Jika anda beranggapan bahawa minum air kosong hanya untuk menghilangkan dahaga, sebenarnya anda silap. Hakikatnya, terdapat banyak lagi kebaikan yang boleh anda perolehi apabila anda minum air kosong yang mencukupi.
Artikel ini akan menjelaskan kebaikan-kebaikan meminum air kosong yang mencukupi berdasarkan sokongan-sokongan kajian sains.
Badan manusia sebenarnya terdiri daripada 60% air. Umumnya, setiap individu dinasihatkan untuk minum 8 gelas air sehari bagi memastikan anda kekal terhidrat.
Air sebenarnya mempunyai banyak peranannya terhadap fungsi badan. Mungkin kerana sifat air yang ada di mana-mana membuatkan ramai yang mengabaikan kepentingan untuk minum secukupnya setiap hari.
Berikut adalah kebaikan atau khasiat minum air kosong yang mencukupi:
1. Meningkatkan Prestasi Fizikal
Air adalah komponen penting sekiranya anda ingin meningkatkan prestasi fizikal.
Sekiranya anda tidak kekal terhidrat, prestasi fizikal anda akan merosot terutamanya ketika senaman berat dan cuaca panas.
Kurang minum air boleh membawa kepada dehidrasi. Akibatnya, ia boleh mengubah kawalan suhu badan, mengurangkan motivasi dan meningkatkan kelesuan.
Ia juga boleh menyebabkan latihan berasa lebih sukar untuk dilakukan secara fizikal dan mental. [1]
2. Mencegah dan Merawat Sakit Kepala
Dehidrasi juga boleh mencetuskan sakit kepala dan migrain bagi sesetengah orang.
Tambahan lagi, sakit kepala adalah salah satu gejala yang lazim berlaku bagi mereka yang mengalami dehidrasi.
Satu kajian yang melibatkan 102 individu mendapati meminum lebihan 1.5 liter air sehari boleh mengurangkan gejala-gejala migrain.
Selain itu, 47% individu yang minum lebih air melaporkan bahawa mereka kurang mengalami sakit kepala. [2]
3. Melegakan Sembelit
Kebaikan minum air kosong yang banyak dan mencukupi yang berikutnya adalah membantu melegakan sembelit.
Pengambilan air yang rendah adalah faktor risiko untuk sembelit bagi individu yang muda dan tua. [3]
Meningkatkan pengambilan air boleh membantu mengurangkan sembelit. Air mineral adalah minuman yang sangat bermanfaat bagi mereka yang mengalami sembelit.
Kajian mendapati bahawa air mineral yang kaya dengan magnesium dan natrium meningkatkan kekerapan dan konsistensi pergerakan usus bagi individu yang mengalami sembelit. [4]
4. Membantu Merawat Batu Karang
Batu karang adalah gumpalan kristal mineral yang menyakitkan yang terbentuk dalam sistem kencing.
Bukti terhad menunjukkan bahawa meningkatkan pengambilan air boleh membantu mencegah perulangan pembentukan batu karang dalam kalangan bekas pesakit. [5]
Pengambilan air yang banyak boleh mencairkan kepekatan mineral yang seterusnya mencegah mineral ini daripada terhablur membentuk gumpalan.
5. Mengekalkan Fungsi Otak
Dehidrasi boleh menjejaskan struktur dan fungsi otak. Oleh itu, pengambilan air yang mencukupi boleh membantu mengekalkan fungsi otak.
Walaupun dehidrasi ringan iaitu kehilangan cecair sekitar 1-3% berat badan, ia sudah cukup untuk menjejaskan fungsi otak anda.
Satu kajian yang dijalankan terhadap wanita muda mendapati kehilangan cecair sebanyak 1.4% selepas senaman menjejaskan mood dan tumpuan peserta. Ia juga turut meningkatkan kekerapan sakit kepala. [6]
6. Membantu Menurunkan Berat Badan
Meminum air kosong yang banyak juga boleh membantu anda menurunkan berat badan.
Hal ini demikian kerana, air boleh meningkatkan kekenyangan dan meningkatkan kadar metabolik badan.
