Nutrients.
- Williams, C., & Rollo, I. (2015). Carbohydrate Nutrition and Team Sport Performance. Sports medicine.
- Alford, C. et al. (2001). The effects of red bull energy drink on human performance and mood. Amino acids.
- Mets, M. A. et al. (2011). Positive effects of Red BullĀ® Energy Drink on driving performance during prolonged driving. Psychopharmacology.
- Field, A. E. et al. (2014). Association of sports drinks with weight gain among adolescents and young adults. Obesity.
- Catherine, M. P. et al. (2017). Energy and sports drinks in children and adolescents. Paediatrics & Child Health,
- Al-Shaar, L. et al. (2017). Health Effects and Public Health Concerns of Energy Drink Consumption in the United States: A Mini-Review. Frontiers in public health.
- Jay, S. M. et al. (2006). The suitability of a caffeinated energy drink for night-shift workers. Physiology & behavior.