Air tebu sememangnya tidak asing lagi bagi penduduk di Asia termasuklah Malaysia. Air tebu boleh dikatakan antara minuman kegemaran rakyat negara ini terutamanya apabila menjelang bulan Ramadan atau musim panas.
Walau bagaimanapun, adalah menjadi satu persoalan adakah penghidap kencing manis atau diabetes boleh minum air tebu?
Bagi menjawab persoalan ini, artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai air tebu dan adakah ia memberi kesan negatif atau positif terhadap penghidap kencing manis.
Jus atau air tebu juga turut diproses untuk dijadikan gula putih, gula perang, dan molases.
Dalam bentuk yang tidak diproses, air tebu juga adalah sumber yang baik untuk mendapatkan antioksidan seperti fenolik dan flavonoid. [1]
Ini adalah sebab utama kenapa sesetengah orang mendakwa ia mempunyai manfaat kesihatan.
Oleh sebab, ia tidak diproses dengan banyak seperti kebanyakan minuman manis, air tebu mengekalkan vitamin dan mineralnya.
Satu kajian kecil pada 2013 yang melibatkan 15 orang atlet berbasikal mendapati air tebu berkesan seperti minuman tenaga dalam meningkatkan prestasi senaman dan rehidrasi. [2]
Kandungan Gula
Walaupun air tebu membekalkan beberapa jenis nutrien, namun ia tinggi dengan gula dan karbohidrat.
Bagi 248 gram air tebu terdapat:
- Kalori/Tenaga: 184 kcal
- Gula: 50 gram
- Karbohidrat: 50 gram
- Kalsium: 17.4 miligram
- Magnesium: 7.44 miligram
- Fosforus: 7.44 miligram
- Kalium: 27.3 miligram
Seperti yang anda lihat, hanya 248 g mengandungi 50 gram gula bersamaan dengan 10 sudu teh.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian.
Oleh itu, bagi orang dewasa, purata pengambilan gula tambahan yang disarankan adalah tidak melebihi 10 sudu teh sehari (50g).
Gula adalah karbohidrat yang dipecahkan oleh badan anda menjadi glukosa. Sesetengah makanan dan minuman berkarbohidrat tinggi boleh meningkatkan gula darah anda secara berlebihan, terutamanya jika anda mempunyai atau berisiko menghidap diabetes.
Oleh itu, adalah penting bagi penghidap diabetes memantau pengambilan gula mereka dengan berhati-hati.
Walaupun jus tebu mempunyai indeks glisemik (GI) yang rendah, ia masih mempunyai muatan glisemik (GL) yang tinggi. Ini bermakna ia akan memberi kesan ketara pada paras gula darah anda.
Adakah Anda Boleh Minum Air Tebu Jika Menghidap Penyakit Kencing Manis?
Seperti minuman tinggi gula yang lain, air tebu adalah pilihan yang tidak baik jika anda menghidap diabetes.
Jumlah gula yang banyak boleh meningkatkan gula darah anda ke paras yang berbahaya. Oleh itu, adalah dinasihatkan bahawa anda yang menghidap diabetes mengelakkan minuman ini.
Walaupun terdapat kajian tabung uji yang menunjukkan bahawa antioksidan (polifenol) dalam ekstrak tebu boleh membantu sel-sel pankreas menghasilkan lebih insulin, namun ia masih diperingkat awal. [3]
Kajian ini tidak boleh menjadi bukti yang kukuh untuk menjadikan air tebu minuman yang selamat untuk penghidap kencing manis atau diabetes.
Penghidap diabetes boleh menggunakan buah-buahan dan sayur-sayuran segar untuk menghadirkan rasa manis dan rasa semula jadi, terutamanya yang mempunyai GI rendah, seperti timun, beri atau lobak merah.
Ringkasan
Air tebu atau jus tebu adalah minuman yang diekstrak daripada tebu.
Meskipun air tebu turut mengandungi nutrien seperti antioksidan, kalsium, kalium, minuman ini tinggi dengan kandungan gula.
Maka, ia bukanlah pilihan yang baik bagi anda yang menghidap diabetes atau kencing manis.
Rujukan
- Azlan, A. et al. (2020). Antioxidant activity, nutritional and physicochemical characteristics, and toxicity of minimally refined brown sugar and other sugars. Food science & nutrition.
- Kalpana, K. et al. (2013). The effects of ingestion of sugarcane juice and commercial sports drinks on cycling performance of athletes in comparison to plain water. Asian journal of sports medicine.
- Ji, J. et al. (2019). Antioxidant and Anti-Diabetic Functions of a Polyphenol-Rich Sugarcane Extract. Journal of the American College of Nutrition.