Meningkatkan pengambilan air boleh menggalakkan penurunan berat badan dengan meningkatkan metabolisme anda, yang boleh meningkatkan jumlah kalori yang dibakar setiap hari.
Satu kajian terhadap 50 wanita muda dengan berat badan berlebihan menunjukkan bahawa meminum tambahan 500 ml air 3 kali sehari sebelum makan selama 8 minggu membawa kepada pengurangan berat dan lemak badan yang ketara berbanding dengan ukuran sebelum kajian. [7]
7. Melincirkan Sendi
Kebaikan minum air kosong yang seterusnya adalah melincirkan sendi-sendi anda.
Sendi-sendi mengandungi rawan yang bertindak sebagai kusyen yang menyerap hentakan dan mengelakkan geseran antara tulang.
Rawan ini mengandungi sekitar 80% air. Kekurangan air atau dehidrasi yang lama boleh menyebabkan keupayaan untuk rawan ini menyerap hentakan akan berkurangan.
Akibatnya, anda mungkin akan mengalami sakit sendi.
8. Membantu Mengawal Suhu Badan
Air yang tersimpan di lapisan tengah kulit terbit ke permukaan kulit sebagai peluh apabila badan menjadi panas. Apabila ia menyejat, ia menyejukkan badan.
Sesetengah penyelidik mencadangkan bahawa apabila terdapat terlalu sedikit air di dalam badan, simpanan haba akan meningkat dan individu tersebut akan lebih terdedah kepada tegasan haba seperti strok haba.
9. Menghasilkan Air Liur dan Mukus
Air juga diperlukan oleh badan untuk menghasilkan air liur dan mukus.
Air liur membantu kita mencerna makanan dan memastikan mulut, hidung dan mata sentiasa lembap. Ini mengelakkan geseran dan kerosakan.
Minum air juga boleh membantu menjaga kebersihan mulut.
10. Meningkatkan Kesihatan Kulit
Kebaikan minum air kosong yang seterusnya adalah meningkatkan kesihatan kulit. Air boleh membantu mengekalkan kelembapan kulit.
Kajian semula yang melibatkan 6 kajian mendapati pengambilan air tambahan meningkatkan penghidratan kulit terutamanya kepada mereka yang kurang minum air.
Selain itu, pengambilan air tambahan juga mengurangkan kekeringan dan kekasaran kulit serta meningkatkan keanjalan dan kebolehlanjutan kulit. [8]
Walau bagaimanapun, penyelidik mengingatkan bahawa kualiti kajian-kajian tersebut adalah rendah.
Rumusan
Adalah penting untuk setiap daripada mengetahui kepentingan untuk minum air kosong yang mencukupi setiap hari.
Setiap orang mungkin memerlukan kuantiti yang berbeza-beza, namun secara umumnya 8 gelas sehari dikira mencukupi.
Terdapat banyak kebaikan yang boleh diperolehi daripada minum air kosong terutamanya terhadap fungsi-fungsi badan. Maka, pastikan anda mendapatkan air yang mencukupi terutamanya ketika cuaca panas.
Rujukan
- Popkin, B. M. et al. (2010). Water, hydration, and health. Nutrition reviews.
- Spigt, M. et al. (2012). A randomized trial on the effects of regular water intake in patients with recurrent headaches. Family practice.
- De Giorgio, R. et al. (2015). Chronic constipation in the elderly: a primer for the gastroenterologist. BMC gastroenterology.
- Bothe, G., Coh, A., & Auinger, A. (2017). Efficacy and safety of a natural mineral water rich in magnesium and sulphate for bowel function: a double-blind, randomized, placebo-controlled study. European journal of nutrition.
- Bao, Y., Tu, X., & Wei, Q. (2020). Water for preventing urinary stones. The Cochrane database of systematic reviews.
- Armstrong, L. E. et al. (2012). Mild dehydration affects mood in healthy young women. The Journal of nutrition.
- Vij, V. A., & Joshi, A. S. (2013). Effect of ‘water induced thermogenesis’ on body weight, body mass index and body composition of overweight subjects. Journal of clinical and diagnostic research.
- Akdeniz, M. et al. (2018). Does dietary fluid intake affect skin hydration in healthy humans? A systematic literature review. Skin research and technology.