Khasiat daun pudina atau pudina telah banyak dimanfaatkan dalam pelbagai produk dan petua-petua ringkas. Pudina adalah tumbuhan pudina hibrid yang merupakan hasil kacukan pokok watermint dan spearmint.
Pudina dalam bahasa Inggerisnya ialah Peppermint. Nama saintifiknya pula ialah Mentha piperita. Tumbuhan ini berasal dari Eropah dan Timur Tengah.
Tumbuhan ini telah digunakan sejak beribu tahun dahulu untuk manfaat kesihatan dan rasa pudinanya.
Pudina atau daun pudina adalah tumbuhan herba yang digunakan dalam banyak perkara seperti minyak pati, ekstrak daun dan air rendaman daun.
Daun pudina ini turut dimanfaatkan dalam pelbagai produk seperti produk kosmetik, produk kebersihan diri, produk makanan dan produk farmaseutikal.

Berikut adalah 10 khasiat pudina atau daun pudina kepada kesihatan lelaki dan wanita berdasarkan sokongan kajian sains perubatan.
1. Menyegarkan Nafas
Daun pudina banyak digunakan dalam produk seperti ubat gigi, ubat pencuci mulut atau gula-gula getah.
Rupa-rupanya, ia bersebab. Selain baunya yang sedap, pudina turut mempunyai sifat antibakteria yang boleh membunuh kuman atau bakteria pada plak gigi seterusnya menyegarkan nafas. [1]
Satu kajian terhadap nafas berbau telah dijalankan terhadap 84 pelajar perempuan di Tehran yang dibahagikan kepada 2 kumpulan.
Kajian ini mendapati kumpulan pelajar perempuan yang diberikan ubat pencuci mulut berasaskan pudina menunjukkan peningkatan pada bau nafas selepas seminggu berbanding kumpulan kawalan. [2]
2. Boleh Melegakan Hidung Tersumbat
Kadang-kala, demam atau selesema boleh menyebabkan hidung tersumbat.
Daun pudina pula mempunyai aktiviti antibakteria, antivirus dan antiradang. [3]
Kajian menunjukkan bahan aktif dalam pudina iaitu mentol boleh meningkatkan aliran udara dalam saluran pernafasan. Oleh itu, stim dari teh pudina mungkin boleh membantu pernafasan anda. [4]
3. Boleh Melegakan Sakit Perut
Menariknya juga, pudina turut mempunyai manfaat kepada perut. Contohnya untuk mengatasi masalah penghadaman, kembung dan angin.
Satu kajian terhadap haiwan menunjukkan ekstrak pudina mengendurkan otot-otot saluran gastrousus dan mengurangkan kesakitan. [5]
Dalam satu kajian klinikal terhadap pesakit sindrom usus rengsa (IBS), minyak pudina berjaya mengurangkan gejala-gejala IBS sebanyak 40% selepas 4 minggu. [6]
Di samping itu, ulasan kajian yang dilakukan mendapati 14 ujian yang melibatkan 1927 pesakit, minyak pudina mengurangkan tempoh, kekerapan dan keterukan sakit perut. [7]
4. Boleh Melegakan Sakit Kepala dan Migrain
Bukan setakat itu sahaja,minyak pudina juga turut mampu melegakan sakit kepala jenis tegangan dan migrain.
Hal ini mungkin disebabkan oleh kandungan mentol dalam minyak pudina yang boleh meningkatkan kadar aliran darah dan mendatangkan sensasi sejuk yang mungkin mengurangkan kesakitan.
Satu kajian mendapati minyak pudina mempunyai kesan yang sama seperti 1000 mg acetaminophen (penadol atau paracetamol) untuk menghilangkan sakit kepala. [8]
5. Boleh Melegakan Senggugut
Khusus buat wanita, pudina juga turut mempunyai kebaikan dalam mengurang dan melegakan senggugut.
Ini kerana pudina bertindak sebagai pengendur otot, maka ia boleh melegakan senggugut.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 127 pelajar perempuan yang mengalami masalah senggugut, didapati pengambilan ekstrak pudina berkesan seperti ubat dalam mengurangkan tempoh dan kekuatan senggugut. [9]
6. Boleh Mengurangkan Alahan
Khasiat daun pudina turut dikaitkan dengan kebolehan mengurangkan alahan.
Kandungan asid rosmarinic dalam pudina menjadikan ia mampu mengurangkan simptom atau gejala alahan seperti hidung berair, mata gatal atau asma. [10, 11]
Dalam satu kajian terhadap individu yang mempunyai alahan, pengambilan makanan tambahan (suplemen) yang mengandungi asid rosmarinic boleh mengurangkan gejala-gejala alahan seperti gatal hidung, gatal mata dan gejala yang lain.[12]
7. Boleh Meningkatkan Tumpuan
Beberapa kajian kecil menunjukkan pudina boleh membantu meningkatkan keupayaan untuk kekal fokus.
Satu kajian terhadap terhadap 24 individu, pengambilan kapsul minyak pudina meningkatkan prestasi minda dalam ujian kognitif dan mengurangkan keletihan mental. [13]
Kajian lain mendapati dengan menghidu aroma pudina daripada minyak pati pudina, didapati pudina ini meningkatkan memori dan kepekaan berbanding aroma daripada minyak pati bunga kenanga (ylang-ylang). [14]
8. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria
Khasiat pudina yang seterusnya ialah kebolehannya untuk melawan jangkitan bakteria.
Dalam satu kajian, minyak pati pudina didapati dapat membunuh bakteria E.coli, L. monocytogenes dan Salmonella Enteritidis di dalam jus nanas dan mangga. [15]
Kajian lain turut menyokong bahawa minyak pati pudina boleh menghalang jangkitan bakteria. Minyak pati pudina didapati boleh menghalang tumbesaran bakteria seperti E.coli, S.aureus, Pseudomonas aeruginosa, S. faecalis, dan Klebsiella penumoniae yang berkaitan dengan keracunan makanan,jangkitan paru-paru (pneumonia), jangkitan pada saluran kencing dan kulit.[16]
9. Boleh Mengurangkan Masalah “Morning Sickness”
Loya dan muntah-muntah pada peringkat awal mengandung adalah lumrah bagi seorang wanita. Kadang-kadangnya ia boleh menganggu rutin harian terutamnya bagi wanita bekerjaya.
Aromaterapi adalah satu rawatan alternatif yang boleh membantu merawat masalah loya dan muntah ini.
Minyak pati pudina didapati mempunyai kesan yang sama dengan ubat dalam merawat masalah loya dan muntah (morning sickness) ini.
Kajian terhadap 56 wanita mengandung ini mendapati minyak pati pudina ini dapat mengurangkan keterukan loya dan muntah dalam kalangan wanita mengandung tersebut. [17]
10. Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan
Pudina dipercayai boleh membantu menurunkan berat badan.
Satu kajian terhadap 13 individu yang sihat didapati pengambilan kapsul minyak pudina dapat mengurangkan selera makan berbanding tidak mengambil minyak pudina ini. [18]
Namun, hasil sebaliknya didapati pada kajian terhadap haiwan di mana tikus yang diberikan ekstrak pudina meningkat berat badan. [19]
Oleh itu, khasiat pudina untuk menurunkan berat badan ini masih memerlukan banyak kajian.
Rumusan
Banyak khasiat daun pudina atau pudina terhadap kesihatan kita tidak kira lelaki atau wanita.
Secara khususnya, daun pudina mempunyai khasiat untuk wanita bagi mengatasi masalah senggugut dan “morning sickness.”
Khasiat-khasiat lain boleh dimanfaatkan kepada semua golongan dan akses kepada minyak pati pudina juga kini mudah untuk didapati tidak kira secara atas talian atau dikedai-kedai.
Rujukan
- Thosar, N. et al. (2013). Antimicrobial efficacy of five essential oils against oral pathogens: An in vitro study. European journal of dentistry.
- Haghgoo, R., & Abbasi, F. (2013). Evaluation of the use of a peppermint mouth rinse for halitosis by girls studying in Tehran high schools. Journal of International Society of Preventive & Community Dentistry.
- Rakover, Y. et al. (2008). [The treatment of respiratory ailments with essential oils of some aromatic medicinal plants]. Harefuah.
- Eccles, R. et al. (1988). The effects of menthol isomers on nasal sensation of airflow. Clinical otolaryngology and allied sciences.
- McKay, D. L., & Blumberg, J. B. (2006). A review of the bioactivity and potential health benefits of peppermint tea (Mentha piperita L.). Phytotherapy research.
- Cash, B. D. et al. (2016). A Novel Delivery System of Peppermint Oil Is an Effective Therapy for Irritable Bowel Syndrome Symptoms. Digestive diseases and sciences.
- Anheyer, D. et al. (2017). Herbal Medicines for Gastrointestinal Disorders in Children and Adolescents: A Systematic Review. Pediatrics.
- Göbel, H. et al. (1996). [Effectiveness of Oleum menthae piperitae and paracetamol in therapy of headache of the tension type]. Der Nervenarzt.
- Masoumi, S. Z. et al. (2016). Evaluation of mint efficacy regarding dysmenorrhea in comparison with mefenamic acid: A double blinded randomized crossover study. Iranian journal of nursing and midwifery research.
- Shekarchi, M. et al. (2012). Comparative study of rosmarinic acid content in some plants of Labiatae family. Pharmacognosy magazine.
- Oh, H. A. et al. (2011). Effect of Perilla frutescens var. acuta Kudo and rosmarinic acid on allergic inflammatory reactions. Experimental biology and medicine.
- Takano, H. et al. (2004). Extract of Perilla frutescens enriched for rosmarinic acid, a polyphenolic phytochemical, inhibits seasonal allergic rhinoconjunctivitis in humans. Experimental biology and medicine.
- Kennedy, D. et al. (2018). Volatile Terpenes and Brain Function: Investigation of the Cognitive and Mood Effects of Mentha × Piperita L. Essential Oil with In Vitro Properties Relevant to Central Nervous System Function. Nutrients.
- Moss, M. et al. (2008). Modulation of cognitive performance and mood by aromas of peppermint and ylang-ylang. The International journal of neuroscience.
- de Sousa Guedes, J. P., & de Souza, E. L. (2018). Investigation of damage to Escherichia coli, Listeria monocytogenes and Salmonella Enteritidis exposed to Mentha arvensis L. and M. piperita L. essential oils in pineapple and mango juice by flow cytometry. Food microbiology.
- Sharafi, S. M. et al. (2010). Protective effects of bioactive phytochemicals from Mentha piperita with multiple health potentials. Pharmacognosy magazine.
- Joulaeerad, N. et al. (2018). Effect of Aromatherapy with Peppermint Oil on the Severity of Nausea and Vomiting in Pregnancy: A Single-blind, Randomized, Placebo-controlled trial. Journal of reproduction & infertility.
- Papathanasopoulos, A. et al. (2013). Effect of acute peppermint oil administration on gastric sensorimotor function and nutrient tolerance in health. Neurogastroenterology and motility.
- Mesbahzadeh, B. et al. (2015). The effects of different levels of peppermint alcoholic extract on body-weight gain and blood biochemical parameters of adult male Wistar rats. Electronic physician.